Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Empat dekad tabur bakti pada masyarakat di Boon Lay

Oct 23, 2025 | 8:15 PM
Dalam menabur bakti kepada masyarakat Boon Lay selama lebih empat dekad, Cik Sakinah Jamin rasa bangga melihat kanak-kanak yang pernah dibantunya membesar menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berjaya dalam kehidupan mereka.
Dalam menabur bakti kepada masyarakat Boon Lay selama lebih empat dekad, Cik Sakinah Jamin rasa bangga melihat kanak-kanak yang pernah dibantunya membesar menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berjaya dalam kehidupan mereka. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Meskipun menetap di Jurong West Avenue 1 selama 11 tahun, Cik Sakinah Jamin masih menyifatkan estet perumahan Boon Lay sebagai kawasan yang dekat di hatinya.

Bahkan, Kelab Masyarakat (CC) Boon Lay dianggapnya sebagai “rumah kedua”.

Wanita berusia 72 tahun itu telah menabur bakti kepada masyarakat lebih separuh hidupnya, yang bermula pada awal 1980-an ketika anak perempuan sulungnya bersekolah di tadika.

Sejak itu, beliau melibatkan diri dalam kegiatan yang melibatkan ibu bapa dengan guru, dan tidak lama kemudian menyertai pula Jawatankuasa Kecil Wanita – yang kini lebih dikenali sebagai Jawatankuasa Eksekutif Wanita.

“Pada awalnya, saya berjinak-jinak di Kelab Masyarakat (CC) Boon Lay ketika menghantar anak saya di tadika Persatuan Rakyat (PA) pada awal 1980-an. Dari situ, saya mula aktif dengan pelbagai aktiviti di CC.

“Ketika itu, tidak ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam yang aktif di CC, maka saya dipelawa untuk menyertai Jawatankuasa Kecil Wanita yang kini dipanggil Jawatankuasa Eksekutif Wanita,” kongsi Cik Sakinah semasa diwawancara Berita Harian (BH) menerusi talian.

Bersama jawatankuasa tersebut, beliau telah menganjurkan lawatan pembelajaran, sesi memasak, dan program kemasyarakatan.

Ini termasuk menyediakan dan memasak bekalan makanan tengah hari untuk kanak-kanak kejiranan yang tiada pusat jagaan selepas sekolah.

Cik Sakinah berkata ia untuk memastikan kanak-kanak tidak lapar sementara menunggu ibu bapa pulang pada waktu senja, selain memberi mereka peluang berehat atau menyiapkan kerja rumah.

“Pada masa itu, tiada ada pusat jagaan selepas sekolah. Jadi, terdapat sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan sementara ibu bapa mereka bekerja… kami merancang untuk mewujudkan pusat jagaan selepas sekolah,” ujar Cik Sakinah, yang memberitahu bahawa pusat tersebut terletak di CC Boon Lay.

Beliau menambah, pengalaman lima beradik dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal menjadi pendorong utama untuk beliau membantu kanak-kanak lain.

“Apabila saya mengenang masa lalu, kehidupan kami sangat susah dan saya anggap kami sangat miskin. Ibu saya bekerja keras membesarkan kami.

“Inilah yang membulatkan tekad saya untuk membantu mereka yang memerlukan, untuk menyumbang balik pada masyarakat, bagi apa yang telah ibu saya lakukan untuk kami,” kata beliau.

Usaha kemasyarakatannya kemudian berkembang apabila suri rumah itu seterusnya dilantik ke pelbagai jawatankuasa lain di Boon Lay seperti Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Kini, beliau menggalas peranan sebagai anggota Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Boon Lay di bawah Persatuan Rakyat (PA), dan telah berkhidmat dalam peranan tersebut selama lebih 25 tahun.

Cik Sakinah diketengahkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa berucap kepada sekitar 1200 hadirin dalam majlis ulang tahun ke-60 CCC di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 23 Oktober.

Sebahagian tanggungjawab Cik Sakinah dalam jawatankuasa kebajikan CCC itu termasuk mengadakan lawatan ke rumah penduduk, menilai keperluan mereka, dan menghubungkan mereka dengan agensi bantuan yang sesuai.

Dalam kerja kemasyarakatannya itu, beliau kerap didedahkan kepada pelbagai masalah yang dihadapi penduduk, daripada isu kewangan, perumahan, sehingga kepada konflik rumah tangga dan hak penjagaan anak.

Dalam menjalankan tugasnya, ibu kepada dua anak berusia 40 dan 47 tahun itu menekankan pentingnya pendekatan peribadi apabila berinteraksi dengan penduduk.

“Mereka tidak akan mencurahkan masalah mereka pada pertemuan pertama. Kita perlu perlahan-lahan berkenalan dan membina hubungan dengan mereka.

“Pada mulanya, mereka hanya akan berkongsi sedikit demi sedikit, tetapi lama-kelamaan, bila mereka selesa dan yakin kita benar-benar mendengar, mereka akan lebih terbuka dan memberitahu apa yang terbuku di hati,” kongsi beliau.

Menurutnya, sokongan keluarga, khususnya suaminya, Encik Zailani Amino, 80 tahun, membantu memudahkan perjalanan kerja kemasyarakatannya yang merentas selama empat dekad itu.

“Ia datang dari hati, dengan niat ikhlas untuk membantu tanpa mengharapkan balasan. Dengan sokongan keluarga, saya dapat terus berkhidmat selagi dikurniakan kesihatan,” ujar Cik Sakinah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg