Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos atas dakwaan mengeluarkan kata-kata menghina dan kesat terhadap penganut Islam di Singapura.

Elvin John Baptist, 27 tahun, warga Singapura, didakwa atas satu tuduhan menghina agama orang lain di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA).

Menurut dokumen mahkamah, pada 1 Mac, Baptist didakwa memuat naik dua video di TikTok yang menunjukkan dirinya mengucapkan kata-kata dalam bahasa Melayu yang diketahuinya menghina agama Islam serta mengancam ketenteraman awam di Singapura.

Polis berkata pada 6 Ogos bahawa mereka menerima laporan mengenai tindakan Baptist pada hari yang sama video itu dimuat naik, namun mendapati dia telah meninggalkan Singapura sebelum laporan dibuat.

Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Baptist dihantar pulang dari Malaysia pada 6 Ogos dan ditahan polis di Singapura sebaik tiba pada hari yang sama.

Baptist juga sedang membantu siasatan polis berhubung kes berasingan yang melibatkan video lain yang tular di media sosial, yang didakwa menunjukkan seorang lelaki memijak Al-Quran.

Polis berkata video itu dipercayai dirakam dalam sebuah bas awam di Singapura.

Berikutan kejadian itu, pada 7 Mac, polis mengeluarkan lima arahan kepada Meta untuk menyekat kandungan berkenaan daripada dilihat oleh pengguna platform itu di Singapura.

Baptist telah direman bagi menjalani pemeriksaan perubatan. Kesnya akan disebut semula pada 21 Ogos.

Polis berkata mereka memandang serius sebarang perbuatan yang mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.

“Mana-mana individu yang membuat kenyataan atau bertindak dengan cara yang boleh menimbulkan permusuhan, kebencian, niat jahat atau perbalahan antara kumpulan kaum atau agama yang berlainan di Singapura akan diambil tindakan dengan pantas dan tegas mengikut undang-undang,” tegas polis.

Mereka yang disabitkan kesalahan menghina agama orang lain boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, atau kededuanya sekali.