3 ruang solat tarawih baru disediakan di Choa Chu Kang, Tengah
3 ruang solat tarawih baru disediakan di Choa Chu Kang, Tengah
Tiga ruang solat tarawih baru akan disediakan di Choa Chu Kang pada Ramadan ini, menjadikan keseluruhan empat ruang.
Ini termasuk ruang solat tarawih seumpamanya yang pertama di estet perumahan Tengah.
Secara khusus, tiga ruang baru itu terletak di Blok 166 Pavilion, Teck Whye Crescent; kolong blok di Blok 9 Teck Whye Lane; dan Dewan Serbaguna di Blok 238 Tengah Garden Walk.
Satu lokasi sedia ada di Blok 813 Choa Chu Kang Avenue 7 diteruskan daripada tahun lalu (2025).
Dihubungi Berita Harian (BH), Anggota Parlimen bagi GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata ruang solat ini akan memanfaatkan penduduk Melayu/Islam di kawasan tersebut.
“Penambahan ruang solat ini amat dirasai oleh masyarakat Melayu/Islam di sini, terutamanya warga emas, mereka yang kurang upaya, serta keluarga muda yang sebelum ini sukar untuk ke masjid.
“Usaha ini juga mengeratkan hubungan kariah dengan jemaah, mengukuhkan ikatan kejiranan dan semangat kebersamaan,” ujar beliau, yang juga Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Kenyataan tersebut menyusuli komen Encik Zhulkarnain pada 2025, apabila beliau menekankan bahawa terdapat keperluan untuk menyediakan ruang solat khusus bagi masyarakat Islam apabila kawasan Tengah terus berkembang.
Setakat ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) belum mendedahkan senarai rasmi ruang solat bagi ibadah tarawih menjelang Ramadan.
Namun, difahamkan bahawa senarai itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi M3@Chua Chu Kang (M3@CCK), Encik Imran Ahmad, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Masjid Al-Khair dan kumpulan kariah di bawah naungan masjid tersebut bagi memastikan keperluan ibadah penduduk dipenuhi sepanjang Ramadan.
“Antaranya ialah penyediaan beberapa tempat solat tarawih di sekitar kejiranan, supaya penduduk Choa Chu Kang tidak perlu berjalan jauh untuk menunaikan ibadah.
“Tahun ini, terdapat tiga tambahan ruang solat tarawih di bawah kariah, serta beberapa lokasi baru untuk solat Hari Raya, termasuk di Keat Hong Plaza pada pagi Hari Raya yang boleh menampung sehingga 1,000 anggota jemaah,” kongsi beliau.
Encik Imran turut mengetengahkan inisiatif Nak Tumpang?, iaitu khidmat kenderaan percuma yang dilaksanakan buat pertama kali pada 2025 yang membolehkan jemaah yang tidak berkenderaan menumpang kenderaan sukarelawan untuk ke Masjid Al-Khair semasa Ramadan.
“Menariknya, ada juga pemandu bukan Muslim yang tampil membantu jiran Muslim untuk ke masjid untuk menunaikan solat tarawih, dan ia mencerminkan semangat kejiranan dan kebersamaan yang kuat,” tambahnya.
Sementara itu, penduduk Tengah yang ditemu bual BH menyambut baik penyediaan ruang solat di Blok 238 Tengah Garden Walk.
Seorang penduduk di Plantation Crescent, Encik Muhammad Nazhrul Md Ismail, 32 tahun, berkata beliau biasanya menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Khair yang terletak sekitar lima kilometer (km) dari rumahnya.
“Tanpa kenderaan sendiri, perjalanan boleh mengambil masa 20 hingga 30 minit, dan tempat letak kereta (di Masjid Al-Khair) juga terhad.
“Jika ada ruang solat berhampiran, ia akan memudahkan saya membawa keluarga saya bersama,” kongsi beliau, seorang bapa kepada dua anak perempuan.
Seorang lagi penduduk, Encik Adam Abdul Aziz, 32 tahun, turut menyifatkan inisiatif itu sebagai sesuatu yang positif kerana dapat mengurangkan masa perjalanan.
“Kalau saya tidak bekerja, kadangkala saya akan pergi ke Masjid Maarof. Sebaliknya, saya akan menunaikan solat tarawih di rumah.
“Dengan adanya ruang solat tarawih ini, ia membolehkan saya meluangkan lebih masa berbuka bersama keluarga sebelum keluar solat,” ujar beliau, yang telah menetap di Tengah Garden Avenue sekitar dua tahun.
Kesemua empat ruang solat tambahan itu juga akan digunakan untuk solat Hari Raya, bersama satu lagi lokasi tambahan di Blok 449 Choa Chu Kang Avenue 4, khususnya di Keat Hong Plaza.
Menurut semakan BH, terdapat 39 kariah yang disenarikan sebagai ruang solat tarawih pada 2025.

