Berazam membantu lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam menjalani gaya hidup aktif dan sihat, sukarelawan muda, Encik Muhd Iylia Mohd Shukor, 30 tahun, giat menganjurkan pelbagai kegiatan cergas bagi masyarakat setempat.
Beliau giat dalam pertubuhan seperti Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Marine Parade (MAEC) dan Persatuan Rakyat (PA MESRA) serta mengetuai penganjuran Fiesta Kesihatan dan Keluarga Kelompok Marine Parade 2024 bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dan warga emas.
Selain itu, sebagai pegawai pematuhan kewangan, beliau turut mengelolakan program Saham Kesihatan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan rakan masyarakat, menganjurkan kegiatan seperti berjalan pantas, berbasikal, zumba dan qigong yang mendapat sambutan penduduk di Marine Parade, Geylang dan Joo Chiat.
Menurut Encik Muhd Iylia, kegiatan fizikal yang dilakukan bersama keluarga dan rakan bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat memupuk amalan hidup sihat berterusan.
Antara program paling dinantikan ialah Berjalan Santai, sejauh 2.6 kilometer dari MRT Marine Parade ke Pantai East Coast. Aktiviti ini turut disertai warga emas, termasuk mereka yang berkerusi roda, dengan bantuan sukarelawan seperti Cik Safeah Bee Abdul Kayum, 58 tahun.
Menurut Cik Safeah, aktiviti sebegini bukan sahaja menyihatkan tubuh, malah mengeratkan silaturahim. Beliau bersama suami, Encik Abdul Aziz Latiff, dan rakan, Cik Rohana Arbain, kini aktif menyertai pelbagai program anjuran Encik Iylia.
Selain senaman, Encik Iylia turut menubuhkan Herbalicious Garden bersama Encik Firdaus Kordi, 33 tahun, pengurus sukarelawan di Yayasan Mendaki. Kebun ini menjadi ruang kegemaran warga emas untuk bercucuk tanam, berinteraksi dan melepaskan tekanan.
Cinta Encik Muhd Iylia terhadap gaya hidup sihat bermula pada 2022 ketika beliau menganjurkan kegiatan berjalan pantas di Pulau Ubin untuk menarik golongan belia mendekati Masjid Kassim. Program itu kemudian diperluas kepada jemaah masjid sebagai usaha memupuk amalan sihat dalam kalangan masyarakat. Kini, beliau bertugas sebagai penolong bendahari Lembaga Pengurusan Masjid (MMB) di Masjid Kassim.
Setelah menyertai MAEC dan MESRA Marine Parade pada 2024, beliau memperkenalkan ‘Berjalan Santai’ yang kini disertai oleh 20 hingga 30 peserta tetap setiap empat bulan. Di bawah program Saham Kesihatan, beliau juga menganjurkan acara jalan pantas sepanjang 5 kilometer dan sesi qigong di balai rakyat sekitar M³@Geylang Serai. Usaha ini menyokong kempen Healthier SG, yang menggalakkan rakyat Singapura menjaga kesihatan secara menyeluruh.
Dorongan beliau banyak dipengaruhi oleh pengalamannya melihat ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis. “Selain mengingatkan tentang pemakanan sihat, saya ingin mendorong masyarakat melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan,” katanya.
Minat Encik Muhd Iylia terhadap kerja sukarela bermula pada 2012 ketika beliau masih menuntut di universiti melalui program bimbingan Yayasan Mendaki. Walaupun kini bekerja sepenuh masa dalam bidang kewangan, beliau terus bergiat aktif dalam kerja masyarakat.
“Apabila saya lihat orang ramai seronok menyertai program yang saya anjurkan dan datang lagi pada kali berikutnya, itu memberi saya kepuasan,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Encik Firdaus Kordi, rakan seperjuangannya dalam pelbagai projek masyarakat. Encik Firdaus, yang berpengalaman dalam pengurusan projek, memastikan setiap perancangan berjalan lancar dari segi logistik dan pelaksanaan.
“Iylia mempunyai visi besar untuk memperkukuh amalan gaya hidup sihat dan membantu masyarakat. Saya akan terus menyokongnya selagi ia membawa manfaat kepada orang ramai,” kata Encik Firdaus.
Menatap masa depan, Encik Muhd Iylia berharap usaha ini dapat diteruskan oleh masyarakat.
“Apabila saya tidak lagi mampu bergiat seperti sekarang, saya ingin menjadi peserta pula, dan melihat semangat ini diteruskan oleh generasi seterusnya,” katanya.
Menjelang SG60, kunjungi giving.sg untuk menyumbang kepada masyarakat dan membantu membina Singapura yang lebih prihatin dan inklusif.
Meraikan SG60 bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg