Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dialog antara agama penting bagi tingkat perpaduan sosial

Belia dan pekerja migran juga perlu didedahkan kepada inisiatif antara agama agar faham konteks S’pura
Nov 26, 2025 | 6:36 PM
dialog, Taman Bacaan
Sekitar 40 pemimpin antara agama, pemikir, dan pendukung masyarakat di Singapura menegaskan kembali pendirian bersatu menentang sebarang bentuk eksklusivisme agama, kebencian dan tiada toleransi, dalam satu sesi dialog anjuran Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, di pejabat mereka di Jalan Damai pada 22 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan adanya peningkatan pada mereka yang berpegang dalam memperkuatkan identiti sendiri secara berlebihan serta isu polarisasi, penting bagi rakyat Singapura untuk lebih melibatkan diri dengan inisiatif antara agama.

Usaha seperti dialog antara agama ialah satu proses yang harus sentiasa dilakukan, dan bukanlah sebagai matlamat terakhir.

Ini agar masyarakat di sini sentiasa ‘berbual dengan satu sama lain’ dan bukan ‘tentang satu sama lain’.

Sesuai dengan itu, golongan belia dan pekerja migran juga perlu lebih didedahkan kepada inisiatif sedemikian agar mereka dapat memahami konteks Singapura serta menjadi rangkaian sokongan untuk membina perpaduan sosial.

Isu itu diketengahkan pemimpin antara agama dalam satu sesi dialog anjuran Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, di pejabat mereka di Jalan Damai pada 22 November.

Acara hampir dua jam itu menghimpunkan sekitar 40 pemimpin antara agama, pemikir, dan pendukung masyarakat di Singapura untuk menegaskan kembali pendirian bersatu menentang sebarang bentuk eksklusivisme agama, kebencian dan tiada toleransi.

Menurut beberapa pemimpin, dialog antara agama bukan sekadar wadah untuk mendengar, malah untuk memahami dan mengetahui apakah yang mereka tidak tahu.

Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata tidak cukup bagi sesi dialog menjadi ‘ruang selamat’, tetapi perlu menjadi ‘ruang berani’ dengan hadirin digalakkan memikir semula perkara yang mereka kurang tahu.

“Mendengar memerlukan kita untuk... mempersoalkan andaian sendiri, dan juga bersedia untuk ubah satu pemahaman apabila bertemu orang lain.

“Mempertikaikan diri sendiri sangat sukar, maka kita mesti mempunyai ruang berani bukan untuk menyoal orang lain, tetapi untuk menyoal diri sendiri ‘saya tidak tahu tentang perkara ini, dan saya perlu belajar’,” ujarnya.

Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib.
Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Imran menambah, dialog ialah satu-satunya cara untuk menyelesaikan perbezaan dan mendalami pemahaman antara satu sama lain.

Terutamanya dengan semakin banyak mentaliti ‘kami menentang mereka’ muncul, ia boleh menimbulkan ideologi permusuhan dan menyebabkan sesetengah pihak melihat masyarakat lain sebagai ancaman.

Pengarah Urusan perundingan pendidikan Islam Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, berkata jika satu agama itu tidak mengenali agama lain, sudah semestinya terdapat andaian yang akan dilontarkan terhadap satu sama lain.

Lantas, beliau menggesa rakyat Singapura agar belajar, hormat, dan menerima.

“Kita perlu saling menerima. Saya cuma mahu belajar dan menghormati anda, dan mengajak anda untuk terlibat dalam apa sahaja yang kami (masyarakat Islam) lakukan sebagai rakyat Singapura… dan hidup di sini dengan gembira,” katanya.

Dr Leyaket menambah, jika usaha tersebut dapat dicapai, ia lebih mudah bagi masyarakat berbilang kaum untuk tampil melindungi anggota masyarakat ketika diskriminasi terhadap satu agama berlaku.

“Ini (isu diskriminasi) sesuatu yang kita tidak seharusnya tangani secara bersendirian.

“Saya mahu semua masyarakat berkata bahawa mereka tidak bersetuju dengan perkara itu dan ia datang secara sukarela daripada pihak kepimpinan mereka sendiri, bukan kerana ada arahan daripada pihak berkuasa,” jelasnya.

Pengarah Urusan perundingan pendidikan Islam Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar (tengah), berkata jika masyarakat tidak mengetahui mengenai agama lain, akan terdapat andaian yang akan dilontarkan terhadap satu sama lain. Beliau dilihat bersama Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader (kiri).
Pengarah Urusan perundingan pendidikan Islam Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar (tengah), berkata jika masyarakat tidak mengetahui mengenai agama lain, akan terdapat andaian yang akan dilontarkan terhadap satu sama lain. Beliau dilihat bersama Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader (kiri). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sementara itu, pengasas yang juga presiden pertubuhan antara agama, hash.peace, Cik Nazhath Faheema, berkata isu antara agama bukan sekadar satu keperluan atau minat, malah satu komitmen dan tanggungjawab.

“Antara agama perlu disepadukan dengan cinta kepada tanah air – dan apabila terdapat cinta, ia adalah untuk melindunginya. Ini juga relevan walaupun dengan semua perbezaan yang wujud sebagai seorang warga sejagat.

“Salah satu aspek utama usaha antara agama ialah keupayaannya menetapkan syarat yang diperlukan untuk mengekalkan keharmonian itu bagi generasi kini dan akan datang.

Pengasas yang juga presiden pertubuhan antara agama, hash.peace, Cik Nazhath Faheema.
Pengasas yang juga presiden pertubuhan antara agama, hash.peace, Cik Nazhath Faheema. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seorang Jawatankuasa Eksekutif hash.peace dan ketua belia Harmony Circle di Ayer Rajah, Encik Didi Amzar Harun, pula berkata antara cabaran belia untuk menyertai dialog antara agama ialah kurang keyakinan dengan pengetahuan agama mereka sendiri.

Ini kerana mereka takut jika ditanya mengenai agama mereka dan tidak mampu untuk menjawab.

“Ini antara satu kumpulan remaja besar yang sepatutnya kita cuba kenal pasti.

“Mungkin salah satu cara ialah dengan menjadikan dialog antara agama bukan sebagai sesuatu yang terlalu menekankan keagamaan seseorang, malah lebih kepada perkongsian mengenai agama dan amalan masing-masing,” katanya.

Encik Didi, 27 tahun, turut menambah bahawa terdapat juga golongan belia yang tidak menyifatkan dialog sedemikian sebagai satu keutamaan, dan penting bagi mereka memahami tentang kepentingan dialog.

Sementara itu, beliau turut akur landskap penduduk Singapura bakal berubah pada masa akan datang dengan pekerja migran merupakan bahagian penting struktur sosial di sini.

Mereka memainkan peranan tidak ternilai dalam membina prasarana, ruang, dan rumah.

Namun, ramai rakyat Singapura mempunyai peluang terhad untuk berinteraksi dengan mereka secara bermakna, lantas konteks mengenai kehidupan sosial di sini mungkin sukar untuk disampaikan kepada mereka.

“Kita mempunyai ramai pekerja migran, warga asing, dan ekspatriat di Singapura.

“Pada bila-bila masa, jumlah mereka adalah sekitar 1.5 hingga 2 juta orang di Singapura, iaitu sebahagian besar daripada masyarakat kita.

“Jika dialog antara agama tidak melibatkan mereka, ia merupakan satu peluang besar yang terlepas,” tambahnya.

Seorang lagi hadirin ialah Presiden Kumpulan Belia Persekutuan Taois, Encik Derek Tan.

Bercakap kepada BH, Encik Tan berkata dialog tersebut mengukuhkan tanggungjawab bersama untuk menolak kebencian, membina jambatan, dan melindungi keharmonian yang dinikmati.

Dengan bergabung tenaga, pemimpin antara agama dapat mengambil pendirian tegas dan bersatu menentang sikap eksklusif serta diskriminasi.

“Sebagai seseorang daripada agama yang berbeza, saya melihat acara antara agama sebagai wadah berkesan untuk mengukuhkan perpaduan sosial.

“Ia memberi kita peluang untuk memasuki ruang keagamaan satu sama lain, mempelajari amalan berbeza, dan menghargai nilai-nilai yang dikongsi bersama,” katanya.

Presiden Kumpulan Belia Persekutuan Taois, Encik Derek Tan. 
Presiden Kumpulan Belia Persekutuan Taois, Encik Derek Tan.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg