Persatuan Rakyat (PA) akan melatih 1,000 pemimpin akar umbi selaku penyelaras kegiatan dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk kepercayaan dan mengukuhkan fabrik sosial Singapura, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Program tersebut, yang dinamakan Program Penyelaras Masyarakat, akan bermula dengan pemimpin akar umbi daripada Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC), yang beliau sifatkan sebagai “pertubuhan akar umbi utama” di bawah naungan PA.
Inisiatif tersebut akan menyaksikan PA bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IHL) mulai 2026 untuk melatih pemimpin akar umbi secara sistematik, khususnya kemahiran lanjutan penglibatan dan penyelarasan dalam kalangan masyarakat, bagi membantu membina rakyat berteraskan semangat ‘Kita Dahulu’.
“Kami akan melabur untuk memperkukuh kemahiran pemimpin akar umbi, contohnya dalam kemahiran penyelarasan masyarakat agar dapat memanfaatkan aset masyarakat dengan lebih berkesan dan menggerakkan rakyat bersama.
“Untuk membawa Singapura ke hadapan, kita mesti jadi sebuah masyarakat di mana warganya mengutamakan ‘kita’ sebelum ‘saya’ dan saling membantu untuk berjaya.
“Sebagai pemimpin CCC, anda mencerminkan semangat ‘Kita Dahulu’ ini,” ujar Encik Wong.
Encik Wong, yang juga Pengerusi PA, berkata demikian semasa berucap kepada sekitar 1,200 hadirin dalam majlis ulang tahun ke-60 CCC di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 23 Oktober.
Selain pemimpin dan penasihat akar umbi, majlis itu, antara lain, turut dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, yang juga Naib Pengerusi PA; serta Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Menurut PA dalam satu kenyataan, program tersebut bertujuan melengkapi pemimpin akar umbi dengan kemahiran bagi mengenal pasti kekuatan dan keinginan tempatan, menghubungkan penduduk, serta menggalakkan kerjasama dalam isu-isu yang penting bagi masyarakat.
“Penduduk boleh menjangkakan lebih banyak sesi penglibatan di seluruh kawasan undi, di lokasi yang lebih mudah diakses serta lebih dekat dengan mereka, yang menawarkan peluang lebih bermakna untuk membentuk masyarakat serta menyumbang kepada masa depan bersama Singapura,” ujar PA dalam kenyataannya.
CCC, yang ditubuhkan pada 1965, memainkan peranan sebagai penghubung antara pemerintah dengan penduduk, membantu dalam menyokong dasar awam serta memastikan suara masyarakat didengar.
Mengambil kira pengedaran zaman selaras dengan pembangunan Singapura, pendekatan dan kaedah CCC kini, ujar Encik Wong, perlu disesuaikan agar kekal relevan dengan keperluan masyarakat.
Beliau menukil dua contoh inisiatif CCC dalam usaha mereka memenuhi keperluan sedemikian.
Ia termasuk CCC Nee Soon South yang telah bekerjasama dengan perusahaan sosial SG Assist, untuk membina pusat sumber bagi penjaga berkongsi dan menyokong antara satu sama lain dan CCC Cheng San yang menubuhkan Projek x100 bagi membolehkan warga emas menjalani gaya hidup sihat serta membina ikatan masyarakat.
Sehubungan itu, Encik Wong menekankan keperluan untuk terus mempertingkatkan akar umbi ini, dengan lebih 2,000 pertubuhan akar umbi (GRO) dan 38,000 sukarelawan akar umbi di Singapura.
Ini sambil memastikan ia kekal berkesan dalam memupuk kepercayaan dan mengukuhkan fabrik sosial negara.
“Keberkesanan rangkaian kita bukan terletak pada bilangan. Ia terletak pada cara kita berhubung dengan penduduk.
“Oleh itu, kita mesti terus memperkukuh rangkaian ini melepasi sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) dan memastikan ia kekal berkesan dalam memupuk kepercayaan serta mengukuhkan fabrik sosial kita,” kongsi beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg