Topik diikuti
Pergi ke BHkuBanjir Nepal-Tibet: Pemerintah sumbang $127,000 bagi usaha pengumpulan dana Palang Merah S’pura
Sebagai respons terhadap banjir teruk di sepanjang sempadan Nepal-China, pemerintah Singapura akan menyumbang US$100,000 (S$127,072) sebagai dana permulaan bagi usaha pengumpulan dana awam Palang Merah Singapura (SRC), kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Ogos, MFA berkata bahawa sumbangan tersebut akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Nepal dan menangani keperluan mendesak masyarakat yang terjejas.
Pada 27 Ogos, SRC ikrar menyumbang $50,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan bagi menyokong usaha tindak balas di kawasan yang terjejas akibat banjir kilat maut dan tanah runtuh pada 26 Ogos.
Berkongsi dalam satu kenyataan, SRC berkata bahawa dana yang dikumpul akan diperuntukkan untuk usaha tindak balas oleh rakan kongsi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Ini termasuk pengagihan air minuman dan bekalan kecemasan, seperti tarpaulin (kain kalis air), selimut, tikar tidur, kit pertolongan cemas dan beg mayat.
SRC turut melancarkan rayuan pengumpulan dana awam pada 28 Ogos bagi masyarakat yang terjejas akibat bencana tersebut dan mengaktifkan khidmat Restoring Family Links sebagai sebahagian daripada usaha menyatukan semula keluarga yang terpisah.
Angka kematian yang disahkan akibat bencana itu meningkat kepada hampir 500 orang pada malam 28 Ogos, dengan hampir 1,000 lagi masih hilang di Nepal dan Tibet.
Daripada jumlah yang hilang itu, lebih daripada 500 orang ialah warga asing, termasuk sembilan warga Singapura.
MFA berkata pada 27 Ogos bahawa ia sedang berhubung dengan keluarga warga Singapura yang terjejas akibat banjir tersebut.
