Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan 5G: Badan penerbangan sedunia beri amaran risiko keselamatan; tiada kes dilapor di S’pura

CAAS terus kerjasama dengan IMDA, syarikat telekomunikasi tempatan, rakan antarabangsa pastikan rangkaian selamat
Dec 17, 2025 | 7:27 PM
Singapura, CAAS, IMDA, 5G, network, penerbangan, flight, interference, gangguan
Juruterbang syarikat penerbangan yang beroperasi di Singapura tidak melaporkan sebarang isu gangguan. - Foto ST

Kebimbangan mengenai risiko gangguan rangkaian 5G terhadap sistem penerbangan telah dibangkitkan di peringkat sedunia.

Namun operasi pesawat di Singapura setakat ini tidak terjejas, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Ini menyusuli amaran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), sebuah badan industri penerbangan sedunia, pada 9 Disember, mengenai kemungkinan gangguan 5G terhadap sistem penerbangan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Juruterbang syarikat penerbangan yang beroperasi di Singapura tidak melaporkan sebarang isu gangguan, kata Pengarah Piawaian Penerbangan CAAS, Encik Foong Ling Huei.

5G ialah teknologi mudah alih generasi kelima dengan kelajuan lebih pantas, sambungan lebih mantap dan keupayaan perhubungan lebih besar berbanding 4G.

CAAS telah bekerjasama rapat dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), syarikat telekomunikasi tempatan serta pengawal selia penerbangan antarabangsa, bagi menilai kesan teknologi 5G terhadap penerbangan.

“Rangkaian 5G di Singapura menggunakan jalur frekuensi antara 3.45 dengan 3.65 gigahertz (GHz), yang jauh berbeza daripada frekuensi altimeter radio pesawat, iaitu antara 4.2 dengan 4.4 GHz,” kata Encik Foong, pada 12 Disember.

Beliau menambah stesen pemancar 5G di Singapura juga beroperasi pada tahap kuasa yang rendah, sekali gus mengurangkan lagi risiko gangguan, lapor The Straits Times (ST).

Altimeter radio ialah peranti penting yang mengukur ketinggian pesawat dari permukaan tanah, khususnya semasa pendaratan apabila maklumat ketinggian yang tepat diperlukan bagi sistem automatik dan pembuat keputusan juruterbang.

CAAS turut menjalankan ujian langsung di peringkat tempatan, yang tidak mengesan sebarang gangguan ketara terhadap operasi pesawat.

Penguasa itu akan terus bekerjasama dengan IMDA, syarikat telekomunikasi tempatan serta rakan antarabangsa bagi memastikan kewujudan bersama rangkaian 5G – dan pada masa depan, 6G – yang selamat dengan sistem penerbangan.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), anak syarikat tambang rendahnya Scoot, serta Cathay Pacific berkata tiada kes gangguan 5G yang dilaporkan atau disahkan melibatkan pesawat mereka.

Jurucakap Iata berkata gangguan lazimnya bergantung kepada tahap kuasa yang digunakan dan jalur frekuensi yang diperuntukkan.

Cathay Pacific turut memaklumkan ia telah menaik taraf altimeter radio bagi armada kargo B747 antara 2022 dengan 2023 supaya serasi dengan 5G.

Di peringkat sedunia, kebimbangan mengenai potensi gangguan 5G terhadap sistem penerbangan masih berterusan.

Isu ini dibincangkan pada Hari Media Sedunia Iata di Geneva, Switzerland, apabila perbezaan pendekatan negara terhadap penggunaan spektrum dibangkitkan.

Naib Presiden Kanan Operasi, Keselamatan dan Keselamatan Iata, Encik Nick Careen, berkata tiada piawaian antarabangsa yang seragam dalam menangani isu 5G, menimbulkan ketidakpastian dalam industri penerbangan.

Menurut Iata, risiko gangguan secara umumnya berpunca daripada dua sumber.

Gangguan boleh berpunca daripada sistem telekomunikasi berhampiran jalur penerbangan serta sistem pesawat lama yang mempunyai keupayaan penapisan terhad, kata Encik Careen.

Beliau menambah gangguan boleh menjejas sistem komunikasi dan pengemudian pesawat, menyebabkan kelewatan dan perubahan laluan, serta meningkatkan beban kerja juruterbang dan pengawal trafik udara apabila automasi terjejas.

Iata menyeru agar penyelarasan piawaian sedunia dipertingkatkan dan kerjasama lebih erat diwujudkan antara pihak berkuasa telekomunikasi dan penerbangan bagi memastikan keselamatan penerbangan terus terpelihara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg