SP Mobility dan ComfortDelGro Engie (CDG Engie) memenangi kontrak baharu daripada EV-Electric Charging (EVe) untuk memasang pengecas kenderaan elektrik (EV) di 13 tapak.

EVe ialah anak syarikat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Tapak yang ditetapkan meliputi projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) serta tempat letak kereta di kemudahan riadah di seluruh negara, menurut EVe pada 5 Ogos.

Pemasangan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan tapak pertama dijangka beroperasi menjelang suku ketiga 2027.

Kesemua 13 tapak akan dilengkapi gabungan pengecas arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC) bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna.

Pelaksanaan itu merangkumi empat hab pengecasan pantas bagi menyokong usaha pemerintah mewujudkan sekurang-kurangnya satu hab pengecasan pantas di setiap bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang akhir 2027.

“Pelaksanaan ini penting untuk membina rangkaian yang berkembang bagi memenuhi keperluan pemandu EV.

“Kami akan menyediakan lebih banyak pengecas semalaman berhampiran kawasan kediaman serta hab pengecasan pantas untuk pemandu yang memerlukan pengecasan segera.

“Ini juga membawa kami lebih hampir kepada sasaran mempunyai satu hab pengecasan pantas di setiap bandar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EVe, Cik Stephanie Tan.

Kededua CDG Engie dan SP Mobility merupakan ahli panel EVe yang memenuhi syarat sebagai Pengendali Pengecasan EV bagi menyokong fasa seterusnya pelaksanaan pusat pengecasan awam.

Ahli panel dinilai berdasarkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta keupayaan melaksanakan pembangunan rangkaian pengecasan EV.

Kededua syarikat itu turut memenangi kontrak EVe pada April untuk membangunkan hab pengecasan pantas EV di lapan tapak, termasuk di bandar HDB dan tempat letak kereta di kemudahan riadah.

CDG Engie dianugerahkan dua pakej kontrak, manakala SP Mobility satu.

Kontrak pertama CDG Engie meliputi tempat letak kereta di Tampines, Hougang, Choa Chu Kang, Kallang Whampoa dan Bukit Batok.

Tapak Hougang akan menjadi hab pengecasan pantas DC, dilengkapi enam pengecas DC berkuasa 50 kilowatt (kW) serta enam pengecas AC berkuasa 7.4kW.

Kontrak keduanya pula meliputi pemasangan pusat pengecasan di Bangunan GB, One Punggol, Kelab Masyarakat Fernvale dan Pangkalan Tentera Laut Changi.

Kontrak SP Mobility pula tertumpu kepada kemudahan riadah dengan memasang pengecas DC di Pusat Sukan Jurong East, Pusat Sukan Delta, Pusat Sukan Choa Chu Kang dan Pusat Sukan Woodlands.