Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua lelaki ditangkap curi minyak wangi di Lapangan Terbang Changi
Dua lelaki warga asing ditangkap kerana disyaki mencuri minyak wangi dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Changi.
Salah seorang daripada mereka merupakan warga lelaki berasal dari Australia yang berusia 37 tahun, manakala yang seorang lagi adalah warga Amerika Syarikat berusia 50 tahun.
Salah seorang daripada mereka juga diberkas ketika singgah di Singapura dalam penerbangan transit lebih lapan bulan selepas kecurian itu.
Menurut kenyataan polis pada 16 Ogos, kedua-dua lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada 17 Ogos.
Kesalahan mencuri dalam bangunan atau kediaman boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya.
Polis dimaklumkan mengenai kes melibatkan warga Australia itu pada 19 November 2025, kira-kira 6.45 petang, selepas seorang kakitangan kedai di kawasan transit Terminal 2 Lapangan Terbang Changi mendapati dua kotak minyak wangi hilang dari rak pameran.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu mengambil minyak wangi bernilai kira-kira $430 pada 4.50 petang, sebelum beredar tanpa membayar.
Suspek meninggalkan Singapura sebelum polis sempat mengenal pasti identitinya, tetapi ditangkap pada 4 Ogos ketika transit di Lapangan Terbang Changi, lebih lapan bulan selepas kecurian itu dilaporkan.
Dalam kes berasingan yang melibatkan suspek warga Amerika, polis dimaklumkan mengenai satu kes kecurian pada 5 Ogos, kira-kira 1.25 pagi, selepas seorang pembantu kedai mendapati sekotak minyak wangi hilang dari rak pameran sebuah kedai di kawasan transit Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki itu mengambil minyak wangi berharga lebih $310 dan beredar tanpa membayar, pada kira-kira 12.40 pagi.
Polis berjaya menangkapnya sebelum dia sempat menaiki penerbangan.
Pemeriksaan lanjut rakaman CCTV mendapati lelaki itu turut mencuri sekotak minyak wangi bernilai sekitar $170 dan sebotol minyak wangi penguji yang berharga lebih $230 dari dua kedai lain di kawasan transit.
Ketiga-tiga barangan dicuri bernilai lebih $717 itu berjaya ditemukan semula.
Komander Divisyen Polis Lapangan Terbang (APD), Penolong Pesuruhjaya (AC) M. Malathi, berkata pada 16 Ogos, pihak polis tegas terhadap kes kecurian di kedai dan memberi amaran penjenayah akan dikenakan tindakan atas perbuatan mereka.
“Kes ini mengingatkan bahawa kemajuan teknologi CCTV dan penggunaannya secara meluas oleh peruncit telah meningkatkan keupayaan mengesan kesalahan seperti ini.
“Walaupun pesalah pada mulanya terlepas daripada dikesan, siasatan tetap akan membolehkan mereka dikenal pasti dan ditangkap,” katanya.
Beliau menambah unit polis lapangan terbang akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mencegah dan membendung kecurian di kedai di Lapangan Terbang Changi.
