Wardah Books kekal di Bussorah St, namun alami kenaikan sewa
Wardah Books kekal di Bussorah St, namun alami kenaikan sewa
Meski sewa dinaikkan, Wardah Books tiada “niat untuk naikkan harga” buku buat pelanggan; teroka idea kembangkan perniagaan kepada bidang penerbitan
Toko buku terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Kampong Gelam, Wardah Books, telah berjaya melanjutkan tempoh sewanya di 58 Bussorah Street buat tiga tahun lagi, dedah pemiliknya, Encik Ibrahim Tahir.
Ini selepas toko buku itu sebelumnya menghadapi ketidakpastian dalam nasibnya bertahan di kawasan bersejarah itu, dengan Encik Ibrahim cuba mendapatkan jaminan sepanjang lima minggu lalu untuk terus kekal di lokasi kedainya sekarang.
Dihubungi Berita Harian (BH) pada 2 Februari, beliau bagaimanapun berkata kadar sewa di kedainya itu telah meningkat, tetapi enggan mendedahkan peratusan kenaikan itu.
Namun Encik Ibrahim berkata beliau tiada “niat untuk menaikkan harga” buku yang dijual kepada pelanggan.
“Sekarang saya boleh tumpukan semula pada perkara paling penting, iaitu operasi perniagaan.
“Dari segi (operasi) dalaman, kami akan perlu mencari cara untuk menjimatkan kos, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan.
“(Namun) Kami tiada niat untuk menaikkan harga untuk pelanggan,” katanya.
BH pada 31 Januari telah melaporkan tentang nasib masa depan Wardah Books yang diragui, berikutan isu harga sewa kedai yang melambung di kawasan Kampong Gelam sehingga menggugat perniagaan warisan yang sudah bertahun-tahun lamanya bertapak di kawasan bersejarah itu.
Wardah Books telah berpindah ke lokasi semasanya di 58 Bussorah Street dari kedai asal di North Bridge Road pada 2005.
Bagi rancangan masa depan, Encik Ibrahim berkata Wardah Books akan meneroka idea untuk mengembangkan perniagaan ke dalam bidang penerbitan, namun perancangan masih lagi pada tahap awal.
“Kita tidak boleh fikirkan kedai buku seperti kami (Wardah Books), atau mana-mana perniagaan warisan seperti Pariaman (restoran nasi padang), sebagai sekadar kedai yang menjual buku atau kedai yang menjual nasi.
“Kami merupakan titik akses kepada arus makna dan budaya yang lebih mendalam di Kampong Gelam.
“Itulah kepentingan perniagaan warisan. Ia bukanlah perniagaan semata-mata, kerana kami juga merupakan institusi budaya.
“Tetapi, satu-satunya cara bagi kami terus wujud adalah jika isu kos dapat ditangani dan objektif kami dapat dipenuhi,” ujarnya.
Pada 2 Februari, Wardah Books telah mengirimkan e-mel kepada pelanggannya untuk memaklumkan kepada mereka bahawa toko buku itu telah berjaya untuk terus kekal di 58 Bussorah Street “untuk beberapa tahun mendatang”.
“Sebuah kedai buku bukan sekadar tempat menjual buku, tetapi nadi yang menyatukan masyarakat pembaca.
“Namun, untuk terus bertahan di sini ada harga yang perlu dibayar.
“Kami berharap anda semua dapat memahami sedang kami membuat penyesuaian untuk menampung peningkatan kos operasi ini dalam beberapa minggu dan bulan mendatang.
“Di mana ada pembaca, di situ ada harapan,” kata Encik Ibrahim dalam e-mel tersebut.
Pada 31 Januari, BH melaporkan bahawa kian ramai peniaga warisan yang menyewa rumah kedai daripada pemilik privet di Kampong Gelam terpaksa keluar daripada kawasan bersejarah itu sejak beberapa tahun lalu dek harga sewa yang dinaikkan secara keterlaluan.
Difahamkan kebanyakan rumah kedai di kawasan tersebut dipunyai pemilik privet dan kadar sewa telah meningkat antara 30 peratus dengan 150 peratus sejak beberapa tahun lalu.
Isu berhubung perniagaan warisan di Kampong Gelam telah menarik perhatian berikutan pengumuman bahawa restoran nasi padang popular, Warong Nasi Pariaman, ditutup pada 31 Januari.

