Jumlah penduduk Singapura meningkat kepada 6.21 juta pada Jun 2026, daripada 6.11 juta setahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, jumlah penduduk bertambah 97,300 orang, terdiri daripada 70,300 bukan penduduk, 24,200 warganegara dan 2,800 penduduk tetap (PR).

Peningkatan 1.6 peratus itu didorong terutama oleh pertambahan pekerja binaan bagi projek pembangunan utama seperti Terminal 5 Changi serta peningkatan pembinaan perumahan, menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) pada 25 September.

Pekerja itu, yang tergolong dalam kalangan bukan penduduk, turut terlibat dalam peluasan Marina Bay Sands dan pembinaan kemudahan pengangkutan, menurut NPTD.

Sementara itu, jumlah warganegara meningkat 0.7 peratus daripada 3.66 juta pada Jun 2025 kepada 3.68 juta pada Jun 2026, menurut laporan tahunan NPTD, ‘Penduduk Secara Ringkas’ (Population in Brief 2026).

Laporan itu menambah bahawa jumlah PR Singapura kekal sekitar 550,000 pada Jun 2026.

Pada 2025, seramai 25,094 orang mendapat kewarganegaraan Singapura, manakala 35,352 lagi mendapat status PR.

Menurut laporan itu, purata tahunan pemberian kewarganegaraan dan status PR dari 2021 hingga 2025 meningkat berbanding tempoh 2016 hingga 2020.

Dari 2021 hingga 2025, Singapura memberikan purata 22,400 kewarganegaraan dan 34,600 status PR setahun, berbanding 20,600 kewarganegaraan dan 31,200 status PR setahun dari 2016 hingga 2020.

Golongan bukan penduduk, yang membentuk baki penduduk Singapura, meningkat 3.7 peratus daripada 1.91 juta pada Jun 2025 kepada 1.98 juta pada Jun 2026.

Peningkatan itu kebanyakan berpunca daripada pertambahan pemegang permit kerja dan pekerja domestik asing, menurut laporan itu.

Peningkatan tenaga kerja asing di Singapura dari Jun 2025 hingga Jun 2026 lebih tinggi berbanding Jun 2024 hingga Jun 2025, sebahagian besar kerana pertambahan pemegang permit kerja, menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan bahawa golongan bukan penduduk Singapura, termasuk pemegang permit kerja dan pekerja domestik asing, terdiri daripada pelbagai latar belakang, manakala jumlah dan komposisinya berubah dari semasa ke semasa bagi memenuhi “keperluan ekonomi dan sosial negara yang terus berubah”.

Kini, tenaga kerja asing selain pekerja domestik membentuk hampir dua pertiga golongan bukan penduduk.

Menurut laporan itu, baki satu pertiga golongan bukan penduduk kebanyakannya terdiri daripada pekerja domestik asing, tanggungan dan pelajar.

Kadar pertumbuhan tahunan penduduk Singapura dari 2021 hingga 2026 lebih tinggi berbanding tempoh 2016 hingga 2021.

“Keadaan ini sebahagiannya dipengaruhi Covid-19, yang menyebabkan jumlah penduduk lebih rendah pada 2021 dan purata pertumbuhan lebih tinggi dari 2021 hingga 2026,” menurut laporan itu, yang turut memaparkan kadar penuaan penduduk Singapura.

Laporan NPTD itu juga menyatakan bahawa Singapura kini merupakan masyarakat super-aged atau sangat tua, dengan 21.4 peratus rakyat berusia 65 tahun ke atas pada 2026, meningkat daripada 20.7 peratus pada 2025 dan 13.7 peratus sedekad lalu.

Ini bermakna Singapura telah melebihi paras yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi masyarakat sangat tua, iaitu apabila 21 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Jumlah rakyat berusia 80 tahun ke atas turut meningkat daripada 145,000 pada 2025 kepada 152,000 pada 2026, melonjak 60 peratus daripada 95,000 sedekad lalu.

Menurut laporan itu, lebih satu daripada empat warga Singapura dijangka berusia 65 tahun ke atas menjelang 2035.