Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasha mati tinggalkan belang... ‘ditidurkan’ selepas bertarung dengan barah
Pasha mati tinggalkan belang... ‘ditidurkan’ selepas bertarung dengan barah
Harimau bengal alami limfoma sejak 2026, tidak beri tindak balas terhadap rawatan
Pasha mati tinggalkan belang... ‘ditidurkan’ selepas bertarung dengan barah
Seekor harimau Bengal putih berusia 13 tahun di Safari Malam telah dimatikan secara eutanasia pada 1 Julai selepas bertarung dengan barah.
Harimau itu, Pasha, mengalami kemerosotan kesihatan. Menjelang akhir hayatnya, Pasha tidak lagi memberikan tindak balas terhadap rawatan atau menikmati mutu hidup yang baik, menurut Mandai Wildlife Group (MWG), pengendali Safari Malam, dalam satu kenyataan pada 2 Julai.
“Selepas penilaian menyeluruh, pasukan kami membuat keputusan sukar untuk menjalankan eutanasia secara berperikemanusiaan bagi mengelakkan penderitaan berterusan,” kata doktor haiwan MWG, Dr Trent Van Zanten.
Pada usia 13 tahun, Pasha dianggap telah berusia.
Pasha menerima penjagaan jangka panjang bagi beberapa masalah kesihatan berkaitan usia, termasuk osteoartritis teruk yang menjejaskan pergerakan dan menyebabkan kesakitan, kata Dr Van Zanten.
Pasha disahkan menghidap limfoma, sejenis barah yang terus merebak, pada 2026.
“Selepas penyakitnya disahkan, pasukan penjagaan haiwan dan doktor haiwan kami meneroka pilihan rawatan untuk memastikan dia kekal selesa.
“Walaupun ada kalanya keadaannya mantap, kesihatan Pasha terus merosot walaupun menerima sokongan berterusan,” tambah Dr Van Zanten.
Apabila penyakitnya semakin teruk, pasukan penjagaannya memberi tumpuan kepada penjagaan paliatif sambil memantau mutu hidupnya dengan teliti.
Kesihatannya terus merosot pada hari-hari terakhirnya, dan jelas kebajikannya telah terjejas.
Pasha menghembuskan nafas terakhir dikelilingi pasukan penjagaannya, kata kurator MWG, Encik Anand Kumar.
Dilahirkan di bawah jagaan manusia, Pasha tiba di Singapura pada 2015 dari Batu Secret Zoo di Indonesia bersama saudaranya, Keysa. Dia tidak mempunyai anak.
Menurut Encik Kumar, Pasha bersifat pendiam dan suka menyendiri, namun menyambut penjaganya dengan bunyi yang lembut atau menggeselkan badannya pada pagar kandang.
Pasha dan Keysa mempunyai hubungan yang sangat rapat walaupun berbeza keperibadian, sesuatu yang jarang berlaku bagi harimau yang lazimnya hidup bersendirian. Mereka sering bermain, berehat bersebelahan dan menggeselkan kepala.
Encik Kumar turut mengingati kegemaran Pasha terhadap mainan seperti bola plastik keras, yang sentiasa menjadi pilihannya.
“Pasha telah menjadi sebahagian daripada hidup kami selama bertahun-tahun, dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya amat sukar.
“Dia akan amat dirindui. Pasukan kami akan terus memantau Keysa ketika dia menyesuaikan diri tanpa abangnya,” kata Encik Kumar.
Kini, Keysa ialah satu-satunya harimau putih di bawah jagaan MWG.
Harimau putih, atau harimau Bengal, mempunyai mutasi genetik yang jarang berlaku yang menghasilkan bulu putih, mata biru dan belang perang.
Ia boleh dilahirkan bersama anak harimau berwarna jingga serta bukan spesies, subspesies atau albino.
Semua harimau putih di bawah jagaan manusia hari ini berasal daripada Mohan, anak harimau putih pertama yang ditangkap di India.
Selepas menghasilkan 10 anak berbulu jingga, Mohan kemudian mengawan dengan seekor harimau betina daripada keturunannya dan memperoleh empat anak harimau putih, yang memulakan pembiakan harimau putih di bawah jagaan manusia.
MWG berkata usaha pemuliharaan harimau diteruskan melalui perlindungan harimau Malaya yang amat terancam, termasuk program pembiakan serantau dan meningkatkan kesedaran tentang ancaman terhadap spesies itu di habitat liar.
