Penduduk di Tengah boleh memberikan maklum balas mengenai kemudahan yang ingin dilihat di masjid yang akan dibina di Tengah, termasuk proses perundingan yang boleh mereka sertai, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
“Terdapat proses perundingan, dan saya rasa penduduk boleh memberikan maklum balas kepada penasihat serta Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengenai kemudahan yang mereka mahukan di masjid tersebut.
“Saya menyerahkan kepada Muis untuk membuat pengumuman lanjut mengenai reka bentuk serta butiran khusus masjid itu,” kata beliau.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai maklum balas penduduk mengenai masjid baru di Tengah, Encik Zhulkarnain berkata ruang agak terhad di Masjid Al-Khair disebabkan ramai jemaah yang menunaikan ibadah dari Limbang, Yew Tee, Brickland, Keat Hong dan Tengah.
“Dengan adanya masjid ini, kita dapat ruang solat yang lebih banyak.
“Ini adalah sebahagian maklum balas penduduk kami yang mahukan lebih banyak ruang, dan saya rasa kami mendengar perkara itu serta bekerjasama dengan masyarakat di sekitarnya,” ujarnya.
Perkembangan terkini itu merupakan antara usaha yang telah dan akan dilakukan Anggota GRC Chua Chu Kang sejak menggalas tanggungjawab selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) selama 100 hari pertama.
Bercakap kepada wartawan pada pagi 10 Ogos selepas berinteraksi dengan orang ramai di Blok 143 Teck Whye Lane, pasukan itu yang juga terdiri daripada – Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; dan Dr Choo Pei Ling – membentangkan usaha yang telah dijalankan di GRC Chua Chu Kang.
Encik Zhulkarnain, yang menguruskan kawasan Keat Hong, berkata masjid baru di Forest Drive itu akan menjadi masjid kelima di GRC tersebut.
Beliau menambah bahawa apabila kawasan Tengah berkembang, terdapat keperluan menyediakan ruang khusus bagi masyarakat Islam menunaikan ibadah.
Maka, sambil menunggu masjid itu dibina, GRC itu akan mengadakan ruang ibadah melalui kumpulan kariah ketika Ramadan dan Hari Raya.
“Sementara itu, kawasan Brickland-Tengah, Choa Chu Kang dan Keat Hong akan menyediakan lebih banyak ruang solat sepanjang Ramadan dan Hari Raya, sekali gus membantu mengurangkan masalah kekurangan ruang yang dihadapi masjid-masjid,” katanya.
Sebelum ini, ruang kariah di Brickland telah ditubuhkan pada Ramadan 2024 dengan kerjasama Masjid Al-Khair.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, yang juga merupakan AP GRC Chua Chu Kang berkata kepada BH bahawa walaupun masjid tersebut masih dalam fasa awal pembinaan, beliau memberi jaminan akan ada ketersambungan yang baik antara masjid dengan lokasi penting di kawasan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg