Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Konflik Israel-Palestin: S’pura komited hulur bantuan kemanusiaan ke Gaza

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Konflik Israel-Palestin: S’pura komited hulur bantuan kemanusiaan ke Gaza

Berucap dalam Bahasa Melayu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 29 Februari, Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, telah mengutarakan dasar ehwal luar Singapura, antara lain berhubung respons kejadian yang berlaku di tempat lain yang boleh mendatangkan kesan ke atas warga Singapura. Berikut sedutan ucapannya.
Feb 29, 2024 | 06:07 PM



Persengketaan di Gaza amat meremuk jiwa. Setiap hari, kita dihujani dengan berita serta gambar-gambar yang amat menyedihkan di kaca TV mahupun media sosial yang menunjukkan keganasan yang dilakukan ke atas nyawa yang tidak berdosa, termasuk golongan orang tua, bayi dan kanak-kanak.

Kehancuran dan bencana kemanusiaan yang tidak terhenti-henti sangat menyayat hati.

Rasa pilu dan resah yang kita alami merupakan sifat fitrah yang mendorong kita untuk mahu terus melindungi golongan yang tertindas.

Sebagai insan yang bersemangat perikemanusiaan dan mempunyai belas ihsan, kita menolak segala bentuk kezaliman dan kekejaman. Bak kata pepatah – berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.







Tindak balas ketenteraan Israel di Gaza telah melampaui batas.

Kita juga prihatin terhadap kemungkinan serangan darat di Rafah yang akan memburukkan lagi keadaan ini.

Singapura telah membuat kenyataan tentang pendirian kita terhadap persengketaan ini dengan jelas.

Kita telah mengundi untuk menyokong dua resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober dan Disember tahun lalu.

Resolusi-resolusi tersebut telah mengutuk serangan terhadap orang awam dan menuntut supaya semua pihak mematuhi kewajiban mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Singapura juga telah menggesa gencatan senjata kemanusiaan supaya bantuan boleh disalurkan kepada orang awam di Gaza.

Di sidang Menteri-Menteri Luar G20 di Brazil baru-baru ini, saya menekankan sekali lagi pendirian tegas negara kita. Israel perlu meningkatkan usaha untuk melindungi keselamatan dan keamanan orang awam yang kehilangan tempat tinggal.

Pada masa yang sama, Hamas mesti membebaskan semua tebusan awam tanpa syarat dan dengan selamat.

Sengketa yang rumit, bukan berdasarkan agama

Kita tahu persengketaan ini bukan satu perkara yang mudah untuk diselesaikan. Ia amat rumit dan telah berlarutan berdekad-dekad lamanya.

Ia bukan sesuatu yang bermula pada 7 Oktober. Untuk mencapai penyelesaian damai yang berpanjangan, Singapura percaya apa yang diperlukan ialah penyelesaian dua negara yang konsisten dengan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang relevan dengan isu ini.

Kita telah menyuarakan pendirian berprinsip ini di arena antarabangsa serta menerusi cara kita mengundi di Perhimpunan Agung PBB sejak 1967.

Misalnya, kita telah mengundi untuk menyokong setiap resolusi yang menyeru Israel untuk membatalkan semua langkah-langkah satu halanya (unilateral) yang bertujuan menukar kedudukan Baitulmakdis.

Kita juga telah menentang petempatan Israel di Tebing Barat yang merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya cara untuk menghentikan kitaran keganasan ini, dan Singapura akan melakukan apa yang kita mampu untuk menjadikannya satu realiti.

Sebagai rakyat Singapura, kita tahu bahawa persengketaan ini bukan berdasarkan agama.

Ia adalah persengketaan berdasarkan pertikaian tanah wilayah yang telah berterusan selama beberapa abad.

Namun, isu ini mempunyai kesan yang lebih mendalam untuk umat Islam di merata dunia, termasuk masyarakat Islam di Singapura.

Pemerintah faham dan prihatin terhadap perasaan masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam hal ini dan akur wujudnya tiga ikatan.

Pertama, ikatan ukhuwah umat Islam kita dengan penduduk Islam di Palestin.

Kedua, ikatan terhadap kedudukan Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga terpenting bagi umat Islam.

Dan ketiga, ikatan kemanusiaan.

Oleh itu, pemimpin agama kita telah memberi panduan dan ruang untuk masyarakat kita meluahkan segala emosi yang dirasai seperti kemarahan, keperitan dan simpati terhadap penderitaan yang dialami mereka yang tidak berdosa serta harapan untuk persefahaman dan perdamaian antara Israel dan Palestin dengan cara yang memperjuangkan keamanan, bukan kemusnahan.

Sebagai contoh, Pejabat Mufti telah mengeluarkan irsyad yang mengandungi nasihat mengenai pandangan Islam terhadap keganasan dan reaksi kita sebagai orang yang beriman.

Ini selaras dengan visi membina dan memperkuat Identiti Muslim Singapura.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hanya masyarakat Islam sahaja yang terkesan tentang apa yang sedang berlaku di Gaza.

Ramai rakyat Singapura, tidak kira kaum atau agama, amat bersimpati dengan nasib rakyat Palestin dan keluarga-keluarga para tebusan. Mereka ingin melakukan sesuatu yang berkesan untuk menunjukkan sokongan mereka.

Bantuan dari S’pura ke Gaza

Pemerintah dan badan-badan masyarakat telah menggembleng tenaga untuk menyalurkan bantuan yang kukuh kepada mangsa tragedi ini.

Saya terharu melihat rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang berganding bahu untuk memberi bantuan sehingga hari ini.

Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa pemerintah komited untuk meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza, sama seperti yang telah kita lakukan pada krisis-krisis sebelum ini.

Kita terus bekerja rapat dengan rakan-rakan di rantau Timur Tengah untuk menyampaikan bantuan tersebut.

Pada November tahun lalu, saya telah pergi ke Kahirah untuk menyaksikan penyerahan bantuan pertama kita kepada Gaza.

Beberapa minggu kemudian, kita mengerahkan sebuah pesawat RSAF untuk mengangkut bekalan kemanusiaan sebagai sumbangan kedua kita.

Menteri Vivian telah mengumumkan bahawa kita akan menderma bahagian ketiga bantuan untuk Gaza melalui Jordan tidak lama lagi.

Pemerintah dan orang awam telah mengumpul lebih daripada 10 juta dolar Singapura ($10 juta) untuk menyokong usaha-usaha bantuan di Gaza.

Selain daripada bekalan makanan serta ubat-ubatan, kita juga menghantar pasukan perubatan ke Mesir untuk merawat mangsa dari Gaza.

Dalam jangka masa panjang, kita juga akan terus menyokong usaha membina keupayaan pihak berkuasa Palestin menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bernilai 10 juta dolar Singapura ($10 juta).

Respons utama kepentingan negara

Dalam kita berusaha terus membantu mangsa-mangsa di Gaza, terdapat segelintir rakyat Singapura yang menyoal mengapa kita tidak boleh mengambil langkah lebih tegas terhadap Israel.

Misalnya, mereka mahu kita memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Isu ini berkaitan langsung dengan dasar luar negara kita.

Seperti yang diterangkan Menteri Vivian tadi, apapun tindakan yang kita ambil harus berdasarkan kepentingan negara kita.

Sebagai sebuah negara kecil, kita dapat terus kekal relevan di pentas dunia melalui hubungan kita dengan sebanyak negara sejauh mungkin.

Memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang bercanggah tingkah laku tidak akan memperbaiki situasi.

Ia tidak akan mengubah arus persengketaan ini.

Malah banyak negara Timur Tengah seperti Mesir, Amiriah Arab Bersatu dan Jordan yang lebih dekat dan lebih memahami kerumitan konflik ini, juga tidak memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Israel.

Yang penting, mempunyai hubungan diplomatik tidak bermakna bahawa kita setuju dengan setiap tingkah laku mereka.

Kita menyuarakan ketidaksetujuan ini menerusi cara kita mengundi resolusi-resolusi Perhimpunan Agung PBB berkaitan isu Palestin. 

Kita mahu persengketaan ini berhenti secepat mungkin. Kita mahu kedamaian tercapai secepat mungkin supaya rakyat kedua-dua pihak dapat terus hidup dalam keadaan selamat dan aman.

Tetapi kita akur perjalanan menuju kedamaian bukan mudah.

Pada ketika ini, kedua-dua pihak tidak mempercayai satu sama lain.

Politik dalaman masing-masing juga lebih merumitkan isu ini kerana masing-masing mempunyai pihak yang berpendirian bercanggah.

Walaupun ini bukan perbalahan kita, kita telah menggesa kedua-dua pihak untuk mencari jalan penyelesaian dengan niat yang tulus.

Dalam masa yang sama, kita harus terus prihatin, supaya apa yang sedang berlaku walaupun jauh, tidak mengancam kestabilan, kerukunan dan keharmonian kaum yang kita alami di Singapura kita. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >