Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja peluasan terbesar Pelabuhan Tuas mula, daya tampung bakal bertambah dalam sedekad
Kerja peluasan terbesar Pelabuhan Tuas mula, daya tampung bakal bertambah dalam sedekad
Apabila siap pada 2040-an, semua operasi kontena S’pura akan dipusatkan di Pelabuhan Tuas, menjadikannya pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia
Kerja peluasan terbesar Pelabuhan Tuas mula, daya tampung bakal bertambah dalam sedekad
Kerja pembinaan fasa kedua Pelabuhan Tuas melibatkan cabang ketiga dan terbesar daripada empat peluasan bermula pada 20 November di tanah tebus guna seluas hampir 400 hektar, hampir sama luas dengan kawasan Clementi.
Mulai 2028, Dermaga Jejari 3 (Finger 3) akan mula beroperasi dengan 21 dermaga mega sedalam 23 meter (m) setiap satu. Menjelang pertengahan 2030-an, ia dijangka beroperasi sepenuhnya dengan dermaga sepanjang 8.6 kilometer (km).
Apabila siap pada 2040-an, semua operasi kontena Singapura akan dipusatkan di Pelabuhan Tuas, menjadikannya pelabuhan automatik sepenuhnya terbesar di dunia yang mampu mengendalikan 65 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun.
TEU merupakan ukuran piawai industri maritim bagi pergerakan kontena.
Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata pada majlis pecah tanah itu bahawa Pelabuhan Tuas kini menjadi pilihan banyak syarikat perkapalan.
“Dermaga Jejari 3 membolehkan kita mengendalikan kapal kontena terbesar di dunia sekurang-kurangnya buat sedekad akan datang. Namun, kita bukan sekadar menambah daya tampung pelabuhan, malah meningkatkan kebolehpercayaan dan nilai perkhidmatan,” katanya.
Menurut Encik Siow, syarikat perkapalan boleh bergantung kepada Singapura untuk mempercepat urusan kapal dan mengatasi kelewatan perjalanan, manakala pemilik kargo dapat menyimpan, memproses, menggabungkan serta mengedarkan barangan ke pasaran serantau.
Sejak dibuka pada 2022, Pelabuhan Tuas mengendalikan 25 juta TEU, dengan 15 dermaga kini beroperasi dan dijangka bertambah kepada 18 menjelang 2027.
Encik Siow menegaskan hubungan maritim merupakan nadi Singapura, sebuah negara kecil tanpa sumber asli yang bergantung kepada import makanan, tenaga dan bekalan.
Pelabuhannya menghubungkan lebih 600 pelabuhan sedunia, menyokong lebih 140,000 pekerjaan serta memacu sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Bagi memperkukuh hubungan tersebut, pemerintah Singapura akan melancarkan pelan induk maritim baharu pada April 2027.
Pelan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelabuhan dan ekosistem maritim Singapura, membolehkannya mengendalikan kapal kontena terbesar di dunia sepanjang 10 tahun akan datang.
Rancangan itu turut bertujuan meningkatkan nilai perkhidmatan kepada syarikat perkapalan dan pemilik kargo.
Antara teras utamanya ialah hab rantaian bekalan baharu PSA yang akan menjadi pusat kegiatan logistik dan pergudangan di Pelabuhan Tuas, kata Encik Siow.
Pelabuhan dan ekosistem perniagaan akan saling memperkukuh, menarik lebih banyak kapal dan kargo ke Singapura, lalu meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan maritim, menggalakkan lebih banyak syarikat perkapalan dan menggalak pemilik kargo untuk memilih Singapura.
Menurut Encik Siow, pemerintah juga berusaha memperluas penggunaan teknologi dan inovasi menerusi pelan induk itu.
PSA juga akan menambah armada kenderaan pandu sendiri kepada kira-kira 1,000 kenderaan berpandu pintar generasi baharu yang mampu memilih laluan mengikut keadaan lalu lintas semasa di kawasan pelabuhan.
Dron turut diuji untuk menghantar alat ganti segera, sampel bahan api, makanan segar dan bekalan anak kapal dari darat ke kapal di kawasan kapal berlabuh.
Pemerintah juga berusaha memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), kembar digital (salinan maya sistem fizikal), sistem pandu sendiri dan data masa nyata bagi membolehkan seluruh pelabuhan beroperasi sebagai satu sistem bersepadu.
Pemerintah turut menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon dengan melabur dalam bahan api bersih, termasuk memperluas pengisian gas asli cecair (LNG) untuk kapal, melesenkan pembekal baharu LNG dan metanol, menjalankan ujian operasi sebenar serta membangunkan piawaian keselamatan bagi bahan api seperti ammonia.
Encik Siow menambah bahawa pelan itu turut mempergiat latihan pekerja maritim agar mereka sentiasa mengikuti perkembangan teknologi baharu.
Operasi terminal Tanjong Pagar, Keppel dan Brani akan dipindahkan ke Tuas menjelang 2027, diikuti Pasir Panjang pada 2040-an.
Encik Siow berkata Singapura mahu menjadi pelabuhan pilihan perkapalan sedunia, hab perdagangan maritim serta pusat perniagaan yang menawarkan pekerjaan dan peluang lebih baik kepada rakyat.