Topik diikuti
Pergi ke BHkuComfortDelGro lancar dana $1 juta bagi pendidikan anak pemandu teksi
ComfortDelGro lancar dana $1 juta bagi pendidikan anak pemandu teksi
ComfortDelGro lancar dana $1 juta bagi pendidikan anak pemandu teksi
Lebih 100 pelajar menerima dermasiswa Zig daripada ComfortDelGro (CDG) pada 26 Jun, sempena pelancaran dana $1 juta bagi menyokong pendidikan anak pemandu teksi syarikat itu.
Dana itu akan disalurkan sepanjang lima tahun sebagai sebahagian pelaburan $25 juta bagi program meningkatkan kebajikan pemandu teksi, menurut syarikat berkenaan. Zig ialah cabang perniagaan pengangkutan lokasi-ke-lokasi (P2P) milik CDG.
Seramai 131 pelajar menghadiri majlis penyampaian dermasiswa di Safra Choa Chu Kang yang dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan Kewangan, Encik Jeffrey Siow.
Daripada 131 penerima, 56 ialah murid sekolah rendah, 40 pelajar sekolah menengah dan baki 35 melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sebanyak $200,000 telah disampaikan pada majlis sulung tersebut.
Sebelum ini, dermasiswa itu hanya ditawarkan kepada pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah.
Encik Michael Huang, Ketua Perniagaan Mobiliti P2P Singapura di CDG, berkata kumpulan penerima diperluaskan kerana semakin ramai anak pemandu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Cita-cita mereka semakin berkembang, begitu juga peluang yang tersedia. Sokongan kami juga perlu berkembang seiring dengan mereka,” katanya.
Tiga daripada penerima dermasiswa tersebut ialah tiga anak Encik Sieow Yew Lee, 63 tahun, pemandu teksi CDG selama tiga dekad.
Menyifatkan bantuan kewangan itu sebagai satu “kelegaan besar”, Encik Sieow berkata: “Sokongan seperti ini membantu membayar yuran persekolahan anak saya, mengurangkan beban kewangan saya dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran.”
Anak sulungnya, Encik Yi Xin, berkata anugerah itu mendorongnya untuk terus berusaha gigih dan “mencipta kejayaan dalam hidup saya.”
