Seorang anggota sindiket yang mengendalikan dua ‘gudang’ menyimpan hampir 58,000 produk vape menjadi individu pertama dalam kumpulan itu yang mengaku penglibatannya.

Hampir 17,000 daripadanya merupakan peranti vape.

Sebuah ‘gudang’ merupakan sebuah rumah teres di Lentor, manakala sebuah lagi ialah unit kondominium di Canberra, Sembawang.

Mahkamah diberitahu kumpulan itu menghantar sehingga 210 pesanan peranti vape dan komponennya setiap hari.

Pada 6 Ogos, Roy Tan Jun Jie, 34 tahun, seorang ‘pengedar kawasan’ di peringkat terendah sindiket tiga lapisan itu, mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan tersebut di bawah Akta Jenayah Terancang (OCA).

Tan, yang meraih kira-kira S$45,000, turut mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki 31 peranti vape untuk dijual.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Matthew Choo, Nicole Teo dan Timothy Ong berkata sindiket itu mempunyai 13 lagi anggota.

Mereka berkata Wong Ee Wei, 29 tahun; Tey Ler Wei, 30 tahun; dan Kenneth Tan Hong Chang, 31 tahun, ialah ketua sindiket tempatan yang menerima arahan daripada individu dikenali sebagai ‘Nobody’, dipercayai berpangkalan di Malaysia.

Mereka menguruskan ‘gudang’, kewangan dan penghantaran produk vape dari Malaysia.

Menurut pendakwaan, Ng Tai Lun, 27 tahun; Teo Jin Rui, 29 tahun; Tiffany Lim Hui Ping, 29 tahun; dan Adrian Chia Hong Qing, 33 tahun, ialah ‘pengedar tempatan’, yang memperoleh antara $4,000 dengan $8,000 sebulan.

Mereka menyerahkan pesanan harian kepada ‘pengedar kawasan’ dan mengutip hasil jualan.

Dokumen mahkamah menyatakan ‘pengedar kawasan’ lain ialah Cheong Tian Lin, Tan Boon Hao, Nigel Khing Yao Zhi, Feelix Teo Wang Chye, Tan Yi Tan dan Iu Bing Yuan.

Setiap pengedar ditugaskan ke kawasan tertentu, menghantar antara 15 dengan 30 pesanan sehari, dan memperoleh $10 bagi setiap penghantaran.

Pendakwa raya berkata sindiket itu mengedarkan peranti vape dari pertengahan 2022 hingga Oktober 2025, serta mengendalikan kededua ‘gudang’ tersebut.

Lim menyewa kondominium di Canberra bersama suaminya, Kenneth Tan, manakala rumah di Lentor disewa Teo Jin Rui.

Kumpulan itu menggunakan nama samaran dalam kumpulan sembang WhatsApp dan Telegram bagi mengekalkan kerahsiaan.

Pada Oktober 2024, Roy Tan diperkenalkan kepada pekerjaan itu sebelum Chia memberi taklimat mengenai tugasnya sebagai ‘pengedar kawasan’.

Dia menggunakan keretanya untuk membuat penghantaran.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana kes itu terbongkar.

Namun, pada 16 Oktober 2025, pihak berkuasa merampas hampir 20,000 barangan di ‘gudang’ Lentor dan lebih 38,000 lagi di ‘gudang’ kondominium Canberra.

Roy Tan turut ditahan.

Pendakwaan berkata Roy Tan didorong keuntungan dan memohon hukuman penjara sehingga 11 bulan serta denda $45,000.

Mereka berkata peranti vape menimbulkan risiko kesihatan serius dan hukuman pencegahan wajar bagi menghalang orang ramai daripada terlibat dalam perdagangan itu.

“Hukuman pencegahan wajar dijatuhkan... bagi menyampaikan mesej tegas kepada mereka yang mungkin tertarik dengan keuntungan perdagangan peranti vape,” tambah pihak DPP.

Roy Tan diwakili peguam Sherman Ho dan Leong Kit Weng, yang berkata dia tidak mampu membayar denda.

Ikat jamin ditetapkan pada $15,000, dan hukuman dijangka dijatuhkan pada 19 Ogos.