Topik diikuti
Pergi ke BHkuKopitiam baru ambil alih Rahsia Bidadari, Cef Bob undur sebagai pengendali
Kopitiam baru ambil alih Rahsia Bidadari, Cef Bob undur sebagai pengendali
Hanya lima bulan selepas membuka kedai kopi halal Rahsia Bidadari di Alkaff Crescent, cef selebriti Encik Shahrizal Salleh, atau lebih dikenali sebagai Cef Bob, kini melepaskan status sebagai penyewa utama dan pengendali premis itu dalam usaha mengurangkan kerugian.
Semakan Berita Harian (BH) di Google pada 9 September mendapati nama premis tersebut telah ditukar daripada Rahsia Bidadari kepada Seng Kee Kopitiam.
Rahsia Bidadari, yang dibuka pada 1 April oleh Cef Bob bersama pencipta kandungan TikTok, Encik Kai Emilio, sebelum ini mengetengahkan konsep kedai kopi halal yang menghimpunkan beberapa jenama makanan tempatan di bawah satu bumbung.
Cef Bob memberitahu BH bahawa keputusan untuk melepaskan kedudukan sebagai penyewa utama dibuat setelah perniagaan itu terus berdepan kerugian.
“Kami perlu melepaskan status sebagai penyewa utama untuk mengurangkan kerugian. Seperti yang pernah dilaporkan BH, kami berdepan dengan kerugian yang besar.
“Kami fikir apabila kami ‘rembat’ (berusaha sedaya upaya untuk memaksimumkan potensi) pada awalnya, kami boleh mendapatkan semula kerugian itu. Tetapi malangnya, perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Menurut Cef Bob, aduan penduduk mengenai asap daripada gerai sate ketika kedai kopi itu mula beroperasi turut menjejas perniagaan.
Beliau berkata premis itu menerima banyak maklum balas negatif dalam talian, termasuk dalam sebuah kumpulan Telegram penduduk, berhubung masalah asap daripada pemanggang sate.
“Reaksi pelanggan semasa pembukaan awal mengenai asap yang disebabkan pemanggang sate begitu mendalam sehingga usaha untuk memulihkan keadaan menjadi sangat sukar,” katanya.
Keadaan bertambah mencabar apabila seorang penyewa meninggalkan premis secara tiba-tiba tanpa memberikan notis dan mempunyai tunggakan sewa selama lima bulan, dakwa Cef Bob.
Bagaimanapun, beberapa penyewa yang menjual makanan halal masih beroperasi di premis tersebut, antaranya Charrbo Grill dan Nasi Lemak Bidadari, selain sebuah gerai mamak dan gerai zi char.
Turut beroperasi di situ ialah Sin Lan Beef Noodles, yang berada di bawah jenama Tongue Tip Lanzhou Beef Noodles.
Perniagaan Cef Bob pula kini dikenali sebagai Nasi Lemak Bidadari dan beroperasi sebagai penyewa, bukan lagi pengendali kedai kopi tersebut.
Menurut Cef Bob, beliau akan terus mengendalikan Nasi Lemak Bidadari, gerai mamak serta operasi mencuci pinggan bagi bahagian yang menyediakan makanan halal.
“Secara ringkasnya, ya, kami masih menjual makanan halal. Malangnya, kami tidak lagi mempunyai kuasa untuk berunding,” katanya.
Dalam laporan Kaki Makan pada 4 Julai, Cef Bob pernah berkongsi bahawa mengendalikan kedai kopi jauh lebih mencabar berbanding restoran kerana ia melibatkan pengurusan pekerja, penyewa dan operasi harian yang lebih rumit.
Ketika itu, beliau turut mengatakan peningkatan kos operasi dan kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang sesuai sebagai antara cabaran terbesar yang dihadapi.
Kini, Cef Bob berkata tumpuannya adalah untuk mengurangkan kerugian dan meneruskan perniagaan dengan apa yang masih ada.
“Sekali lagi, kami tidak boleh menyalahkan sesiapa. Apa yang boleh kami lakukan adalah mengurangkan kerugian dan cuba mendapatkan semula apa yang mampu dengan apa yang kami ada sekarang.
“Saya boleh bertahan dengan kepenatan, tetapi keadaan industri F&B sekarang benar-benar menguras diri,” luahnya.
