Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki dipenjara, disebat kerana terlibat dalam sindiket Kpod raih $28,300 dalam 16 hari
Lelaki dipenjara, disebat kerana terlibat dalam sindiket Kpod raih $28,300 dalam 16 hari
Lelaki dipenjara, disebat kerana terlibat dalam sindiket Kpod raih $28,300 dalam 16 hari
Seorang lelaki akan menjalani hukuman penjara kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang dikaitkan dengan Kpod, yang meraih hasil jualan sebanyak $28,300 dalam tempoh hanya 16 hari antara 10 hingga 25 September 2025.
Tan Jia Wei, yang kesalahannya melibatkan pengedaran pod vape mengandungi etomidate, mengendalikan satu akaun di platform pesanan untuk menerima tempahan daripada pelanggan.
Dia turut mengurus arahan pembungkusan, mengutip hasil jualan dadah dan mengupah seorang lagi lelaki sebagai pembungkus dalam rangkaian pengedarannya.
Lelaki berusia 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun lima bulan dan tiga sebatan rotan pada 13 Oktober.
Dia mengaku bersalah kerana bersubahat dengan seorang lelaki lain untuk memiliki sekurang-kurangnya 461 pod vape bagi tujuan pengedaran.
Dia turut mengaku bersalah atas satu tuduhan menghisap etomidate dan satu tuduhan menerima $28,300 hasil kegiatan pengedaran dadah.
Menurut dokumen mahkamah, Tan Jia Wei mengendalikan rangkaian pengedaran Kpod bersama dua individu lain yang hanya dikenali sebagai HH dan Eddison.
Tan Jia Wei menggunakan akaun Telegram untuk mengurus dan mengatur kegiatan itu.
Pada September 2025, dia mengupah Tan Ming Kuan, 29 tahun, sebagai pembungkus.
Tan Ming Kuan turut dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram yang ditadbir Tan Jia Wei, HH dan Eddison.
Pihak pendakwaan berkata Tan Ming Kuan diarahkan pentadbir kumpulan itu supaya membungkus Kpod dan peranti vape secara berasingan, mengambil gambar bungkusan yang siap dan menghantarnya kepada kumpulan itu.
Dia kemudian meninggalkan bungkusan itu di beberapa tempat terpencil untuk diambil kemudian oleh seorang pemandu kumpulan tersebut yang tidak dinamakan.
Tan Jia Wei turut menggunakan Telegram untuk berhubung dengan pelanggan, menyampaikan pesanan kepada Tan Ming Kuan dan mengatur kegiatan pengedaran itu.
Pelanggan membayar pesanan Kpod melalui pindahan wang ke akaun bank Tan Ming Kuan.
Setiap hari, Tan Ming Kuan menyimpan $5 bagi setiap pesanan sebagai upah dan mengeluarkan bakinya untuk diserahkan kepada Tan Jia Wei, yang menerima sehingga $200 bagi setiap kutipan wang tunai.
Setiap Kpod dijual pada harga antara $60 dengan $70.
Pihak pendakwaan berkata Tan Ming Kuan menyerahkan $28,300 kepada Tan Jia Wei antara 10 hingga 25 September 2025.
Wang itu merupakan hasil jualan Kpod.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana kegiatan itu terbongkar, namun sekitar 6.20 pagi pada 25 September 2025, pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu rumah Tan Ming Kuan dan memberkasnya.
Mereka turut merampas beberapa pod vape mengandungi etomidate dan wang tunai $3,500.
Sekitar 4.40 petang hari yang sama, pegawai CNB pergi ke rumah Tan Jia Wei dan memberkasnya.
Sampel air kencingnya kemudian didapati mengandungi kesan etomidate selepas dia menghisap Kpod yang mengandungi bahan itu.
Dia dibenarkan diikat jamin $30,000 pada 13 Oktober dan dijangka mula menjalani hukuman penjara pada 10 November.