Kerjasama antara Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dengan perniagaan masyarakat Islam tempatan kini lebih erat, ekoran dorongan dan sokongan yang diberikan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata Dr Faishal aktif mendorong dewan itu agar bekerja lebih rapat dengan MMO, sekali gus membantu dalam usaha menyediakan jaringan sokongan yang lebih teratur bagi perusahaan Muslim tempatan.

Malah, rangkaian sokongan tersebut juga diperluas, untuk merangkumi perniagaan Muslim India dan Cina, tambah Encik Abdul Malik.

Beliau memberitahu Berita Harian (BH) bahawa Dr Faishal telah meminta dewan itu agar terus memperkasakan perniagaan masyarakat Islam tempatan sejak pertemuan pertama mereka sekitar Jun 2025.

Ketika itu, mereka berbincang tentang harapan Dr Faishal untuk perniagaan masyarakat Islam tempatan.

“Beliau menggesa kami agar terus membantu lebih banyak perniagaan dan juga mempertingkatkan keupayaan perniagaan masyarakat Islam tempatan, khususnya peniaga yang masih kurang yakin, setelah terjejas oleh cabaran seperti pandemik Covid-19,” kata Encik Abdul Malik.

Dr Faishal sentiasa mendorong dewan itu untuk bekerjasama rapat dengan MMO, demi mencapai matlamat itu, tambah Encik Abdul Malik.

Menerusi kolaborasi antara DPPMS dengan MMO yang dipereratkan, dewan itu kini lebih lancar dalam menghubungkan perniagaan yang memerlukan bantuan kepada MMO yang sesuai.

“Amalan itu (menghubungkan perniagaan yang memerlukan bantuan kepada MMO) sudah wujud sebelum ini, tetapi kami berjaya memperhebatkan kelancaran proses itu lagi, setelah mendapatkan pendapat Dr Faishal tentang keadaan perniagaan masyarakat Islam tempatan,” kata Encik Abdul Malik.

Encik Abdul Malik mengakui rasa terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu tentang berita itu.

“Saya akan merindui sifat rendah hatinya dan cara beliau menghormati insan daripada pelbagai latar belakang,” tambahnya.

Mengimbau kembali pertemuan pertama DPPMS dengan Dr Faishal di Restoran Campur Nasi Padang, yang terletak di Wisma Geylang Serai, Encik Abdul Malik berkongsi mantan pemimpin itu meluangkan masa sekitar satu jam untuk menyantuni dan bertanya khabar dengan setiap individu di situ, sebelum beliau sendiri duduk makan.

Encik Abdul Malik, yang juga merupakan pemilik Selera Rasa Nasi Lemak, turut mengenang Dr Faishal yang sering mengunjungi cawangannya di Ang Mo Kio, semasa beliau berkhidmat sebagai AP di GRC Nee Soon sebelum beliau beralih ke GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Pihak Perikatan Kampong Gelam (KGA) turut mengenang jasa Dr Faishal.

Kata Pengerusi KGA, Encik Zaki Ma’arof:

“Beliau merupakan seorang perwira dan tokoh yang memberikan sepenuh perhatian apabila berinteraksi, berjiwa masyarakat dan bersungguh-sungguh apabila membantu.

“Kemajuan yang kita lihat di Kampong Gelam sekarang adalah hasil kerja keras dan arahan beliau yang selalu terlebih dahulu menanyakan hal ehwal keadaan.”

Encik Zaki menarik perhatian kepada komitmen tinggi Dr Faishal dengan menceritakan bahawa beliau pernah mengunjungi Bazar Ramadan Kampong Gelam pada 11.30 malam bagi memastikan isu kerosakan ditangani, selain memastikan pelan sandaran sedia ada dapat dijalankan.

Pengerusi Liga Belia Islam Antarabangsa Asia (IIYL), Encik Muhammad Zuhaili Sabudin, pula mengenang beberapa sumbangan Dr Faishal, terutamanya dalam kempen ‘Dadah Itu Haram’.

Dalam hantaran di Facebook pada 20 Julai, beliau berkata:

“Saya sudah mengenali Dr Faishal lebih tujuh tahun, sejak beliau mengambil alih kempen ‘Dadah Itu Haram’.

“Sejak itu, kami sering bertemu dalam pelbagai kesempatan dan bekerjasama menerusi pelbagai inisiatif, bagi menyokong anggota masyarakat Melayu/Islam yang terkesan oleh isu berkaitan dadah.”

Tambah Encik Muhammad Zuhaili: “Kita telah menyaksikan dedikasi, keikhlasan, serta komitmen mendalam beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Usaha beliau dalam menangani pelbagai isu masyarakat, termasuk pengurusan ibadah haji baru-baru ini, membuahkan hasil bermakna, yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam mahupun negara.”

Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail, turut menghargai sumbangan Dr Faishal menerusi hantaran di Facebook pada 20 Julai.

“Saya berasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat di bawah kepimpinan dan bimbingan Dr Faishal dalam kerja-kerja kemasyarakatan kami.

“Saya sendiri telah menyaksikan sifat ihsan, dedikasi, serta komitmen mendalam beliau dalam berkhidmat demi masyarakat Melayu/Islam dan warga Singapura secara amnya.

“Saya juga melihat betapa besarnya keprihatinan beliau terhadap keluarga, belia, serta mereka yang sedang mengharungi detik mencabar.

“Malah, galakan dan bimbingan beliau telah membentuk perjalanan saya sendiri dalam bidang khidmat kepada masyarakat dengan cara yang amat bermakna.”

“Amalan itu  (menghubungkan perniagaan yang memerlukan bantuan kepada MMO) sudah wujud sebelum ini, tetapi kami berjaya memperhebatkan kelancaran proses itu lagi, setelah mendapatkan pendapat Dr Faishal tentang keadaan perniagaan masyarakat Islam tempatan... Saya akan merindui sifat rendah hatinya dan cara beliau menghormati insan daripada pelbagai latar belakang.”
Encik Abdul Malik Hassan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

“Beliau merupakan seorang perwira dan tokoh yang memberikan sepenuh perhatian apabila berinteraksi, berjiwa masyarakat dan bersungguh-sungguh apabila membantu. Kemajuan yang kita lihat di Kampong Gelam sekarang adalah hasil kerja keras dan arahan beliau yang selalu terlebih dahulu menanyakan hal ehwal keadaan.”
Encik Zaki Ma’arof, Pengerusi Perikatan Kampong Gelam.