Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan KidSTART ringankan usaha urus, asah kemahiran anak

Oct 18, 2025 | 8:25 PM
Penerima ‘KidSTART Sparkle Homes’, Cik Dewiayuni Edi Rianto (kanan) merupakan antara 260 keluarga yang akan diberikan $1,500 untuk membeli barangan pembangunan kanak-kanak dan peralatan rumah tangga. Beliau ditemani suaminya, Encik Mohd Sazali Dollah (kiri), dan anak mereka (bermula dua dari kiri) Muhammad Aeril Mateen, Muhammad Adeel Zafreen, dan Muhammad Adzriel Daffa.
Penerima ‘KidSTART Sparkle Homes’, Cik Dewiayuni Edi Rianto (kanan) merupakan antara 260 keluarga yang akan diberikan $1,500 untuk membeli barangan pembangunan kanak-kanak dan peralatan rumah tangga. Beliau ditemani suaminya, Encik Mohd Sazali Dollah (kiri), dan anak mereka (bermula dua dari kiri) Muhammad Aeril Mateen, Muhammad Adeel Zafreen, dan Muhammad Adzriel Daffa. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Membesarkan tiga anak lelaki kecil bukanlah satu tugas yang mudah, terutamanya dengan anak sulungnya yang mempunyai autisme.

Rumah suri rumah, Cik Dewiayuni Edi Rianto, sering berserak dengan mainan dan pakaian anak-anaknya, serta mereka gemar membuka dan menutup peti sejuk sehingga ia rosak.

Ini merupakan cabaran harian baginya sehingga ada kalanya beliau mengalami keletihan yang amat.

Namun, dengan sokongan pengamal KidSTART, tekanan ditanggung itu dapat diredakan. Malahan, beliau akan dibantu lagi melalui daya utama terbaru, KidSTART Sparkle Homes.

Cik Dewiayuni merupakan antara 260 keluarga yang akan menerima $1,500 untuk membeli barangan pembangunan kanak-kanak dan peralatan rumah tangga.

Daya utama itu dilancar bersama oleh KidSTART dan Yayasan Masyarakat PAP (PCF) di Mothercare, Habourfront Centre pada 18 Oktober.

Dengan bantuan tersebut, Cik Dewiayuni, memilih untuk membeli meja belajar, peti sejuk, dan almari untuk menyimpan baju anak-anaknya – Muhammad Aeril Mateen, tujuh tahun; Muhammad Adeel Zafreen, empat tahun; dan Muhammad Adzriel Daffa, dua tahun.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Cik Dewiayuni, 34 tahun, berkata sebelum ini, mereka hanya mempunyai satu almari untuk menyimpan pakaian anak-anaknya.

Namun, dengan adanya tambahan tersebut, beliau boleh mendidik anak-anaknya untuk mengambil pakaian mereka sendiri.

“Sekarang mereka dah besar, mereka cenderung untuk ambil baju sendiri dan tidak perlu beritahu saya.

“Dengan almari baru ini, saya boleh simpan barang peribadi mereka, seperti kasut dan stokin, jadi, mereka tak perlu tanya saya, ‘Mama, stokin saya mana?’,” ujar beliau.

Beliau menambah ia bukan sahaja dapat mendidik anak kedua dan ketiganya, malah anak sulungnya yang autistik juga dapat mengikuti tingkah laku adik-adiknya.

“Bila dia tengok kedua-dua adiknya buat sesuatu, dia akan ikut secara automatik,” tambahnya.

Cik Dewiayuni dan suaminya, Encik Mohd Sazali Dollah, 41 tahun, mendaftarkan diri untuk menyertai KidSTART pada 2021, apabila menerima kunjungan seorang pengamal organisasi itu di rumahnya ketika itu.

Menerusi program lawatan ke rumah KidSTART, Cik Dewiayuni dipadankan dengan pengamal, Cik Jessica Chan, yang akan menziarahi rumah mereka setiap bulan.

Setiap pengamal terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak, dan akan memeriksa pencapaian perkembangan kanak-kanak dari sebelum lahir hingga umur enam tahun, serta mengambil berat mengenai kesihatan mental ibu.

Pasangan suami isteri, Encik Mohd Sazali Dollah (kiri) dan isterinya, Cik Dewiayuni Edi Rianto (dua dari kanan) telah menyertai program  KidSTART sejak 2021. Mereka dilihat bersama anak-anak mereka (bermula dua dari kiri) Muhammad Aeril Mateen, Muhammad Adeel Zafreen, dan Muhammad Adzriel Daffa (kanan).
Pasangan suami isteri, Encik Mohd Sazali Dollah (kiri) dan isterinya, Cik Dewiayuni Edi Rianto (dua dari kanan) telah menyertai program KidSTART sejak 2021. Mereka dilihat bersama anak-anak mereka (bermula dua dari kiri) Muhammad Aeril Mateen, Muhammad Adeel Zafreen, dan Muhammad Adzriel Daffa (kanan). - Foto BM oleh DESMOND WEE

Mereka akan melakukan aktiviti bersama kanak-kanak di rumah seperti membaca dan bermain, serta menanyakan khabar ibu bapa.

Pengamal juga akan memberikan sokongan awal kanak-kanak termasuk menyokong persekitaran mereka, mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dengan anak, serta perjalanan keibubapaan mereka.

Cik Dewiayuni menghargai kehadiran Cik Chan yang sering memberinya semangat dalam menjaga anak-anaknya.

“Saya pernah ‘breakdown’, tetapi Cik Chan sering mengingatkan saya mengenai anak-anak, dan itu memberikan ketenangan kepada saya,” ujarnya.

Cik Dewiayuni turut mengetahui mengenai program Sparkle Homes, menerusi Cik Chan, yang menggalakkannya untuk menyertai daya utama itu.

Menerusi Sparkle Homes, ibu bapa dapat memberi tumpuan kepada perkembangan anak tanpa kerisauan mengenai keperluan asas seperti makanan dan persekitaran mereka.

Cik Dewiayuni berkata sejak menyertai KidSTART, anaknya, Adeel Zafreen, kini boleh bertutur dengan lebih fasih.

Antara kebanggaan beliau ialah apabila pada usia tiga tahun, anaknya sudah mempunyai aspirasi untuk menjadi seorang polis.

Beliau menambah Cik Chan turut mengambil langkah untuk mengetahui keperluan anak autistik, seperti membelikan mainan abjad pendidikan khas untuk anak sulungnya.

Cik Dewiayuni bersyukur dengan kehadiran Cik Chan dan berharap beliau akan bersama mereka untuk jangka masa yang panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg