Hampir tiada negara yang mencatat peningkatan jangka hayat seketara Singapura, yang kini diiktiraf sebagai Zon Biru, sebuah kawasan geografi di mana rakyatnya hidup lebih lama dan sihat.
Justeru, apabila peluang muncul untuk mendidik warga emas di sebuah kampung di Filipina mengenai amalan hidup sihat yang diterapkan rakyat Singapura, Cik Nur ‘Aliyah Mohamad Bahrom tidak berfikir dua kali.
Remaja berusia 22 tahun itu antara lima pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT) yang mengendalikan bengkel meliputi pemakanan sihat, tabiat gaya hidup sihat, serta kemandirian secara mampan, di Paraiso Village di kota Batangas, Filipina pada 1 Januari.
Bengkel itu sebahagian daripada kegiatan Sidang Kemuncak Zon Biru 2025 anjuran usahawan sosial Filipina, Encik Tony Meloto, yang berlangsung selama sembilan hari.
Cik Nur ‘Aliyah, pelajar tahun dua SIT yang menuntut ijazah sarjana muda dalam bidang rantaian bekalan digital, mengendalikan bengkel tersebut sebagai sebahagian daripada modul Projek Inovasi Sosial (SIP).
Ia merupakan salah satu modul wajib yang mendedahkan pelajar SIT menangani beberapa isu dan cabaran sosial secara menyeluruh menggunakan pendekatan penyelesaian masalah yang pelbagai.
Sidang Kemuncak Zon Biru 2025 dihadiri sekitar 300 peserta, termasuk usahawan sosial dan pemimpin perniagaan Filipina, serta pelajar dari pelbagai universiti serantau, termasuk SIT yang satu-satunya wakil Singapura.
Mengulas tentang pengalamannya di Paraiso Village, Cik Nur ‘Aliyah berkata:
“Ia membuka minda saya tentang makna sebenar kesinambungan kehidupan, saya rasa ia bukan sekadar memanfaatkan teknologi, atau mengurangkan karbon demi kemampanan, malah ia menekankan aspek kemanusiaan sebagai sumber dunia.
“Saya sedari bahawa sumber utama dunia ini sebenarnya adalah penduduknya. Sebagai manusia, kita harus berusaha memelihara jangka hayat dan mutu hidup supaya setiap individu dapat menikmati kehidupan yang sebaik mungkin.”
Semasa mengendalikan bengkel tersebut, Cik Nur ‘Aliyah memberi contoh inisiatif kesihatan diamalkan di Singapura, termasuk tabiat gaya hidup sihat di kalangan warga emas seperti melakukan senaman tai chi, serta penggunaan label ‘Nutri-Grade’ pada produk makanan dan minuman.
Label ‘Nutri-Grade’ adalah cara mengkelaskan produk menggunakan kod warna berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu.
Cik Nur ‘Aliyah dan rakan sekolahnya juga menerangkan kepada hadirin untuk melihat kandungan gula dan lemak tinggi yang tertera di fakta pemakanan produk makanan dan minuman.
Selain itu, mereka mendidik hadirin bagaimana menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mempelajari kemahiran baru.
“Ini untuk menggalak pembelajaran sepanjang hayat, satu konsep yang sangat ditekankan di peringkat nasional di Singapura.
“Kami harap hadirin dapat berkongsi ilmu yang diperoleh di bengkel itu dengan ahli keluarga mereka di rumah, sekali gus memastikan kemahiran yang diajar dapat dilestarikan menjangkau sempadan kampung kecil itu.
“Ini satu contoh kesinambungan kehidupan yang saya katakan tadi,” jelasnya.
Pengalaman di sidang kemuncak itu turut memberi ilham kepada Cik Nur ‘Aliyah, yang juga Presiden Kelab Kemampanan Digital SIT, untuk melaksanakan inisiatif kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di Singapura pada masa depan.
“Saya ingin mendekati rakyat Singapura di peringkat akar umbi, kerana saya percaya itulah cara terbaik untuk benar-benar berhubung dengan penduduk di kejiranan kita.
“Bengkel yang kami jalankan di Paraiso Village memberi saya inspirasi untuk memperluaskannya di Singapura, agar lebih ramai dapat meraih manfaat daripadanya,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg