Buat julung-julung kalinya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), melantik dua wanita berpengalaman bagi jawatan Timbalan Ketua Eksekutif (DCE) MUIS, dan juga Penolong Ketua Eksekutif (ACE) MUIS – satu jawatan baru.

Cik Faizah Ahmad Barazy telah dilantik sebagai DCE berkuat kuasa 1 Ogos, sekali gus menjadikan beliau wanita pertama menyandang jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, yang berkhidmat sebagai DCE dari 1 Februari 2023 hingga 10 Mei 2026.

Cik Faizah membawa pengalaman hampir 20 tahun dalam penggubalan dasar dan penglibatan pihak berkepentingan di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Selain itu, Cik Rafidah Suparman pula bakal menjadi wanita pertama menyandang jawatan baharu sebagai Penolong Ketua Eksekutif (ACE) MUIS bermula 1 Oktober ini.

Beliau membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam pembangunan organisasi, komunikasi strategik, dan pengurusan risiko daripada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), di mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pengurusan Risiko dan Jaminan.

Cik Rafidah Suparman pula bakal menjadi wanita pertama menyandang jawatan baharu sebagai Penolong Ketua Eksekutif MUIS bermula 1 Oktober ini. 
Cik Rafidah Suparman pula bakal menjadi wanita pertama menyandang jawatan baharu sebagai Penolong Ketua Eksekutif MUIS bermula 1 Oktober ini.  - Foto MUIS

Pelantikan kedua-dua wanita itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, di Sambutan Hari Kebangsaan MUIS di Hab Islam Singapura pada 4 Ogos.

Ia dihadiri Presiden MUIS, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; anggota Majlis MUIS, kakitangan MUIS, dan pemimpin masjid.

Ini merupakan kali pertama Encik Zaqy menyertai Sambutan Hari Kebangsaan MUIS sejak beliau mengambil alih peranan pemangku menteri daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 20 Julai lalu.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (kiri), dan Pemimpin Kanan MUIS beramah-tamah dengan anggota Majlis MUIS.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (kiri), dan Pemimpin Kanan MUIS beramah-tamah dengan anggota Majlis MUIS. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Dalam satu kenyataan MUIS pada 4 Ogos, badan agama itu berkata bahawa Cik Faizah akan mengawasi kelompok Pendidikan, Sektor Satu Masjid, pembangunan Halal dan Dana Masyarakat.

Ia sekali gus bertujuan memajukan usaha MUIS dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang kian berkembang.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) mengenai pelantikan terbarunya itu, Cik Faizah menanam harapan untuk bekerjasama rapat dengan pegawai, pihak masjid, madrasah serta rakan-rakan masyarakat untuk meneruskan usaha yang telah dibina.

Selain itu, beliau juga berharap kerjasama itu dapat memperkukuh institusi Islam di sini dan menghadapi bersama peluang serta cabaran pada masa hadapan.

“Saya berbesar hati dapat menyertai MUIS pada saat yang penting ini. Selama ini, MUIS telah berkembang menjadi sebuah institusi yang diyakini dan banyak menyumbang kepada kemajuan masyarakat Islam Singapura.

“Dengan sokongan dan usaha semua pihak, saya yakin MUIS akan terus kekal sebagai sebuah institusi yang dipercayai, relevan dan responsif dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang sentiasa berkembang, hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya yang sebelum ini berkhidmat di MCCY sebagai Timbalan Pengarah Kanan (Perhubungan Masyarakat).

Sebelum menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Cik Faizah Ahmad Barazy, telah berkhidmat di MCCY sebagai Timbalan Pengarah Kanan (Perhubungan Masyarakat).
Sebelum menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Cik Faizah Ahmad Barazy, telah berkhidmat di MCCY sebagai Timbalan Pengarah Kanan (Perhubungan Masyarakat). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sementara itu, Cik Rafidah pula akan mengawasi fungsi korporat MUIS. Ini termasuk Modal Insan, Kewangan, Perolehan & Kawal Selia, Komunikasi Strategik, serta Perkhidmatan IT & Digital – sekali gus memperkukuh keupayaan organisasi dan menyokong transformasi berterusan MUIS.

Ketika ucapannya, Encik Zaqy turut memberikan penghargaan kepada Encik Khairul Anwar atas sumbangannya selama ini.

“Encik Khairul, bagi pihak masyarakat, terima kasih saya ucapkan.

“Banyak perkara yang telah anda lakukan akan terus membawa manfaat kepada masyarakat bagi tahun-tahun mendatang,” kata Encik Zaqy.

Encik Khairul Anwar dilantik sebagai DCE pada Februari 2023, dan antara sumbangan beliau dalam pembangunan MUIS termasuk memperkukuh sektor masjid, pendidikan madrasah, pembangunan halal, dan dana masyarakat.

MUIS berkata Encik Khairul Anwar telah memimpin penyemakan semula strategi Kehidupan Beragama Masyarakat, mengawasi inisiatif utama madrasah, menubuhkan Dana Wakaf Masyarakat, serta memperjuangkan pembangunan bakat di seluruh MUIS.

Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (kiri) bersama Presiden MUIS, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman.
Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (kiri) bersama Presiden MUIS, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Beliau kini disenaraikan dalam Direktori Pemerintah Singapura (SGDI) sebagai Pengarah Pusat Kenderaan Elektrik Nasional di bawah Kumpulan Pembangunan Teknologi dan Industri, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).