Masa depan yang menyaksikan anggota bomba menangani kebakaran loji kimia bersama robot pengesan bahaya kini lebih hampir menjadi kenyataan,

Ini boleh dilakukan apabila Home Team Singapura menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) terkini daripada syarikat teknologi, Nvidia, untuk mempertingkat keupayaan robotiknya.

Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) merupakan organisasi pertama di Singapura yang menggunakan cip GB300 terkini daripada Nvidia, yang mula dipasarkan pada separuh pertama 2026.

Cip GB300 dua kali lebih pantas berbanding pendahulunya, GB200, dalam penaakulan mendalam (deep thinking) AI. Cip itu juga memproses teks, imej dan kod jauh lebih pantas.

Kuasa pengkomputeran cip GB300 baharu yang sangat besar membolehkan HTX melatih AI yang jauh lebih pintar, khususnya prasarana HTX, NGINE AI, untuk memproses teks, video dan audio serentak serta mengawal robot pada skala besar tanpa menjejas keselamatan.

Semasa persidangan Hari AI Nvidia di Singapura pada 23 September, Ketua Pegawai AI HTX, Encik Ang Chee Wee, berkata GB300 membolehkan HTX melatih model AI yang lebih canggih, termasuk AI terkandung, serta mengendalikan tugas AI pada skala besar.

Model AI pelbagai modal (multimodal) mengendalikan pelbagai bentuk data seperti teks, gambar dan audio manakala model AI terkandung adalah perisian yang mengawal robot.

Menurut Encik Ang, prasarana AI tercanggih yang dikawal sendiri memastikan kod dan data kekal di bawah kawalan HTX, membolehkan AI digunakan pada skala besar dengan selamat.

Menurutnya, teknologi itu membantu pegawai Home Team memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat terhadap keselamatan, manakala penggunaan AI oleh pihak berniat jahat menyebabkan ancaman menjadi semakin rumit.

Beliau berkata matlamatnya bukan untuk menggantikan tugas pegawai, tetapi membolehkan robot AI mengambil alih tugas yang membosankan, kotor dan berbahaya, seperti mengendalikan bahan bahaya dan memadam kebakaran.

Home Team sudah menggunakan AI bagi pengecaman wajah di pusat pemeriksaan, menyediakan laporan polis melalui ‘Report Lodging Co-Pilot’ (R-COP atau Pembantu Pintar Membuat Laporan), serta mengenal pasti dan menyekat laman penipuan yang menyamar sebagai polis, agensi pemerintah dan bank.

Penggunaan AI menjimatkan hampir sejuta jam kerja setahun, dan angka itu dijangka meningkat pada 2027.

Pada penghujung September, HTX dijangka menubuhkan Pusat Robotik ‘Humanoid’ Home Team (H2RC), dengan peruntukan $100 juta untuk membangunkan AI terkandung dan robot humanoid bagi menjaga keselamatan awam.

Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata AI terkandung penting bagi Singapura ekoran kekangan tanah, tenaga kerja dan tenaga, serta tenaga kerja yang semakin menua.

“Gelombang pertama AI generatif mengubah hubungan manusia dengan maklumat. Gelombang seterusnya mungkin mengubah hubungan kecerdasan dengan dunia fizikal.

“Peluang kita adalah untuk memajukan teknologi dengan cekap, daripada kemungkinan kepada pembuktian dan seterusnya penggunaan pada skala besar.

“Kita boleh menghubungkan teknologi tercanggih dengan keperluan pengguna, kepakaran penyelidik dan jurutera, kawal selia, modal serta persekitaran operasi sebenar,” kata Encik Tan.