Sekitar 1.5 juta rakyat Singapura dewasa yang layak akan menerima wang tunai sehingga $850 di bawah skim Baucar GST (GSTV), manakala kira-kira 710,000 warga emas yang layak akan menerima tokokan MediSave sehingga $450 pada Ogos.

Jumlah bayaran tunai itu bergantung pada pendapatan taksiran penerima bagi Tahun Taksiran 2025 dan nilai tahunan kediaman mereka, umum Kementerian Kewangan (MOF) pada 9 Julai.

Warga emas yang layak akan menerima tokokan MediSave antara $150 dengan $450, bergantung pada usia dan nilai tahunan kediaman mereka.

Jumlah itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

Semua penerima yang layak akan menerima bayaran mereka secara automatik mulai 7 Ogos sekiranya mereka telah mendaftar untuk skim tersebut sebelum ini.

Rakyat Singapura yang belum mendaftar boleh berbuat demikian menjelang 14 Julai, untuk menerima bayaran mereka pada Ogos.

Mereka juga boleh menyemak secara dalam talian sama ada mereka layak untuk menerima manfaat tersebut.

Rakyat Singapura digalak memautkan nombor kad pengenalan (NRIC) mereka dengan PayNow menjelang 28 Julai, bagi menerima bayaran tunai GSTV pada 7 Ogos.

Penerima yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum dan selepas ia dikreditkan.

Penerima yang tidak mempunyai nombor telefon bimbit yang didaftarkan dengan Singpass akan dimaklumkan melalui surat yang dihantar ke alamat yang tertera pada kad pengenalan Singapura mereka.

Jumlah keseluruhan sekitar $1.4 bilion akan disalurkan di bawah skim GSTV – Tunai dan GSTV – MediSave, sebagai sebahagian daripada skim Baucar GST kekal pada 2026.

Bagi Cik Noorasikin Bahadrul Hisham, dan keluarganya yang menetap di rumah sewa flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dua bilik di Senja Road, ini bermakna setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti.

Perbelanjaan ini merangkumi pembelian barangan dapur, hinggalah penjimatan dalam penggunaan elektrik.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pegawai perkhidmatan pelanggan berusia 41 tahun itu berkata penyediaan perbelanjaan yang teliti menjadi amalan harian keluarganya.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan seperti skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV), Cik Noorasikin dan suaminya, Encik Irfan Aslam, 46 tahun, yang bekerja sendiri, sentiasa berbincang tentang cara terbaik menguruskan perbelanjaan isi rumah serta berusaha sedaya upaya untuk berjimat semampu mungkin.

“Saya akan berbincang dulu dengan suami sama ada nak simpan duit itu, ataupun gunakan untuk beli barang yang diperlukan di rumah.

“Kami gunakan baucar itu biasanya untuk beli barang dapur seperti beras, telur dan minyak,” ujar Cik Noorasikin.

“Minyak penting sebab digunakan untuk menggoreng dan memasak,” tambah ibu dua anak berusia sembilan dan 20 tahun itu.

“Kalau di rumah, apa (peralatan elektrik) yang tidak digunakan, kami tutup. Kalau tak gunakan kipas angin, kami tutup kipas. Kalau tak tengok televisyen, kami tutup televisyen. Apa sahaja yang tidak digunakan, kami tutup,” jelasnya.

Rakyat Singapura yang masih belum mendaftar boleh berbuat demikian menjelang 14 Julai, untuk menerima bayaran mereka pada Ogos.

Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian jika mereka layak untuk menerima faedah tersebut.