Muis agih $4.3j kepada lebih 10,500 penerima bantuan sempena Ramadan
Muis agih $4.3j kepada lebih 10,500 penerima bantuan sempena Ramadan
Faishal umum bantuan sewaktu majlis berbuka puasa dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam di Masjid Al-Mawaddah
Sebanyak $4.3 juta pakej sokongan akan disalurkan bagi menyokong lebih 10,500 penerima bantuan sempena Ramadan kali ini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pakej sokongan Ramadan itu merangkumi $3.5 juta daripada dana zakat, dan $800,000 daripada sumbangan fidyah, tambah beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
“Zakat menyokong keperluan harian, pendidikan, penjagaan kesihatan, serta laluan ke arah berdikari, dan merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan kita.
“Pada terasnya, ia mencerminkan tanggungjawab kolektif kita sebagai sebuah masyarakat untuk saling mendorong satu sama lain serta membolehkan setiap individu hidup dengan penuh maruah, dihormati, dan berharapan untuk masa depan yang lebih baik.
“Selain memenuhi keperluan segera, zakat turut mengiringi individu dan keluarga, membina kestabilan, memulihkan keyakinan, dan memberi mereka kuasa untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdikari, dengan keyakinan bahawa mereka disokong pada setiap langkah,” ujar beliau.
Dr Faishal berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa yang dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam di dewan serbaguna Masjid Al-Mawaddah, yang terletak di Compassvale Bow, pada 20 Februari.
Tuan Presiden berada di masjid tersebut bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama sekitar 100 jemaah undangan.
Mereka terdiri daripada pemimpin masyarakat, penerima zakat, serta tetamu dari dua rumah kebajikan, iaitu Tembusu Home dan Thuja Home di Pelangi Village.
Sebelum ini, Tuan Presiden telah diberi taklimat mengenai sejarah, perkembangan, dan program yang dijalankan di Masjid Al-Mawaddah oleh Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC), Encik Edwan Nizar Ahadan, selepas tiba pada sekitar 6.30 petang.
Selain Dr Faishal, turut hadir di majlis tersebut termasuk Timbalan Mufti Dr Izal Mustafa Kamar, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at A Rahman, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
Dalam satu kenyataan media pada 20 Februari, Muis menyatakan bahawa sokongan Ramadan ini akan memberi manfaat kepada pelbagai penerima, termasuk penerima zakat bulanan.
“Mereka termasuk penerima zakat bulanan, penduduk Muslim dari rumah kebajikan terpilih, penerima Bantuan Jangka Panjang ComCare, isi rumah yang dirujuk oleh Pusat Khidmat Keluarga, dan pelajar Muslim di institusi pengajian tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah,” jelas Muis.
Mengulas lebih lanjut mengenai sokongan bantuan Ramadan itu, Dr Faishal berkata dalam ucapannya:
“Muis juga akan terus menyediakan fidyah untuk makanan dan barangan runcit agar keluarga asnaf kita dapat mengurangkan rasa bimbang tentang makanan dan pemakanan yang betul.
“Masjid-masjid kita juga akan menghantar makanan kepada mereka yang menghadapi masalah mobiliti serta keluarga yang memerlukan sokongan tambahan,” ujar beliau.
Dr Faishal berkata Muis sedang meneroka cara baru untuk mempermudahkan akses bantuan serta menjangkau lebih ramai isi rumah.
“Misalnya, Muis sedang menyemak dan menyelaraskan dasar kami, termasuk kriteria ujian kemampuan mengikut piawaian nasional supaya mereka dapat mencapai dan memberi manfaat kepada lebih banyak isi rumah,” ujarnya.
Ini di samping sokongan zakat yang diperkasakan Muis saban tahun, termasuk peningkatan bantuan kewangan zakat bulanan tanpa syarat yang membolehkan lebih ramai penerima memenuhi keperluan asas mereka.
“Ia juga dilengkapi dengan agihan tunai tambahan secara tepat pada masanya semasa Ramadan dan hujung tahun, apabila banyak isi rumah mungkin menghadapi tekanan kewangan tambahan,” kongsi Dr Faishal.
Mengulas lebih lanjut mengenai sokongan masjid, beliau menukil contoh inisiatif Zakat Pembangunan Sosial @ Masjid, atau ZakatSD@Mosques, yang telah berkembang daripada hanya enam masjid pada 2023, kepada 63 masjid hari ini.
Inisiatif tersebut menyediakan perkhidmatan masuk langsung atau walk-in dan akan dinilai Pegawai Zakat Masjid, akan keperluan individu atau keluarga dan menghubungkan mereka dengan sokongan yang sesuai.
Ini termasuk bantuan tunai segera dan baucar barangan runcit.
“Saya juga terharu melihat banyak masjid, termasuk Masjid Al-Mawaddah, menubuhkan Pantri Masyarakat untuk menyediakan barangan runcit secara terus kepada keluarga yang memerlukan.
“Usaha-usaha ini mencerminkan semangat sebenar kepedulian, solidariti, dan sokongan masyarakat,” kata Dr Faishal.
Menurut Muis, lebih 1,100 klien telah menerima bantuan sedemikian pada 2025, dengan kira-kira 600 daripadanya dirujuk kepada program sokongan bulanan.

