Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kalau pawagam kian pupus di S’pura, wayang masih laku di negara lain

Oct 13, 2025 | 5:30 AM
Penutupan mendadak pawagam ‘indie’, The Projector, pada 19 Ogos, dan pawagam Cathay Cineplexes pada 1 September, selepas wujud selama sedekad di Singapura, adalah gambaran betapa pawagam di sini kian pupus kerana populariti wadah penstriman, yang dekat di hati generasi muda, yang selesa menontonnya di keselesaan rumah mereka.
Penutupan mendadak pawagam ‘indie’, The Projector, pada 19 Ogos, dan pawagam Cathay Cineplexes pada 1 September, selepas wujud selama sedekad di Singapura, adalah gambaran betapa pawagam di sini kian pupus kerana populariti wadah penstriman, yang dekat di hati generasi muda, yang selesa menontonnya di keselesaan rumah mereka. - Foto PIXABAY

Pawagam dan saya memang tidak dapat dipisahkan sejak kecil lagi.

Ia ruang untuk saya dan bapa saya luangkan masa bersama kerana kami berdua memang ‘hantu filem’.

Meskipun sudah ada wadah penstriman seperti Netflix, kaki ini tetap selesa melangkahkan kaki ke pawagam bersama bapa yang kini meniti usia senja 80-an tahun demi menikmati kesan visual layar raksasa, kerusi empuk pawagam yang selesa serta kesan bunyi realistik.

Lantaran itu, berita tentang pawagam di Singapura yang tutup satu demi satu dengan jenama besar Cathay Cineplexes, dengan sejarah 86 tahun, gulung tikar sepenuhnya pada 1 September lalu, kerana tekanan kewangan, membuatkan saya diselubungi kesedihan,

Pawagam ‘indie’, The Projector, juga ditutup secara mendadak pada 19 Ogos, selepas 10 tahun menjadi ruang buat pencinta filem yang menantikan pesta-pesta filem ‘indie’ ditayangkan di situ.

Baru-baru ini, saya terbaca satu rencana di laman Channel News Asia bertajuk, Why cinemas are still thriving in some countries, yang menyentuh tentang mengapa pawagam di Vietnam, Indonesia, Perancis, masih mampu bertahan sedangkan pawagam di Singapura, dengan daya kemampuan penontonnya yang dianggap mantap, terpaksa ‘mengibar bendera putih’ kerana bebanan kewangan yang tidak dapat dielakkan lagi.

Antara sebab yang disenaraikan adalah bilangan penduduk muda yang masih suka menonton filem di pawagam, kian bertambahnya pusat beli-belah baru yang lebih inovatif, pilihan ruang menonton wayang yang dimampui penonton serta filem setempat yang dapat mencapai status ‘pecah panggung’ bahkan menarik lebih keuntungan daripada filem Hollywood atau Korea.

Jumlah penonton yang menyaksikan filem di peringkat sejagat dikatakan merosot sebanyak 8.8 peratus, berbanding 2023. Ia mencecah 4.8 bilion sahaja, tahun pertama ia merosot banyak sejak pandemik Covid-19 melanda dan menjejas jumlah penonton yang datang ke pawagam.

Jumlah ini bahkan adalah 68 peratus daripada jumlah penonton yang berkunjung ke pawagam pada 2019, tahun terakhir sebelum perintah sekatan Covid-19 dikenakan.

Ini merupakan pemerhatian pertubuhan khidmat awam di Eropah, European Audiovisual Observatory, yang menyediakan maklumat daripada sudut pandangan ekonomi dan guaman mengenai pasaran audiovisual di Eropah dan pembiayaannya.

Saya kira bagi mengekalkan pawagam di Singapura, banyak yang perlu dipupuk dalam diri penonton sejak usia muda lagi.

Di Perancis, Pesta Filem Cannes adalah acara ikonik merata dunia, dengan banyak filem yang berpotensi menarik perhatian ramai, mengadakan tayangan perdana di pesta ini.

Sekolah awam di negara ini juga memainkan peranan penting dengan menyemai dalam diri pelajar seawal peringkat sekolah rendah, minat menonton filem khususnya yang dihasilkan penerbit di Perancis.

Pelajar diberi senarai filem untuk ditonton. Pemerintah Perancis juga membangun dasar yang menyokong industri filem dan operator pawagam.

Separuh daripada bajet filem Perancis, Anatomy of A Fall, yang menelan 6.2 juta euro ($9.3 juta) pula datang daripada dana sumbangan orang awam.

Filem ini mengisahkan tentang seorang isteri yang dituduh membunuh suaminya.

Satu lagi perkara yang membuatkan sebilangan pawagam Perancis bertahan hingga ke hari ini adalah peraturan tegas negara itu yang memastikan filem yang ditayangkan hanya boleh disiarkan di platform penstriman 17 bulan selepas tayangan di pawagam.

Ini adalah bagi menyokong operator pawagam agar mengekalkan bisnes.

Di Indonesia pula, jumlah penonton yang berkunjung ke pawagam bertambah sebanyak 10 peratus pada 2024, berbanding 2023, mencecah 126.22 juta orang.

Ini memandangkan banyak filem Indonesia menarik yang dapat disajikan di bioskop seperti filem komedi, Agak Laen, yang ditonton 9.13 juta penonton, disusuli dengan filem tragedi seram, Vina: Sebelum 7 Hari (5.82 juta penonton), filem komedi seram, Kang Mak (4.86 juta) dan filem drama keluarga tentang kecurangan, Ipar Adalah Maut (4.78 juta).

Mungkin dalam konteks Singapura, beberapa perkara perlu dilakukan bagi mempertahan kewujudan pawagam sebagai satu institusi hiburan, dengan mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah atau usaha membangkitkan industri filem tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg