Walau terdapat pelbagai tradisi keagamaan di Singapura, agama di sini tetap mengambil berat usaha mengekalkan dan membina keharmonian sosial.
Malah, agama merupakan lambang sebenar kepada perpaduan masyarakat, ujar Penyelidik Utama di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews.
Dengan keadaan dunia yang semakin tegang, kepelbagaian agama mampu membantu dalam menyediakan ruang bagi penganut agama menunjukkan peranan yang bersatu, tambahnya.
“Ia merupakan sesuatu yang positif apabila agama kini menjadi penawar kepada kekacauan tersebut. Dan jika terdapat tempat yang boleh merealisasikan perkara ini, ia adalah di Singapura.
“Hakikatnya, masyarakat kita semakin berbilang memberikan peluang untuk kita mewujudkan ruang yang lebih baik bagi dialog antara agama, sekali gus membolehkan kerjasama merentas semua tradisi keagamaan demi manfaat kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menambah, trend kepelbagaian agama di Singapura bakal menunjukkan peningkatan.
Menukil Pangkalan Data Agama Dunia yang dikumpulkan oleh Institut Kebudayaan dan Hal Ehwal Agama Universiti Boston pada 2020, Dr Mathews berkata Indeks Kepelbagaian Agama (RDI) bakal mencecah skor 8.2 jelang 2050 – kenaikan daripada 6.9 pada 1970.
RDI mengukur tahap kepelbagaian agama sesebuah negara – dengan jumlah 0 menunjukkan tiada atau sedikit kepelbagaian, manakala jumlah 10 menandakan tahap kepelbagaian yang paling tinggi.
“Yang jelas, Singapura telah lama mempunyai tahap kepelbagaian agama yang tinggi dan keadaan ini akan berterusan,” katanya.
Dr Mathews merupakan Ketua IPS Social Lab dan Felow Penyelidik Utama di IPS, yang merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).
Hadir sebagai salah seorang penyampai di Muktamar Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) 2025 pada 24 Mei, Dr Mathews turut menukil dapatan daripada Pew Research dan berkongsi kepelbagaian agama dijangka meningkat pada 2050.
Agama Islam dan Kristian, masing-masing bakal membentuk 30 peratus daripada penduduk dunia.
Menurutnya, perkara itu sebahagiannya disebabkan oleh trend kesuburan yang berbeza dalam masyarakat yang berlainan.
Menggariskan kenaikan itu sebagai sesuatu yang baik untuk masa depan dunia, Dr Mathews, menambah:
“Ini merupakan peluang besar bagi penganut Kristian dan Islam kembali kepada idea asas dalam kepercayaan dan nilai-nilai yang sangat penting.
“Ini termasuk menjadikan nilai-nilai tersebut sebagai pegangan utama serta membantu mempromosikan nilai seperti kasih sayang, belas kasihan dan rahmat.”
Tradisi agama itu akan menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih baik, tambahnya.
Dr Mathews turut berkongsi bagaimana Australia turut bakal mempunyai kenaikan serupa seperti Singapura dalam kepelbagaian agama.
Menerusi Pangkalan Data Agama Dunia yang disampaikannya, Australia bakal mempunyai RDI sebanyak 7.7 pada 2050, berbanding 1.4 pada 1970.
Beliau berkata hal itu terjadi disebabkan lebih ramai rakyat Singapura, Malaysia dan Indonesia yang berhijrah ke sana, lantas jumlah itu akan meningkat dengan pantas.
Namun, Malaysia dan Indonesia mempunyai data yang menurun jelang 2050.
Pada 1970, Malaysia mempunyai RDI sebanyak 7.3, dan dijangka turun kepada 6.9 pada 2050.
Pada tempoh yang sama, Indonesia juga akan melihat penurunan daripada 4.4 kepada 4.2.
Menjelaskan perkara itu, Dr Mathews, menambah:
“Di negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia, tahap kepelbagaian agama dijangka kekal stabil dalam beberapa tahun akan datang.
“Masyarakat di negara-negara ini juga telah mengalami sedikit penurunan daripada segi kepelbagaian agama berbanding tahun-tahun sebelumnya, mungkin disebabkan oleh penghijrahan penduduk daripada latar belakang agama yang berbeza keluar dari negara ini pada kadar yang berbeza.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg