Meskipun gagal mendapatkan tiket untuk menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Stadium Negara pada 9 Ogos, Cik Nor Haslinda Suhaimi dan keluarganya tetap ‘turun padang’ – lebih tepat lagi ke Tanjong Rhu Promenade.

Beliau, 34 tahun, dan sekitar 15 anggota keluarganya berkumpul di situ sejak sekitar 2 petang untuk bersama-sama menyaksikan NDP dari seberang Kallang Basin.

Khususnya, mereka ingin memberikan sokongan kepada sepupu Cik Nor Haslinda, Putri Nursheikha Md Anwar, 24 tahun, yang buat pertama kali tampil sebagai anggota kontinjen awam dalam segmen Istiadat dan Perbarisan (P&C) NDP.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di lokasi tersebut, Cik Nor Haslinda berkata:

“Kami berhimpun di sini hari ini untuk menyokong beliau, ini kali pertama beliau terlibat dalam NDP.”

“Sepupu saya berhasrat untuk datang ke sini selepas acara NDP untuk bersama-sama kami menonton pertunjukan bunga api.”

Menurut Cik Nor Haslinda, mereka sebelum ini turut berusaha untuk mendapatkan tiket NDP menerusi undian, namun tidak berjaya.

Sehubungan itu, beliau mendapati sambutan NDP kali ini membawa kembali kenangan menyaksikan perbarisan di Stadium Negara pada tahun-tahun sebelumnya.

Ini seperti menyaksikan NDP di Stadium Negara yang lama pada 2003 ketika masih di sekolah rendah, sebelum kembali menonton perbarisan di Stadium Negara baharu pada 2016.

“Stadium sudah berubah, tetapi berada di pekarangan sini tetap mengembalikan pelbagai kenangan manis bagi saya,” ujar beliau, yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran di sebuah sekolah rendah.

Cik Nor Haslinda dan keluarganya merupakan antara ratusan orang ramai yang memilih untuk berkumpul di sekitar Tanjong Rhu Promenade bagi menikmati bahang sambutan NDP dari luar Stadium Negara.

Meskipun cuaca panas terik, orang ramai tetap kelihatan ceria dan tidak sabar menantikan NDP bermula.

Seumpama dibanjiri lautan merah putih, ada yang sudah tiba seawal 12 tengah hari untuk mendapatkan tempat masing-masing.

Ketika BH tiba sekitar 2.30 petang, beberapa keluarga sudah mula berkelah dengan tikar, kerusi lipat dan bekalan makanan serta minuman.

Menjelang 5 petang, semakin ramai orang memenuhi kawasan Tanjong Rhu Promenade yang berderetan dengan Kallang Basin, dengan ruang lapang yang ada mula dipenuhi keluarga dan kumpulan rakan.

Antara yang turut ke Tanjong Rhu Promenade ialah Cik Zaleha Hashim, 70 tahun, yang tiba seawal 12 tengah hari bersama anak, anak saudara dan cucu-cucunya.

Bahkan, nenek kepada enam cucu itu sudah mula memasak sekitar 5 pagi untuk menyediakan kira-kira 15 bungkus nasi lemak untuk dinikmati bersama anggota keluarganya.

Menurut Cik Zaleha, anak bongsunya, Cik Hazira Kahar, menjemput beliau untuk turun ke Tanjong Rhu Promenade untuk menonton NDP dari dekat – di luar pekarangan Stadium Negara.

“Cik amat ghairah sejak semalam untuk turun ke sini, jadi cik siapkan makanan ini semua. Cik mula memasak sejak sekitar 5 pagi tadi.

“Cik memang suka lihat perbarisan NDP, tetapi tak selalu dapat turun sebegini kerana sakit-sakit lutut.

“Tetapi kali ini lebih mudah kerana menantu cik yang hantar kami ke sini. Cik tak sabar untuk melihat bunga api nanti,” ujar beliau, yang berkerusi roda.

Bagi pasangan suami-isteri Encik Muhamad Faris Syauqi, 38 tahun, dan Cik Samirah Ramli, 44 tahun, sambutan NDP 2026 pula cukup bermakna kerana ia merupakan kali pertama mereka sekeluarga menyambut Hari Kebangsaan di Singapura.

Encik Faris, 38 tahun, baru menjadi Penduduk Tetap (PR) Singapura pada 2025 selepas mula menetap di sini pada 2020.

Sebelum ini, keluarga mereka lazimnya pulang ke Malaysia setiap kali cuti NDP.

Namun, tahun ini, Cik Samirah, 44 tahun, seorang warga Singapura ingin suami dan tiga anak mereka merasakan sendiri suasana sambutan Hari Kebangsaan di Singapura.

“Walaupun mereka ada latar belakang Singapura dan Malaysia, saya mahu mereka rasa patriotisme di Singapura juga.

“Saya mahu mereka menikmati sendiri makna menjadi rakyat Singapura,” kata Cik Samirah, seorang guru prasekolah.

“Walaupun mereka ada latar belakang Singapura dan Malaysia, saya mahu mereka rasa patriotisme di Singapura juga. Saya mahu mereka menikmati sendiri makna menjadi rakyat Singapura.”
Cik Samirah Ramli, 44 tahun, yang meraikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bersama suaminya, Encik Muhamad Faris Syauqi, 38 tahun, yang menjadi Penduduk Tetap (PR) Singapura pada 2025.

“Cik amat ghairah sejak semalam untuk turun ke sini, jadi cik siapkan makanan ini semua. Cik mula memasak sejak sekitar 5 pagi tadi. Cik memang suka lihat perbarisan NDP, tetapi tak selalu dapat turun sebegini kerana sakit-sakit lutut. Tetapi kali ini lebih mudah kerana menantu cik yang hantar kami ke sini. Cik tak sabar untuk melihat bunga api nanti.”
Cik Zaleha Hashim, 70 tahun, meraikan Hari Kebangsaan Singapura bersama anak, anak saudara, dan cucu-cucunya.