Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayaran ERP kembali di 11 tempat sekitar Orchard Road mulai 7 September akibat kesesakan
Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) akan dikenakan semula di 11 tempat sekitar Orchard Road mulai 7 September, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Dalam kenyataan pada 31 Ogos, LTA berkata pihaknya telah memantau keadaan lalu lintas di kawasan beli-belah itu dengan teliti dan mendapati kesesakan berterusan sejak Oktober 2025.
Menurutnya, lalu lintas juga lebih perlahan daripada julat kelajuan yang sesuai, iaitu antara 20dengan 30 kilometer sejam (kmj) bagi jalan utama.
Bagi mengatasinya, pemandu akan dikenakan bayaran $1 di gantri ERP dalam lingkungan Orchard Cordon pada hari bekerja dari 11 pagi hingga 7 malam mulai 7 September.
Orchard Cordon merangkumi Buyong Road, Cairnhill Road, Clemenceau Avenue, Killiney Road, Kramat Road, Orchard Link, Orchard Road, Orchard Turn, Oxley Road, YMCA dan Fort Canning Tunnel.
LTA berkata lalu lintas di kawasan Orchard Road pada Sabtu kekal di bawah paras kelajuan sewajarnya sejak Oktober 2025.
Ia menambah bahawa pihaknya akan memantau keadaan dan menilai sama ada operasi ERP bagi Orchard Cordon perlu disambung semula pada Sabtu.
LTA turut berkata pihaknya mendapati kesesakan berlarutan di beberapa bahagian Ekspreswe Central (CTE) pada hari bekerja sehingga lewat pagi.
“Keadaan ini diperhatikan di CTE ke arah Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) sebelum Braddell Road, dengan kelajuan lalu lintas kekal di bawah paras sewajarnya,” kata LTA.
Pihak berkuasa itu menambah bahawa waktu operasi ERP mungkin dilanjutkan jika kesesakan bertambah buruk.
