Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 200 kursus AI dilancar bantu pekerja bina kerjaya berdaya tahan
Lebih 200 kursus AI dilancar bantu pekerja bina kerjaya berdaya tahan
Lebih 200 kursus kecerdasan buatan (AI) dilancarkan pada 16 September menerusi inisiatif baharu untuk membangunkan tenaga kerja masa depan dan membantu pekerja membina kerjaya berdaya tahan.
Kursus itu memenuhi pelbagai keperluan pembelajaran, daripada penggunaan AI dan peningkatan produktiviti di tempat kerja, sehingga membangunkan kemahiran lebih tinggi bagi peranan berasaskan AI dan pembaharuan perniagaan, menurut Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA).
Mulai 16 September, warga Singapura berusia 18 tahun dan ke atas yang layak dan mengikuti kursus AI terpilih, akan menerima langganan percuma enam bulan bagi alat AI premium terpilih, termasuk ChatGPT Plus, Google AI Pro, Manus AI, Microsoft 365 Personal dan Singtel AI Pass yang membolehkan penggunaan enam alat AI.
Langkah itu diumumkan SWDA semasa Festival SkillsFuture 2026.
SWDA dibentuk menerusi penggabungan SkillsFuture Singapura dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), menyatukan pembangunan kemahiran dan tenaga kerja serta sokongan pekerjaan di bawah satu agensi.
Ini merupakan Festival SkillsFuture pertama di bawah agensi baharu itu.
SWDA turut melancarkan Connect by SWDA di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI), Paya Lebar, yang menyediakan sokongan bersepadu kepada individu dan majikan dalam kerjaya, peningkatan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja, menurut SWDA.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tetamu kehormat acara itu, berkata:
“Pusat ini bukan sekadar tempat mendaftar kursus, bahkan juga menyatukan pembelajaran, bimbingan kerjaya dan sokongan pekerjaan.
“Di sinilah pencari kerja boleh menilai kedudukan mereka, memahami peluang yang tersedia dan mendapatkan nasihat khusus tentang kemahiran serta langkah untuk terus maju.”
Beliau menambah pusat itu akan turut menyokong majikan.
Perniagaan boleh menerima khidmat nasihat khusus untuk mengubah tenaga kerja, mereka bentuk semula pekerjaan dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran baharu, kata Encik Wong.
SWDA turut melancarkan portal sehenti untuk majikan, OurWorkforce, yang menggantikan laman web SkillsFuture untuk perniagaan dan menyediakan langkah latihan serta pembangunan tenaga kerja.
Melalui portal itu, majikan boleh mencari kursus dan penyelesaian pembangunan tenaga kerja serta menerima cadangan berdasarkan keperluan perniagaan, kata SWDA.
Majikan juga boleh menggunakan alat digital untuk mereka bentuk semula pekerjaan dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dengan berkesan.
Di majlis sama, Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau berkata: “AI semakin menjadi sebahagian daripada cara kita bekerja, dan ramai rakyat Singapura tertanya-tanya bagaimana hendak bermula.
“Kami mahu memudahkan mereka belajar, berlatih dan menggunakan kemahiran baharu dalam tugas sebenar. Dengan cara itu, mereka membina keyakinan menggunakan AI.”
