Pengedar Kpod didakwa acu pisau semasa satu urus niaga
Seorang individu yang didakwa sebagai pengedar pod vape yang mengandungi etomidate, diberkas selepas dia dipercayai mengacukan pisau ke arah seorang lelaki semasa satu urus niaga di sebuah tempat letak kereta di Whampoa West.
Pada 4 Februari, Yeo Zhi Xiang, 30 tahun, didakwa atas satu tuduhan mengedar 79 pod yang mengandungi etomidate, iaitu dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Etomidate ialah sejenis ubat bius yang digunakan dalam vape yang dikenali sebagai Kpod.
Etomidate sepatutnya hanya digunakan semasa prosedur perubatan.
Apabila disedut melalui vape, ia masuk terus ke dalam paru-paru dan berpotensi mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan, malah psikosis.
Yeo, warga Singapura, dipercayai melakukan kesalahan itu sekitar 4.15 pagi pada 3 Februari, di lobi tempat letak kereta Blok 34, Whampoa West.
Pada 4 Februari, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata polis telah dimaklumkan pada 2 Februari mengenai satu pertikaian melibatkan tiga lelaki di tempat letak kereta tersebut.
“Tertuduh dipercayai telah mengacukan pisau ke arah salah seorang lelaki.
“Kejadian ini berlaku ketika salah seorang daripada mereka didakwa sedang membeli Kpod yang mengandungi etomidate daripada Yeo,” ujar HSA.
Pegawai polis menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan dan memeriksa van milik Yeo.
Ketika pemeriksaan dilakukan, mereka menemui 80 pod vape.
HSA berkata ujian makmal mengesahkan pod yang dirampas mengandungi etomidate dan siasatan masih diteruskan.
HSA turut menyiasat dua lelaki lain.
Kes Yeo dijadual bagi persidangan praperbicaraan pada 5 Mac.
Dia ditawarkan ikat jamin $50,000.
Pengimport, penjual dan pengedar Kpod berdepan hukuman lebih berat selepas undang-undang yang dipertingkatkan berkuat kuasa pada 1 September 2025.
Pengimport boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga 20 tahun serta lima hingga 15 sebatan.
Penjual dan pengedar pula boleh dipenjarakan dua hingga 10 tahun dan dikenakan dua hingga lima sebatan.

