Perniagaan mesti merancang tenaga kerja seiring dengan perubahan operasi, bukan menganggapnya sebagai urusan sumber manusia (HR) yang boleh ditangani kemudian, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 16 September.

Selain itu, syarikat juga perlu menilai perubahan pekerjaan, kemahiran baharu yang diperlukan dan cara melengkapkan pekerja sedia ada untuk mendapat pekerjaan lebih baik.

Usaha mendorong transformasi bersama antara perniagaan dengan pekerja, merupakan satu daripada tiga perubahan penting bagi memacu prestasi kedua-dua pihak.

Dua lagi perubahan adalah menghubungkan pembelajaran dengan pekerjaan dan kerjaya, serta memudahkan sistem sokongan kemahiran dan pekerjaan.

Sebuah pusat baharu, Connect by SWDA, di bawah Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), yang baru dibentuk hasil penggabungan dua agensi, akan menyatukan ketiga-tiga perubahan itu, dedah Encik Wong.

SWDA dibentuk pada awal 2026 melalui gabungan SkillsFuture Singapura dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk mengaitkan kemahiran dengan pekerjaan serta pembangunan tenaga kerja dengan perubahan perniagaan.

Connect by SWDA di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) yang terletak di Paya Lebar ialah pusat utama perkhidmatan kerjaya dan kemahiran bagi individu dan majikan.

Berucap semasa pelancaran Festival SkillsFuture yang diadakan di LLI, Encik Wong berkata perniagaan perlu terus berubah untuk kekal berdaya saing, sama ada dengan menggunakan teknologi baharu, memperbaiki proses atau memperbaharui model perniagaan.

Namun, soal tenaga kerja selalunya hanya dipertimbangkan selepas keputusan perniagaan dibuat. “Itu sudah terlalu lewat”, katanya.

Apabila syarikat berubah, mereka mesti memikirkan perubahan pekerjaan, kemahiran baharu dan keperluan pekerja dengan serentak.

“Apabila sesebuah syarikat melalui perubahan, pekerja harus berpeluang melalui perubahan bersamanya. Kedua-duanya mesti seiring,” ujar Encik Wong.

Perniagaan, tambah beliau perlu lebih produktif dan berdaya saing, dan pada masa sama pekerja memperoleh kemahiran, pekerjaan dan peluang yang lebih baik.

Pemerintah, menerusi SWDA, akan lebih menyepadukan sokongan kepada perniagaan dan pekerja supaya syarikat dapat memperbaharui operasi dan tenaga kerja mereka secara serentak, katanya.

“Jadi jangan hanya mohon geran perusahaan daripada pemerintah. Bincangkan juga geran tenaga kerja,” tambah beliau.

Encik Wong berkata SWDA mesti memastikan kemahiran pekerja kekal diperlukan dan dihargai industri melalui latihan bermutu.

Kursus mesti membina kemahiran yang membuka laluan kepada pekerjaan, peranan dan peluang kerjaya lebih baik.

Namun, keperluan terhadap kemahiran berubah seiring perkembangan teknologi, model perniagaan dan pekerjaan.

Oleh itu, SWDA perlu terus mengkaji dan memperbaharui tawaran kursusnya serta bekerjasama dengan penyedia latihan dan industri untuk memastikan latihan menepati keperluan semasa dan terkini, tambahnya.

Bagaimanapun, majikan tidak boleh mengharapkan lulusan sekolah bersedia sepenuhnya pada hari pertama.

Majikan kadangkala mengadu institusi pendidikan tidak menyediakan lulusan pada tahap yang diharapkan.

“Institusi pendidikan mesti peka terhadap keperluan industri, tetapi tidak mungkin dapat menyediakan setiap pelajar untuk setiap pekerjaan.

“Mereka juga mesti melengkapkan golongan muda dengan asas yang kukuh serta keupayaan lebih luas untuk berfikir secara kritikal, menyesuaikan diri dan terus belajar,” kata Encik Wong.

Setiap pihak memainkan peranan, katanya, dengan majikan perlu melabur dalam pekerja dan menyediakan latihan khusus bagi pekerjaan.

Mengenai usaha menjadikan sistem lebih mudah digunakan, Encik Wong mengakui banyaknya skim, program dan penyedia latihan di Singapura boleh mengelirukan, malah membebankan.

“Kita memang perlu memudahkan proses dan lebih mengutamakan keperluan pengguna,” katanya.

SWDA akan menyediakan proses lebih ringkas dan jelas mengikut keperluan pekerja dan perniagaan.

SWDA akan bekerjasama dengan rakan tiga pihak, persatuan perdagangan, badan karyawan, institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan untuk mendekati lebih ramai pekerja dan perniagaan, kata Encik Wong.