Topik diikuti
Pergi ke BHkuComfortDelGro kecualikan komisen dua hari selepas gangguan terminal teksi
ComfortDelGro kecualikan komisen dua hari selepas gangguan terminal teksi
Pengendali teksi ComfortDelGro (CDG) akan mengecualikan komisen bagi perjalanan yang layak selama dua hari akibat gangguan pada 15 September yang menjejas terminal data mudah alih dalam teksi untuk menerima tempahan.
CDG tidak akan mengenakan komisen bagi perjalanan yang layak dari 12 tengah hari, 25 September, hingga 11.59 pagi, 27 September.
Langkah ini merupakan “tanda muhibah”, kata Encik Yee Hon Wai, Ketua Bahagian Sewaan Zig by CDG, kepada The Straits Times (ST) pada 22 September.
CDG kini mengenakan komisen tetap antara 70 sen hingga $1 bagi setiap tempahan melalui aplikasi Zig.
Pemandu teksi membayar komisen 70 sen setiap perjalanan, penyewa kenderaan sewa privet membayar 80 sen, manakala pemandu kereta bukan CDG membayar $1. Tiada komisen dikenakan bagi perjalanan yang tidak ditempah melalui aplikasi.
Pada 15 September, gangguan pada penyedia perkhidmatan luar CDG menyebabkan terminal data mudah alihnya tidak berfungsi.
Pemandu teksi mula menyedari masalah itu pada awal petang.
Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada 12.10 pagi keesokan harinya, kata Encik Yee.
Pada 18 September, CDG memaklumkan pemandu terjejas mengenai pengecualian komisen dan menjelaskan bahawa masalah itu berpunca daripada gangguan rangkaian telekomunikasi.
CDG tidak mendedahkan punca gangguan atau jumlah pemandu yang terjejas.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Teksi Nasional (NTA), Cik Teo Siew Pan, berkata gangguan itu kebanyakannya menjejaskan teksi dengan terminal yang disambung kepada Singtel, bukan semua teksi CDG.
Pemandu teksi, Cik Jacky Tung, 46 tahun, berkata beliau tidak dapat menerima tempahan atau mengambil penumpang yang mahu membayar dengan Nets atau kad kredit.
“Saya sangat kecewa kerana walaupun sudah cuba menghidupkan semula terminal itu, ia masih tergendala,” katanya.
CDG memaklumkan pemandu mengenai gangguan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada sekitar 3.55 petang dan meminta mereka terus mengambil penumpang di jalan.
Mesej susulan pada sekitar 5.30 petang meminta pemandu yang masih mengalami masalah supaya tidak menggunakan terminal sehingga dimaklum kelak.
Selepas tengah malam pada 16 September, mereka dimaklumkan bahawa perkhidmatan telah pulih.
Pada 15 September, perkhidmatan gentian di beberapa kawasan Bishan dan Thomson terganggu selepas kerja pembinaan merosakkan infrastruktur gentian NetLink Trust.
NetLink Trust mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan infrastruktur rangkaian gentian pasif rangkaian jalur lebar negara. Kira-kira 2,000 sambungan terjejas, termasuk pelanggan Singtel, StarHub dan M1.
Cik Teo berkata NTA segera berunding dengan CDG bagi mendapatkan bantuan kewangan dan sokongan bagi pemandu terjejas serta akan terus membincangkan kebimbangan ahli dengan pengendali itu.
NTA turut meminta CDG memaklumkan pengecualian itu lebih awal supaya pemandu dapat merancang syif.
Namun, Cik Tung menganggarkan kehilangan pendapatan sekitar $80 hingga $100 akibat gangguan itu.
“Sewa sehari bagi saya sekitar $86. Jika sistem tidak berfungsi selama 12 jam, saya rasa lebih adil jika sewa saya dikecualikan,” kata beliau.