Pertumbuhan pengeluaran perkilangan Singapura merosot ketara pada September, meskipun permintaan berterusan terhadap produk kecerdasan buatan (AI) menyokong sektor elektronik dan kejuruteraan ketepatan.

Pengeluaran kilang tumbuh 3.4 peratus tahun ke tahun pada September, berbanding 15.4 peratus pada Ogos, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Oktober.

Angka itu jauh lebih rendah daripada unjuran 7.1 peratus oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Kelembapan itu berpunca daripada pertumbuhan elektronik yang sederhana serta penguncupan mendadak pengeluaran farmaseutikal.

Tidak termasuk perkilangan bioperubatan, pengeluaran meningkat 9 peratus.

Kelompok kejuruteraan kejituan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 31 peratus, disokong peningkatan pengeluaran peralatan semikonduktor dalam segmen jentera dan sistem yang berkembang 34.8 peratus.

Segmen modul dan komponen kejituan meningkat 12.4 peratus, didorong pengeluaran barangan getah industri, produk logam ketepatan, acuan dan peralatan.

Permintaan kukuh berkaitan AI memacu pertumbuhan kelompok elektronik sebanyak 5.7 peratus, dengan kebanyakan segmen berkembang, namun jauh lebih rendah berbanding 28.3 peratus pada Ogos.

Segmen infokomunikasi dan elektronik pengguna serta peranti komputer dan penyimpanan data masing-masing meningkat 29 peratus dan 21.3 peratus, manakala pertumbuhan semikonduktor merosot kepada 1.9 peratus daripada 25.9 peratus pada Ogos.

Segmen modul dan komponen elektronik lain menguncup 4.2 peratus.

Kelompok kejuruteraan pengangkutan berkembang 10.6 peratus, diterajui segmen darat sebanyak 31.4 peratus. 

Segmen aeroangkasa meningkat 16.3 peratus, disokong pengeluaran komponen pesawat serta kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) syarikat penerbangan komersial.

Namun, pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi penurunan kegiatan limbungan kapal dan pengeluaran peralatan medan minyak dan gas, menyebabkan segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir menguncup 6.3 peratus.

Kelompok perkilangan am berkembang 4 peratus. 

Segmen makanan, minuman dan tembakau meningkat 11 peratus hasil pengeluaran minuman dan tenusu, manakala percetakan berkembang 7.6 peratus. 

Segmen pelbagai pula menguncup 8.4 peratus akibat penurunan pengeluaran produk logam berstruktur dan perabot.

Perkilangan bioperubatan mencatatkan penguncupan terbesar sebanyak 32.8 peratus, diterajui kemerosotan farmaseutikal sebanyak 65.9 peratus akibat perubahan gabungan bahan aktif yang dihasilkan, berbanding penurunan 4 peratus pada Ogos. 

Teknologi perubatan turut merosot 1.7 peratus akibat permintaan eksport yang lemah selepas tiga bulan berkembang.

Kelompok kimia merosot 4.6 peratus. 

Segmen bahan kimia lain menguncup 19.4 peratus akibat penurunan pengeluaran pewangi dan permintaan lemah, manakala segmen petrokimia merosot 24.3 peratus berikutan gangguan bekalan bahan mentah dan permintaan lemah.

Sebaliknya, segmen bahan kimia khusus dan petroleum masing-masing berkembang 14.3 peratus dan 4.6 peratus, dengan peningkatan penghasilan gas industri, bahan kimia serta bahan tambahan minyak mineral dalam segmen pertama.