Masyarakat Islam tidak harus membiarkan tindakan seseorang atau segelintir individu menimbulkan persepsi terhadap keseluruhan sesuatu bangsa atau agama.
Sebaliknya, hal itu seharusnya menguatkan tekad untuk memperkukuh keharmonian kaum.
Demikian ditekankan dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid di Singapura pada 26 September.
Khutbah tersebut menambah, sebagai Muslim yang teguh pendirian dan istiqamah terhadap nilai ajaran Nabi Muhammad saw, kita perlu berpegang teguh dengan pendirian yang dibawa Baginda, iaitu membawa risalah rahmah dan kesejahteraan dalam semua urusan dan perkara.
“Baginda saw mengajar kita agar terus menzahirkan akhlak mulia meskipun berdepan dengan mereka yang mahu mencederakan kita – dengan memaafkan dan menyebarkan kebaikan.
“Inilah misi perjuangan umat Nabi Muhammad saw, bahawa jika perbuatan sedemikian berhasrat untuk menggugat keamanan dan kesejahteraan umat dan negara, ketahuilah bahawa ia sebenarnya hanya akan menguatkan semangat dan usaha kita untuk memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan, sesuai dengan Hadyun Nabawiy (bimbingan Nabi).
“Jika ada yang bertujuan merosakkan hubungan sesama agama dan bangsa, ketahuilah bahawa kita tidak pernah, dan tidak seharusnya menyamakan perbuatan seseorang, atau segelintir manusia, dengan keseluruhan sesuatu bangsa atau agama,” katanya.
Khutbah yang disampaikan di masjid setiap solat Jumaat itu ditulis oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Khutbah hari itu menggariskan mengenai isu beberapa masjid di sini yang menerima bungkusan berisi daging yang melanggar kesucian masjid.
Isu tersebut timbul selepas Masjid Al-Istiqamah, yang terletak di Serangoon North Avenue 2, menerima bungkusan yang di dalamnya daging – dipercayai babi – pada 24 September.
Ia mengakibatkan seorang wanita yang difahamkan kakitangan masjid dihantar ke Hospital Besar Sengkang pada malam hari tersebut apabila berasa tidak sihat selepas membuka bungkusan itu.
Masjid itu telah beroperasi seperti biasa dan wanita itu sudah dibenarkan pulang.
Khutbah itu turut mengajak orang ramai menguatkan kesatuan dan menjadikan peristiwa itu sebagai peringatan untuk terus menjaga perpaduan.
“Jaga keharmonian kehidupan kita sesama manusia.
“Jadikan peristiwa ini bukti keutuhan didikan Nabi Muhammad saw dalam sanubari, walaupun kita tidak pernah bersua muka dengan Baginda,” katanya.
Ia turut menggesa masyarakat supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak diketahui kesahihannya, agar tidak mengeruhkan keadaan.
Sementara itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata terdapat beberapa kes lain yang serupa baru-baru ini di beberapa masjid, dan pihak polis memang sudah menjalankan siasatan terhadap kes-kes tersebut.
Bercakap kepada wartawan di Masjid Al-Istiqamah pada 25 September, beliau turut memberi jaminan, pihak polis sedang memantau keadaan dengan teliti dan telah meningkatkan kunjungan ke masjid-masjid, dan akan terus berbuat demikian bagi memastikan keselamatan terjamin.
Encik Shanmugam turut berjumpa dan berinteraksi dengan pemimpin Rangkaian Keharmonian Kaum dan Agama (IRHC) Masjid Al-Istiqamah.
Para pemimpin agama setempat telah menggesa masyarakat Singapura agar terus bersatu hati demi menjaga keharmonian beragama serta mengecam sebarang tindakan yang menjejas keamanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg