BH main peranan di setiap peringkat kehidupan; edisi kompak boleh tingkatkan akses berita - penulis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH main peranan di setiap peringkat kehidupan; edisi kompak boleh tingkatkan akses berita - penulis

Mar 23, 2026 | 3:30 PM

BH main peranan di setiap peringkat kehidupan; edisi kompak boleh tingkatkan akses berita - penulis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Nooraishah Abdul Karim yang kini merupakan mahasiswi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU)  sudah didedahkan kepada Berita Harian sejak berumur tujuh tahun lagi oleh ayahnya sebagai bahan bacaan tetap di rumah.
Cik Nooraishah Abdul Karim yang kini merupakan mahasiswi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sudah didedahkan kepada Berita Harian sejak berumur tujuh tahun lagi oleh ayahnya sebagai bahan bacaan tetap di rumah. - Foto ihsan NOORAISHAH ABDUL KARIM

Hubungan saya dengan Berita Harian bermula seawal usia tujuh tahun, dan antara kenangan terawal itu berkait rapat dengan ayah. Beliaulah yang sentiasa menekankan kepentingan memahami peristiwa dunia, terutamanya isu yang menyentuh masyarakat yang beliau sayangi.

Setiap minggu, akhbar Berita Minggu wajib menjadi bahan bacaan tetap di rumah kami. Pada usia itu, saya belum benar-benar menguasai bahasa yang digunakan. Saya akan membulatkan perkataan yang asing, lalu merujuk Kamus Dewan - yang saya pinjam daripada sepupu - yang sentiasa berada di sisi. Ayah akan duduk di sebelah, membimbing dengan sabar cara menggunakan kamus dan membantu saya membina kefahaman sendiri secara perlahan-lahan.

Selain itu, setiap hujung minggu, saya sering mengunjungi pak cik. Di rumahnya, The Straits Times dan Berita Harian seolah-olah tidak pernah lekang dari tangannya. Perbualan kami berkisar tentang politik, kehidupan, dan isu semasa.

Setelah beberapa waktu, saya mula memberanikan diri mengambil akhbar dari meja makan dan membacanya sendiri. Ketika itulah saya mula sedar bahawa dunia ini jauh lebih luas daripada lingkungan kecil yang saya kenali.

Apabila meningkat usia, hubungan saya dengan Berita Harian beralih ke fasa yang berbeza. Semasa di sekolah rendah, ketika saya berhadapan dengan cabaran dalam subjek Bahasa Melayu, saya sekali lagi disarankan melakukan perkara yang sama: membaca.

Tanpa disedari, perhatian saya mula beralih kepada segmen gaya hidup dan kisah-kisah ketabahan individu dalam masyarakat, termasuk pencapaian cemerlang pelajar yang menerima biasiswa.

Berkat usaha yang gigih, saya akhirnya meraih keputusan terbaik dalam Bahasa Melayu PSLE dengan gred A. Pencapaian ini di luar jangkaan, bukan sahaja bagi saya, malah guru saya, Cikgu Ridayu, yang merupakan antara insan penting dalam membentuk perjalanan hidup saya hingga ke hari ini.

Selepas itu, saya terus membaca Berita Harian secara santai sehinggalah ke peringkat N dan O.

Dengan adanya langganan sekolah, akses kepada akhbar menjadi lebih mudah, dan saya mula mendalami kandungannya dengan lebih serius. Saya masih ingat bagaimana saya pernah menyalin semula keseluruhan artikel, terutamanya daripada bahagian sukan.

Rentetan minat ini akhirnya membawa saya ke bilik berita. Latihan industri pertama saya dalam bidang kewartawanan adalah bersama Berita Harian.

Bahasa Melayu yang saya pelajari melalui akhbar itu kini saya gunakan untuk menyumbang kepada penerbitan yang sama.

Saya berkesempatan menemu bual individu-individu yang amat memberi inspirasi, serta terlibat dalam liputan pilihan raya umum - malah pernah berada di pejabat hingga jam 5 pagi!

Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga, lebih-lebih lagi sebagai pengundi kali pertama.

Apabila saya merenung kembali, saya sedar bahawa di setiap persimpangan penting dalam hidup saya, Berita Harian sentiasa hadir.

Ia bukan sekadar sebuah akhbar, tetapi sebahagian daripada proses perkembangan diri saya. Menyaksikan bagaimana akhbar ini terus berkembang hari ini juga mengundang rasa bangga yang mendalam.

Dengan peralihan kepada format yang lebih kompak, harapan saya agar ia akan menjadi lebih mudah diakses oleh masyarakat, lantas mengukuhkan lagi bahasa dan legasi yang telah sekian lama terbina.

*Penulis merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Teknologi Nanyang dalam jurusan Komunikasi. Sehingga ke hari ini, BH menjadi bahan bacaan hariannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg