Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmpat dibawa ke hospital selepas diserang tebuan di Redhill, sarang dihapuskan
Empat dibawa ke hospital selepas diserang tebuan di Redhill, sarang dihapuskan
Empat dibawa ke hospital selepas diserang tebuan di Redhill, sarang dihapuskan
Empat orang dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas diserang tebuan berhampiran Pasar Redhill pada petang 10 Julai.
Menjawab pertanyaan media, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Majlis Bandaran Tanjong Pagar berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian di Redhill Lane pada kira-kira 1 petang pada 10 Julai.
Majlis bandaran berkata tebuan itu berasal daripada sarang di sebatang pokok di laluan pejalan kaki antara Blok 78 Redhill Lane dengan sebuah stesen minyak Shell.
Pegawai majlis segera mengepung kawasan dengan penghadang dan mengarahkan kontraktor kawalan serangga menghapuskan sarang berkenaan.
Majlis bandaran memaklumkan bahawa sarang itu telah dihapuskan dan kawasan tersebut kini selamat digunakan orang ramai.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Chen memberitahu akhbar Cina Shin Min Daily News bahawa beliau sedang minum kopi di pasar itu apabila terdengar jeritan memaklumkan terdapat tebuan di sebatang pokok dan seorang lelaki warga emas telah dikejar serta diserang.
Seorang lagi saksi, Cik Mei Zhen, berkata beliau menemui seorang wanita berusia sekitar 70-an tahun yang kelihatan cemas sambil meraba-raba rambutnya di singki sebuah tandas berhampiran.
Menurut Cik Mei Zhen, telinga wanita itu merah, bengkak dan berdarah. Mangsa turut mengadu sakit kepala dan pening.
“Lebih 10 ekor tebuan berlegar-legar di sekeliling kepalanya. Ada yang keluar dari rambutnya, manakala yang lain terbang ke lantai dan pintu tandas,” cerita Cik Mei Zhen.
Menurut laman web Hospital Universiti Nasional (NUH), tebuan boleh menyengat berkali-kali dan menyuntik lebih banyak bisa pada setiap sengatan berbanding lebah atau penyengat yang lebih kecil.
Bisa serangga Hymenoptera ini mengandungi histamin yang mencetuskan tindak balas alahan serta melitin yang menyebabkan kesakitan. Ia juga mengandungi protein seperti fosfolipase dan hialuronidase yang boleh menjadi toksik kepada sel manusia.
Dalam kes parah, mangsa boleh mengalami tekanan darah rendah, aliran darah yang tidak mencukupi ke organ penting atau pembengkakan saluran pernafasan yang menyebabkan sesak nafas.
Majlis Bandaran Tanjong Pagar menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan segera menjauhi kawasan itu jika menemui sarang tebuan atau tebuan yang mengganas.
Mereka juga dinasihatkan mendapatkan perlindungan di bangunan berhampiran dan tidak mengganggu atau cuba menghapuskan sarang tersebut.
Sesiapa yang disengat hendaklah segera meninggalkan kawasan itu dan menghubungi talian 995 untuk mendapatkan ambulans jika mengalami gejala teruk atau memerlukan bantuan perubatan segera.
Pada 2024, serangan tebuan di Sungei Buloh menyebabkan lima orang dibawa ke hospital.
Dalam satu lagi kejadian pada tahun sama, seorang lelaki meninggal dunia selepas diserang tebuan ketika berbasikal di Rangkaian Penghubung Taman (PCN) Sembawang.
