Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk GRC Chua Chu Kang nikmati akses penjagaan kesihatan lebih baik

Kunjungan langsung ke poliklinik tanpa janji temu buat warga emas, program beli barang $1 antara inisiatif
Aug 10, 2025 | 8:12 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, Encik Jeffrey Siow, Dr Tan See Leng, Dr Choo Pei Ling
Sempena hari ke-100 pasukan GRC Chua Chu Kang dilantik sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pasukan itu telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti beberapa perkhidmatan bas baru dan tadika di Tengah. Anggota Parlimen GRC itu terdiri daripada (dari kiri) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; dan Dr Choo Pei Ling. - Foto BH oleh KHALID BABA

Penduduk warga emas di GRC Chua Chu Kang kini boleh mendapatkan rawatan di Poliklinik Choa Chu Kang tanpa membuat janji temu dalam talian terlebih dahulu, kata Anggota Parlimen (AP) GRC tersebut, Dr Tan See Leng.

Beliau, yang juga Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, berkata pasukannya telah mengadakan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) serta dialog untuk dapatkan maklum balas penduduk.

Hasilnya, didapati bahawa golongan warga emas serta mereka yang kurang mahir dalam aspek teknologi menghadapi kesukaran memperolehi akses kepada penjagaan kesihatan.

Langkah itu antara beberapa usaha baru yang dilaksanakan pasukan GRC Chua Chu Kang, kata Dr Tan, ketika ditemui wartawan dalam satu sesi media, di Blok 143 Teck Whye Lane pada pagi 10 Ogos.

Sempena hari ke-100 pasukan itu dilantik sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), GRC itu yang juga terdiri daripada – Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Dr Choo Pei Ling – telah mengadakan sesi meninjau kawasan kejiranan masing-masing untuk bertemu penduduk serta berkongsi mengenai pembaharuan yang telah dilakukan sejauh ini.

Antaranya, meningkatkan ketersambungan melalui perkhidmatan bas baru, menaik taraf lif, membantu golongan yang memerlukan serta penambahan tadika.

Anggota GRC Chua Chu Kang yang terdiri daripada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kiri); Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng (tiga dari kiri); Dr Choo Pei Ling (empat dari kiri); dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (dua dari kanan)  mengadakan sesi meninjau kejiranan di Blok 143 Teck Whye Lane pada pagi 10 Ogos sempena 100 hari pasukan itu dilantik sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Anggota GRC Chua Chu Kang yang terdiri daripada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kiri); Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng (tiga dari kiri); Dr Choo Pei Ling (empat dari kiri); dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (dua dari kanan)  mengadakan sesi meninjau kejiranan di Blok 143 Teck Whye Lane pada pagi 10 Ogos sempena 100 hari pasukan itu dilantik sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh KHALID BABA

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu mengekalkan GRC Chua Chu Kang untuk penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 3 Mei.

Mereka memenangi 63.6 peratus undian ketika menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP).

“Sebelum pilihan raya umum, kami pernah membincangkan mengenai rancangan 100 hari.

“Kami telah mencapai tempoh tersebut, dan kami berpendapat bahawa penting untuk memberikan perkembangan mengenai beberapa inisiatif yang telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan, serta beberapa langkah mudah dan hasil cepat yang boleh kami laksanakan dengan segera,” ujar Dr Tan, yang berkongsi mengenai inisiatif kesihatan untuk kawasan itu.

Menjelaskan lebih lanjut tentang usaha membantu golongan yang tidak mesra digital, Dr Tan menjelaskan secara lazimnya, penduduk perlu membuat janji temu sebelum ke poliklinik itu melalui aplikasi mudah alih.

Namun, menerusi perbincangan mereka dengan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), pesakit – khususnya warga emas berusia lebih 70 tahun, kanak-kanak berusia bawah dua tahun, serta mereka yang lemah dan sukar bergerak – kini dibenarkan untuk hadir langsung di poliklinik.

“Setelah berbincang dengan penduduk warga emas kita, dan khususnya juga golongan muda – terutamanya apabila mereka mengalami masalah kesihatan – mereka ingin mendapatkan rawatan secara langsung di poliklinik tanpa membuat janji temu,” kata Dr Tan.

Inisiatif itu juga akan diterapkan di poliklinik di Tengah yang dijadual dibuka pada separuh pertama 2026.

Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Dr Tan See Leng (tengah), mengumumkan pesakit – khususnya warga emas berusia lebih 70 tahun, kanak-kanak berusia bawah dua tahun, serta mereka yang lemah dan sukar bergerak – kini dibenarkan untuk hadir secara langsung tanpa janji temu ke Poliklinik Chua Chu Kang.
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Dr Tan See Leng (tengah), mengumumkan pesakit – khususnya warga emas berusia lebih 70 tahun, kanak-kanak berusia bawah dua tahun, serta mereka yang lemah dan sukar bergerak – kini dibenarkan untuk hadir secara langsung tanpa janji temu ke Poliklinik Chua Chu Kang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Siow pula mengetengahkan usaha meningkatkan ketersambungan dalam kawasan kejiranan tersebut.

Beliau berkata perkhidmatan bas 872 telah dilancarkan pada pagi 10 Ogos.

Bas itu bermula di Pusat Tukaran Bas Tengah dan merentasi kawasan Tengah Boulevard, Plantation Crescent dan Bukit Batok.

Perkhidmatan bas 872 telah dilancarkan pada pagi 10 Ogos di Pusat Tukaran Bas Tengah. Ia dilancarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Jeffrey Siow (kiri) dan AP GRC tersebut yang menguruskan kawasan Tengah, Dr Choo Pei Ling (tengah).
Perkhidmatan bas 872 telah dilancarkan pada pagi 10 Ogos di Pusat Tukaran Bas Tengah. Ia dilancarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Jeffrey Siow (kiri) dan AP GRC tersebut yang menguruskan kawasan Tengah, Dr Choo Pei Ling (tengah). - Foto FACEBOOK JEFFREY SIOW

Pada 11 Ogos, perkhidmatan bas premium yang dikendalikan oleh pengendali swasta akan menghubungkan Brickland ke Buona Vista melalui Tengah.

Ini merupakan sebahagian daripada lapan perkhidmatan bas baru yang akan diperkenalkan di Tengah dan Brickland bagi mengurangkan masalah pengangkutan menjelang akhir 2026.

“Fokus kami dalam 100 hari yang lalu, serta ke hadapan, ialah memastikan sebahagian bandar Choa Chu Kang bukan sahaja disambungkan dengan seluruh Singapura, malah di dalam kawasan itu sendiri, penduduk dapat bergerak dengan mudah ke tempat yang mereka ingin tuju,” kata Encik Siow.

Selain itu, penduduk juga memberi maklum balas mengenai kebimbangan mereka terhadap perbelanjaan harian.

Lantas, Encik Zhulkarnain, turut mengumumkan mengenai pelancaran program pembelian barangan keperluan harian dengan harga $1 menjelang penghujung 2025, memanfaatkan 12,000 isi rumah.

Katanya:

“Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan ia akan menambah baik serta melengkapi sokongan sedia ada di peringkat nasional dan juga untuk penduduk kita.”

Beliau turut memberikan perkembangan mengenai masjid baru di Tengah, di mana akan ada proses perundingan untuk penduduk memberi maklum balas mengenai kemudahan yang mereka ingin lihat di masjid tersebut.

Selain itu, beliau mengumumkan program naik taraf lif bernilai $5.5 juta yang bakal diadakan di estet Choa Chu Kang dan Keat Hong bagi menggantikan 55 lif di kawasan itu.

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (tiga dari kiri), berkata penduduk kawasan itu turut memberi maklum balas mengenai kebimbangan mereka terhadap perbelanjaan harian, maka tertubuhnya program pembelian barangan keperluan harian dengan harga $1.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (tiga dari kiri), berkata penduduk kawasan itu turut memberi maklum balas mengenai kebimbangan mereka terhadap perbelanjaan harian, maka tertubuhnya program pembelian barangan keperluan harian dengan harga $1. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dr Choo yang menguruskan kawasan Tengah pula menjelaskan bahawa Tengah ialah bandar termuda di Singapura dan sekitar 15,000 unit kediaman dijangka siap menjelang akhir 2025.

Empat tadika baru telah dibuka di Tengah sejak Mei, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh tadika disediakan untuk 2,000 penduduk.

Kemudahan baru yang lain di kawasan itu termasuk sebuah pasar raya 24 jam dan kedai kopi, kata Dr Choo.

Dr Tan menambah AP Chua Chu Kang juga sedang meneliti isu jangka panjang seperti perubahan prasarana, demografi penduduk yang berubah, dan cara untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada kumpulan berbeza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg