Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan Circle tutup awal Jumaat, Sabtu, mula lewat hujung minggu dari 5 Sept

Aug 12, 2025 | 4:10 PM
Langkah penutupan awal dan pembukaan lewat diambil untuk memberi masa bagi proses menguji penyepaduan sistem merentasi laluan MRT sebelum pembukaan Laluan Circle (CCL) Peringkat 6 (CCL6) pada separuh pertama 2026.
Langkah penutupan awal dan pembukaan lewat diambil untuk memberi masa bagi proses menguji penyepaduan sistem merentasi laluan MRT sebelum pembukaan Laluan Circle (CCL) Peringkat 6 (CCL6) pada separuh pertama 2026. - Foto fail

Perkhidmatan kereta api di semua stesen Laluan Circle (CCL) akan berakhir lebih awal pada 11 malam setiap Jumaat dan Sabtu.

Ia akan turut bermula lewat pada 9 pagi setiap Sabtu dan Ahad, antara 5 September dengan 28 Disember.

Langkah itu diambil untuk memberi masa bagi proses menguji penyepaduan sistem merentasi laluan MRT sebelum pembukaan CCL Peringkat 6 (CCL6) pada separuh pertama 2026, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali rel SMRT, pada 12 Ogos.

Namun, perkhidmatan kereta api akan beroperasi seperti biasa pada hujung minggu 3 hingga 5 Oktober; 28 hingga 30 November; dan 5 hingga 7 Disember; dan tidak terjejas dengan langkah penutupan awal dan permulaan lewat tersebut.

LTA dan SMRT berkata mereka telah menyelesaikan kerja pemasangan sistem kawalan penyeliaan bersepadu yang baru pada Julai selepas enam tahun menjalankan kerja tersebut. 

Sistem itu memantau dan mengurus bekalan kuasa, komunikasi, dan kemudahan stesen di CCL, lapor The Straits Times (ST).

Sistem berkenaan, yang juga menyokong komunikasi antara stesen, pusat kawalan, dan kereta api, perlu diperbaharui bagi memastikan keserasian dengan stesen-stesen baru di CCL6.

Fasa kerja seterusnya kini boleh dimulakan, iaitu menjalankan ujian penyepaduan sistem merentasi keseluruhan CCL. 

“Ujian ini bertujuan memastikan perkhidmatan boleh dipercayai dapat diberikan (kepada penumpang) selepas CCL6 siap,” kata LTA dan SMRT.

CCL6, yang merangkumi tiga stesen bawah tanah baru – Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road – akan melengkapkan laluan bulatan antara stesen HarbourFront dengan Marina Bay.

Penutupan antara September dengan Disember memberi masa kerja kejuruteraan yang lebih panjang, yang diperlukan untuk menjalankan ujian penyepaduan dan keserasian secara “selamat dan teliti”.

Pihak berkuasa menasihatkan penumpang agar merancang perjalanan dan menggunakan laluan MRT lain serta perkhidmatan bas untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Penumpang terjejas juga boleh menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik 36 dan 37 sepanjang tempoh pembukaan lewat dari 5 pagi hingga 9 pagi pada Sabtu dan Ahad. 

Bas ulang-alik itu akan beroperasi di kebanyakan stesen CCL, jelas LTA dan SMRT.

Penumpang “mungkin menyaksikan tambahan masa perjalanan sehingga 30 minit disebabkan oleh langkah pelarasan perkhidmatan,” tambah LTA dan SMRT.

Notis pemberitahuan akan dipaparkan di stesen-stesen terjejas serta di perhentian bas berhampiran bagi memaklumkan penumpang mengenai pelarasan perkhidmatan.

Kakitangan stesen juga akan sedia membantu penumpang, kata LTA dan SMRT.

LTA dan SMRT turut mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran mereka sepanjang tempoh pelarasan perkhidmatan kereta api itu.

Pembukaan CCL6 dijangka menyingkatkan masa perjalanan sehingga 10 minit, serta menawarkan perjalanan lebih pantas dan langsung ke kawasan Marina Bay.

Penumpang dari kawasan seperti Paya Lebar dan Mountbatten pula akan meraih manfaat akses secara langsung ke Kawasan Pusat Bandar (CBD), serta kawasan HarbourFront dan Kent Ridge, ujar LTA dan SMRT.

Antara 15 Jun dengan 30 Julai, perkhidmatan kereta api di CCL berakhir lebih awal pada 11 malam, dari Ahad hingga Rabu, untuk memberi laluan pada kerja-kerja pada sistem kawalan penyeliaan bersepadu.

Sistem sebelum ini telah digunakan sejak laluan tersebut dibuka pada 2009.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg