Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita dipenjara 6 minggu pandu di bawah pengaruh alkohol 3 kali ganda had
Wanita dipenjara 6 minggu pandu di bawah pengaruh alkohol 3 kali ganda had
Wanita dipenjara 6 minggu pandu di bawah pengaruh alkohol 3 kali ganda had
Seorang wanita yang memandu dengan kandungan alkohol hampir tiga kali ganda melebihi had undang-undang, dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada 29 Jun.
Ashvini Ezhavarasan, 30 tahun, telah menyebabkan kemalangan berantai di Thomson Road yang mencederakan dua orang dalam nahas membabitkan tiga kereta.
Dia mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa perhatian dan pertimbangan sewajarnya. Dia juga dilarang memandu selama 54 bulan dari tarikh pembebasannya.
Mahkamah diberitahu kira-kira 7 malam pada 14 Julai 2024, Ashvini meminum alkohol bersama rakan-rakannya di Jurong.
Dia berhenti minum pada 9.30 malam sebelum memandu pulang ke rumahnya di Serangoon melalui Thomson Road. Keretanya merempuh sebuah kereta, menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah lagi kereta.
Seorang pegawai Polis Trafik (TP) mengesan bau alkohol yang kuat pada Ashvini lalu menjalankan ujian alat pengesan nafas. Ashvini gagal ujian itu.
Dia ditangkap dan didapati mempunyai 95 mikrogram (mcg) alkohol bagi setiap 100 milimeter (ml) nafas, hampir tiga kali ganda had undang-undang, iaitu 35 mikrogram.
Penumpang berusia 35 tahun, di dalam kereta yang dilanggar Ashvini, mengalami lebam pada lutut dan luka melecet pada jari. Dia diberi cuti sakit selama dua hari.
Pemandu berusia 72 tahun, di kereta berlainan, mengalami luka melecet pada lengan bawah dan lutut serta diberi cuti sakit selama tiga hari. Ashvini membayar pampasan $9,000 kepadanya.
Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital.
Ashvini turut membayar pampasan $6,000 kepada pemandu kereta yang dilanggarnya.
Pendakwa TP berkata kandungan alkohol yang tinggi dalam nafas Ashvini jelas menunjukkan dia tidak layak memandu pada hari itu.
Dalam rayuannya, peguam bela Encik Josephus Tan, Encik Cory Wong dan Encik Devlin Mohyong daripada Invictus Law Corporation, berkata anak guam mereka mempunyai rekod memandu yang bersih, telah menyesal dan mengaku bersalah pada peringkat awal.
Mereka turut berkata kedua-dua mangsa dibenarkan keluar hospital pada hari yang sama tanpa mengalami patah tulang atau kecederaan kekal.
Pesalah kali pertama yang memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara sehingga setahun dan didenda sehingga $10,000.
Statistik tahunan TP menunjukkan 1,716 orang ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol pada 2025.
Sebanyak 156 kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol berlaku pada 2025, mengorbankan 12 nyawa.
Polis menggesa orang ramai supaya tidak memandu jika ingin minum alkohol, sebaliknya menggunakan pengangkutan lain seperti teksi atau kenderaan sewa swasta.
