Isi rumah akan membayar kadar lebih rendah bagi elektrik dan gas dari Januari hingga Mac menyusuli penurunan kos tenaga dan bahan api.
Tarif elektrik bagi isi rumah akan turun sebanyak 0.84 sen setiap kilowatt sejam (kWh), manakala tarif gas pula akan turun sebanyak 0.67 sen setiap kWh, sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Dalam satu kenyataan pada 30 Disember, pengendali grid, SP Group, menyatakan tarif elektrik untuk isi rumah akan susut sebanyak 3 peratus berbanding tempoh suku tahun sebelumnya.
Sebagai contoh, satu isi rumah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik secara purata boleh menjangkakan pengurangan sebanyak $3.17 dalam bil elektrik bulanan mereka sebelum GST.
Dalam kenyataan berasingan pada hari sama, penyedia gas bandar berpaip, City Energy, berkata tarif gas akan diturunkan daripada 22.35 sen setiap kWh kepada 21.68 sen bagi tempoh tiga bulan mendatang.
Kedua-dua pengendali mengaitkan penurunan tarif tersebut kepada kos tenaga dan bahan api yang lebih rendah, menurut laporan The Straits Times (ST).
SP Group dan City Energy menyemak tarif elektrik dan gas setiap suku tahun berdasarkan garis panduan yang ditetapkan pengawal selia iaitu Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
Bahagian kos tenaga dan bahan api bagi tarif elektrik dan gas setiap suku tahun ditetapkan berdasarkan purata harga gas asli serta bahan api dalam tempoh dua setengah bulan pertama suku tahun sebelumnya.
Tarif elektrik dan gas boleh berubah-ubah dari tempoh suku tahun ke suku tahun selanjutnya, berdasarkan turun naik harga bahan api sedunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg