Harga flat jualan semula HDB naik 2.9% pada 2025
Pertumbuhan harga paling perlahan sejak 2019; data suku keempat 2025 tunjuk harga makin stabil
Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 2.9 peratus pada 2025, namun kadar kenaikan itu jauh lebih perlahan berbanding lonjakan 9.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut HDB pada 23 Januari, ini adalah pertumbuhan harga jualan semula yang paling perlahan sejak 2019.
Malah harga jualan semula kekal tidak berubah pada tiga bulan terakhir 2025, kali pertama sejak suku pertama 2020.
Harga flat jualan semula HDB telah meningkat setiap suku tahun sejak suku kedua 2020, didorong pandemik Covid-19, yang melambatkan pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan mengehadkan bekalan perumahan awam.
Walau bagaimanapun, data suku keempat 2025 menunjukkan harga semakin stabil, menyusuli empat suku berturut-turut dengan pertumbuhan yang semakin lembap. Pada suku kedua, ketiga, dan keempat 2025, pertumbuhan harga masing-masing di bawah 1 peratus.
Penganalisis hartanah sepakat bahawa angka terkini menandakan harga hartanah sedang melalui fasa pemantapan.
Ketua penyelidik Realion (OrangeTee & ETC) Group, Cik Christine Sun, mengaitkan pertumbuhan harga yang lebih perlahan pada 2025 dengan permintaan flat jualan semula yang semakin reda, disokong oleh bekalan flat BTO dan Penjualan Baki Flat (SBF) yang lebih mantap.
SBF membolehkan pembeli memohon baki flat daripada pilihan BTO terdahulu, pada pelbagai peringkat pembinaan.
Pada suku keempat 2025, harga jualan semula menurun di 16 daripada 26 bandar HDB.
Penurunan paling ketara dicatatkan di kawasan pusat termasuk The Pinnacle@Duxton (11.1 peratus), diikuti Ang Mo Kio (7.6 peratus) dan Toa Payoh (5.7 peratus).
Pengarah kanan analitik data Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata lebih separuh bandar HDB mencatat penurunan harga suku tahunan buat pertama kali sejak suku ketiga 2019.
Harga purata flat empat bilik pada suku keempat ialah $670,776, iaitu 0.9 peratus lebih rendah berbanding suku sebelumnya.
Sejak pelaksanaan pemutus litar Covid-19 pada April 2020, harga jualan semula HDB telah melonjak sebanyak 54.4 peratus.
Jumlah transaksi juga menurun. Pada suku terakhir 2025, sebanyak 5,256 flat jualan semula dijual, susut 27.2 peratus berbanding suku ketiga.
Secara keseluruhan, 26,169 flat bertukar tangan pada 2025, iaitu 9.7 peratus lebih rendah berbanding 2024.
Kali terakhir flat jualan semula tahunan menurun ialah pada 2023, susut 4.2 peratus berbanding 2022 dan kurang daripada separuh kadar penurunan semasa.
Walaupun harga dan jumlah jualan semula HDB merosot pada suku akhir 2025, segmen flat jualan semula bernilai sejuta dolar mencatat prestasi kukuh sepanjang tahun.
Menurut data HDB, harga median flat empat bilik di Queenstown mencecah $998,000 pada suku terakhir 2025, naik daripada $988,000 pada suku sebelumnya.
Flat eksekutif di Hougang berada di tempat kedua paling mahal, dengan harga median $986,500, turun daripada $997,000 pada suku ketiga.
Sebanyak 351 transaksi flat sejuta dolar dicatat pada suku keempat 2025, menurun daripada 480 unit pada suku sebelumnya.
Sepanjang 2025, 1,594 flat sejuta dolar dijual, meningkat 54.7 peratus berbanding 1,035 unit pada 2024.
Ketua pegawai eksekutif ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata 52.4 peratus transaksi sejuta dolar pada 2025 melibatkan flat berusia 15 tahun dan ke bawah.
Katanya, ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap flat HDB baru di estet matang kawasan pusat.
Walaupun transaksi flat sejuta dolar meningkat sepanjang tahun, Encik Lim berkata ia kekal sebagai minoriti dengan hanya 6.1 peratus transaksi pada suku keempat.
Beliau berkata kebanyakan flat HDB masih berpatutan, dengan 73 peratus urus niaga jualan semula berada di bawah $750,000.
HDB berkata pemerintah akan terus memantau jualan hartanah dan menasihatkan pembeli supaya berhemah dalam mengambil pinjaman, memandangkan prospek ekonomi yang tidak menentu.
HDB merancang melancarkan sekitar 19,600 flat BTO pada 2026, termasuk lebih 4,000 unit dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun.

