Sebahagian besar individu yang terjejas dek kegenjotan yang dialami pengendali korban berlesen tempatan, The Meat Brothers (TMB) semasa Aidiladha pada Mei, masih belum menerima pulangan wang.

Ini meskipun dalam laporan Berita Harian (BH) pada 14 Jun, TMB berkata pihaknya sedang berusaha mengembalikan wang untuk sohibul (pelaksana) korban yang terkesan selewat-lewatnya awal Ogos.

Perkara ini dimaklumkan baru-baru ini oleh salah seorang pembaca BH.

Beliau merupakan antara sekitar 400 sohibul korban bagi Masjid Pusara Aman, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Al-Firdaus dan Al-Wehdah (Persatuan Arab) yang terjejas.

Menjawab kebimbangan golongan ini, jurucakap TMB ketika dihubungi BH berkata pihaknya akan mengembalikan wang individu terjejas selewat-lewatnya hujung Ogos kerana pihaknya masih menanti bayaran balik daripada rakan kongsi pengangkutan udara, MASKargo.

Awal dari itu dalam laporan BH pada 14 Jun, TMB berkata sohibul korban yang terjejas bagi Al-Wehdah adalah sekitar 450.

Namun perangkaan itu adalah 32, berdasarkan dokumen senarai nama sohibul korban bagi ketiga-tiga masjid itu dan Al-Wehdah yang dilihat BH..

Jurucakap TMB tidak menjelaskan sebab percanggahan pada perangkaan ini.

Menurut jurucakap itu, bayaran balik daripada MASKargo sepatutnya diberikan pada awal Ogos sebelum disalurkan kembali kepada sohibul korban yang belum menerima pulangan wang mereka.

Namun, pihaknya dimaklumkan MASKargo hanya dapat memberikan bayaran balik lewat Ogos.

“Masih ada yang belum menerima pulangan wang… dan kami jangkakan untuk menyelesaikan semua pulangan wang (kepada mereka yang belum menerimanya) pada hujung Ogos apabila kami terima bayaran balik daripada MASKargo,” jelasnya.

Beliau turut menyertakan tangkap layar hantaran e-mel, dipercayai daripada MASKargo bertarikh 14 Ogos, yang menyatakan ia “akan mengambil sekurang-kurangnya seminggu untuk menyempurnakan transaksi” bayaran balik.

BH telah menghubungi MASKargo untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dokumen senarai nama itu menyatakan TMB telah memberi pulangan wang penuh kepada 18 sohibul korban.

Sekitar 20 sohibul korban pula memilih untuk melaksanakan korban di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi TMB yang dipercayai.

Menurut dokumen itu, perbezaan kos haiwan korban telah dipulangkan kepada golongan ini kerana mereka tidak dapat menjalankan ibadah korban secara langsung di Singapura dengan haiwan korban dari Australia yang ditempah.

Bilangan sohibul korban selebihnya sebanyak lebih 300 belum lagi dikembalikan wang – jumlah ini melebihi $190,000.

BH telah meminta agar TMB mengesahkan lagi perangkaan daripada dokumen senarai nama ini.

Sehubungan itu, beberapa individu yang terkesan berkongsi kepada BH bahawa TMB belum membuat langkah susulan mengenai status pulangan wang selepas menghantar e-mel pemberitahuan pada hujung Mei.

Oleh itu, ada yang merancang untuk meminta bantuan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sejajar dengan apa yang diutarakan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen pada 5 Ogos.

Menjawab soalan yang diajukan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), Encik Zaqy menyarankan agar sohibul korban yang mengalami sebarang masalah untuk menghubungi MUIS supaya susulan lanjut dapat dibuat kepada TMB.

Cik Hazlina bertanya sama ada MUIS sedang mempertimbangkan bagi menyemak semula model operasi perkhidmatan korban semasa di Singapura.

Operasi korban TMB mengalami kegenjotan setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat, sekali gus ia tidak dapat dihantar tepat pada masanya.

Pada 21 Mei, BH melaporkan bahawa urusan, termasuk permohonan permit itu di Australia, dilaksanakan pembekal haiwan korban di sana iaitu Alqudsi Agri Group, manakala TMB menguruskan operasi dan dokumentasi di Singapura.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, merupakan antara sohibul korban yang terkesan.

Ketika dihubungi, Encik Zhulkarnain berkata beliau telah menempah domba bagi ibadah korban di Masjid Al-Firdaus.

Daripada borang permintaan pulangan wang yang dikongsi kepada BH, beliau telah menghantar borang itu pada 28 Mei dan masih belum menerima sebarang pulangan wang, ujarnya.

Seorang lagi individu terjejas, Encik Muhammad Ssufy Sunardi, berkata beliau telah membuat bayaran bagi dua domba – TMB mengenakan harga $655 bagi setiap domba dari Australia – untuk akikah di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Akikah adalah penyembelihan kambing atau domba sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t atas kelahiran seorang anak.

Tangkap layar kandungan emel yang dikongsi pemandu Grab berusia 41 tahun itu menunjukkan beliau menerima emel rasmi daripada TMB pada 25 Mei untuk memaklumkan pembatalan korban oleh syarikat itu dan borang permintaan pulangan wang.

Beliau telah mengisi borang tersebut dan menghantar butiran yang diperlukan pada 26 Mei, menurut hantaran borang yang dilihat BH.

Sejak itu, TMB belum membalas atau memberi apa-apa susulan lanjut kepadanya.

Beliau juga cuba menghubungi pihak TMB melalui teks di nombor rasmi syarikat pada hujung Jun, namun ia tidak dibalas, tambahnya.

“Saya ada juga tunggu arahan seterusnya (daripada pihak TMB), tetapi saya pun pasrah,” kata Encik Ssufy.

Hal serupa turut dikongsi Encik Muhammad Azuan Suid, yang turut menerima e-mel daripada TMB bagi memaklumkan pembatalan korban dan borang permintaan pulangan wang pada 25 Mei.

Beliau menempah seekor domba daripada TMB untuk penyembelihan korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Encik Azuan berkata beliau belum menerima pulangan wang dan sebarang maklumat berkenaan status pulangan wang daripada TMB.

Menurutnya, beliau belum mempertimbangkan untuk mengambil sebarang tindakan guaman buat masa ini. Namun, beliau akan mengemukakan surat berkenaan isu ini kepada MUIS.

Beliau berkata: “Dari 25 Mei hingga 12 Ogos, saya tidak menghubungi TMB kerana saya diberitahu bayaran balik akan dilakukan awal Ogos.”

Berkenaan komunikasi dengan sohibul korban, jurucakap TMB akur pihaknya tidak banyak memberikan maklumat kepada golongan terjejas secara berkala kerana giat menyelaras logistik dan mengusahakan pulangan wang bagi mereka.

Lantaran itu, TMB “akan memberi kemas kini secepat mungkin”, tambah jurucakap itu, tanpa mendedahkan bagaimana kemas kini itu akan disampaikan kepada golongan yang terjejas.

Susulan kegencotan pada operasi ibadah korban kendalian TMB, syarikat itu dalam satu hantaran Facebook pada 23 Mei menjelaskan tiga pilihan alternatif kepada mereka yang terjejas.

Pilihan pertama melibatkan pelaksanaan ibadah korban di Australia, dengan daging dihantar terus kepada sohibul korban.

Bagi pilihan kedua, korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, dengan daging yang disembelih kemudian hhodiagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan.

Pilihan ketiga pula melibatkan pemulangan bayaran sepenuhnya.