Ada yang ketakutan melihat kemudaratan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape, yang diuar-uarkan di media sosial.
Ada pula yang melihat kawan sendiri ditangkap kerana menjual vape.
Itulah antara pengalaman yang dikongsi seramai 14 pengguna dan bekas pengguna vape yang dihubungi Berita Minggu (BM), dengan sebahagian besar daripada mereka telah atau sedang membuang tabiat menghisap vape.
Bagi ‘Anis’ (bukan nama sebenar) pelajar tahun akhir di sebuah politeknik, beliau bimbang dirinya akan dimasukkan ke wad hospital disebabkan kesan penggunaan e-rokok atau vape.
Apa tidaknya, beliau kerap dipaparkan video dan terbaca catatan di media sosial pengguna vape dimasukkan ke hospital dan khuatir dirinya menjadi salah satu daripada mereka, ujarnya.
Ketakutan inilah yang mendorong beliau untuk terus berhenti menggunakan vape serta-merta pada Mei setelah lebih kurang lima tahun menggunakannya, kata pelajar perempuan berusia 20 tahun itu.
Berkongsi kepada BM, pelajar itu berkata: “Saya terdorong untuk berhenti menggunakan vape demi kesihatan.
“Ada video yang saya tonton menunjukkan pendarahan paru-paru kerana kimia vape jadi saya tersentak kalau ini boleh berlaku (pada diri sendiri).”
Proses berhenti menghisap vape bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan ada kalanya apabila bersama rakan-rakan, keinginan untuk menghisap vape membuak-buak, kata beliau.
Sungguhpun demikian, beliau membulatkan tekad untuk kekal bebas daripada vape demi kesihatannya.
Mujur beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan ketara dalam hari-hari susulan pemberhentiannya menggunakan vape dan sejak itu, telah bebas daripada cengkaman vape.
Vape atau e-vaporisers mengandungi bahan kimia berbahaya seperti zarah halus (PM), ejen penyebab kanser seperti karbonil dan sebatian organik meruap seperti formaldehid dan benzena, menurut laman Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Selain itu, logam berat berbahaya seperti timah, plumbum dan nikel juga telah ditemui dalam peranti ini, menjadikannya berbahaya kepada kesihatan pengguna.
Ia juga mengandungi nikotin yang boleh mengakibatkan ketagihan.
Tidak seperti Anis, segelintir daripada mereka yang dihubungi BM mengalami kesan sampingan ketara disebabkan keinginan kuat yang berlegar di minda.
Ini sesuatu yang lumrah, kata Konsultan Kanan, Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Negara (NAMS) dan Ketua Jabatan Perubatan Penagihan, Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Lambert Low.
Beliau berkata mereka yang cuba berhenti menggunakan vape boleh mengalami simptom penarikan (withdrawal syndrome) termasuk kegelisahan, kerengsaan dan keinginan kuat, antara lain.
“Wujudnya juga potensi komplikasi perubatan lain. Jika individu tersebut mengalami simptom sedemikian dan berasa tidak sihat, dapatkan bantuan perubatan di hospital umum,” ujarnya.
Beliau berkata penggunaan vape menimbulkan risiko kesihatan ketara dan adalah penting pengguna vape mendapatkan bantuan segera bagi mendapatkan hasil pemulihan terbaik.
Sentimen ini dikongsi Encik Alvin Seng, yang berkata ada baiknya pengguna vape yang ingin berhenti, mendapatkan bantuan profesional kerana ia mungkin sukar melaluinya sendiri.
Kaunselor di pusat pemulihan penagihan We Care Community Services itu berkata bantuan profesional meliputi penilaian awal dan penilaian susulan oleh kaunselor, sebelum rancangan pemulihan dimulakan.
“Pemulihan biasanya melibatkan sesi kaunseling atau terapi individu, pasangan/keluarga dan/atau kumpulan, dan kumpulan sokongan bantu diri, yang bertujuan mengurus risiko dan mencegah diri (daripada penggunaan semula vape) untuk jangka panjang,” ujarnya.
Permintaan bagi pemulihan sebegini dijangka meningkat dalam beberapa bulan mendatang, dengan penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa dan hukuman yang dipertingkat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) mulai 1 September.
Ini diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan bersama pada 28 Ogos.
Sebahagian unsur hukuman bagi pengguna vape dan etomidate – bahan yang akan diklasifikasikan sebagai Dadah Kelas C di bawah MDA bagi tempoh sementara enam bulan mulai 1 September – turut berpaksikan pada pemulihan.
Misalnya pengguna yang didapati menyalah guna etomidate bagi kesalahan pertama dikenakan denda dan wajib menghadiri sesi pemulihan selama sehingga enam bulan di bawah Akta Racun (PA).
Pendekatan ini diambil agar golongan muda diberi peluang membuang tabiat vape dan etomidate, memandangkan rata-rata lebih separuh daripada pengguna vape berusia bawah 30 tahun, dengan sepertiga berusia bawah 18 tahun, dedah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Etomidate ialah bahan anestetik yang biasanya digunakan dalam amalan klinikal, tetapi semakin disalahgunakan melalui Kpod.
Bahan tersebut disenaraikan sebagai dadah haram mulai 1 September.
Bagi mereka yang didapati menyalah guna etomidate pula, sekitar 80 peratus atau empat daripada lima individu berusia di bawah 30 tahun, tambah beliau semasa sidang media baru-baru ini di Pusat Akhbar Nasional (NPC).
Bahkan rata-rata mereka yang dihubungi BM mula berjinak-jinak dengan vape ketika menuntut di bangku sekolah menengah, ada yang mula seawal 13 tahun.
Menjelaskan lebih lanjut dalam sidang media khas baru-baru ini, Encik Ong berkata keperluan pemulihan yang termaktub “menggambarkan peluang kedua yang diberikan pemerintah kepada pesalah”.
Sehubungan itu, jurucakap MOE pada 21 Ogos menyatakan ia sedang bekerjasama dengan sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia (MI) bagi meningkatkan pendidikan untuk membendung penggunaan vape dalam kalangan pelajar.
MOE menyatakan pihak sekolah berinteraksi rapat dengan pelajar melalui perhimpunan sekolah sebagai contoh, tentang bahaya dan penggunaan vape dan Kpod – vape yang mengandungi bahan sintetik seperti etomidate – yang salah di sisi undang-undang.
“Pelajar juga diingatkan supaya berwaspada dengan aktiviti penjualan vape berhampiran sekolah,” kata jurucakap MOE.
Ia turut ditekankan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dalam sidang media yang sama.
Beliau berkata aspek pendidikan terhadap penyalahgunaan vape di sekolah-sekolah akan dipertingkatkan, di samping usaha mendekati ibu bapa.
Sementara itu, individu yang dihubungi BM rata-rata akur usaha penguatkuasaan ketat yang dilakukan sejak kebelakangan ini membuatkannya sukar mendapatkan vape.
Malah MOH dan MHA berkata penguatkuasaan lebih tegas akan dilaksanakan melibatkan berbilang agensi pemerintah, di samping hukuman lebih berat ke atas pengguna dan pembekal vape.
Bagi sebahagian besar daripada pengguna dan bekas pengguna yang dihubungi BM, ia merupakan antara sebab untuk berhenti menggunakan vape dek risiko tinggi jika didapati memiliki atau memperoleh vape.
Meskipun begitu, masih ada segelintir yang memperoleh vape dari seberang tambak, memandangkan ia mudah didapati dan dijual secara terbuka.
APA ITU ETOMIDATE DAN KPOD?
Etomidate ialah bahan anestetik yang digunakan dalam suasana klinikal.
Bahan itu biasanya disuntik ke dalam tubuh untuk tujuan anestetik, dan tidak direka untuk dihisap ke dalam saluran pernafasan.
Kpod pula ialah vape yang cecair atau ‘jusnya’ mengandungi etomidate, dan dilaporkan semakin popular.
Etomidate disenaraikan sebagai dadah haram mulai 1 September, dengan hukuman lebih berat bagi mereka yang mengimport atau menyalahgunakan bahan itu.
“
“Saya terdorong untuk berhenti menggunakan vape demi kesihatan. Ada video yang saya tonton menunjukkan pendarahan paru-paru kerana kimia vape jadi saya tersentak kalau ini boleh berlaku (pada diri sendiri).”“
“Wujudnya juga potensi komplikasi perubatan lain. Jika individu tersebut mengalami simptom sedemikian dan berasa tidak sihat, dapatkan bantuan perubatan di hospital umum.”“
“Pemulihan biasanya melibatkan sesi kaunseling atau terapi individu, pasangan/keluarga dan/atau kumpulan, dan kumpulan sokongan bantu diri, yang bertujuan mengurus risiko dan mencegah diri (daripada penggunaan semula vape) untuk jangka panjang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg