Peniaga dan penduduk khuatir akan kemerosotan bilangan pengunjung di Pasar Geylang Serai, dan banyak lagi boleh dilakukan oleh pemerintah untuk meningkatkan kerancakan kawasan tersebut, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, akan bertemu dengan masyarakat pada minggu akan datang bagi membincangkan isu berkenaan, kata Encik Zaqy pada 26 Julai selepas mengadakan lawatan ke pasar tersebut.

Encik Seah juga merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights – kawasan di mana pasar itu terletak.

Ramai dalam kalangan masyarakat berkata bahawa penurunan itu berpunca daripada keadaan ekonomi, kata Encik Zaqy, yang mengambil alih tugas sebagai pemangku menteri pada 20 Julai.

Meningkatkan prestasi pasar tersebut merupakan salah satu bidang yang sedang ditelitinya untuk meluaskan dan memperkukuh penglibatan dengan masyarakat Melayu/Islam serta meneruskan usaha pendahulunya, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, tambahnya.

Dr Faishal, yang memegang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sejak Mei 2025 selama 14 bulan, telah meletak jawatan sebagai penjawat politik dan AP pada 20 Julai susulan interaksi yang tidak wajar dengan seorang wanita dalam talian.

Selain Encik Seah, beberapa AP Melayu/Islam turut menemani Encik Zaqy ketika lawatannya itu.

Antaranya ialah AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Keempat-empat AP itu dilihat beramah mesra dari meja ke meja sambil berbual dengan para pengunjung dan peniaga dari sekitar 8.30 pagi hingga 10 pagi.

Kehadiran AP itu ialah untuk mendapatkan gambaran tentang suasana serta keprihatinan penduduk, peniaga dan penjaja, dan bagaimana pemerintah dapat meyakinkan mereka bahawa usaha Dr Faishal akan diteruskan selepas persaraannya, kata Encik Zaqy, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

Wisma Geylang Serai serta Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai – yang terletak di GRC Marine Parade-Braddell Heights, di mana Dr Faishal pernah menjadi AP – merupakan pusat tumpuan bagi masyarakat Melayu/Islam, kata Encik Zaqy.

“Adalah penting untuk kita terus mewujudkan kerancakan dan program, serta sudah semestinya terus mendampingi mereka di sini, di mana mereka berkumpul setiap hujung minggu,” tambahnya.

Encik Zaqy berkata, beliau juga sedang mendampingi organisasi Melayu/Islam (MMO) dan telah bertemu dengan beberapa pemimpin mereka pada 25 Julai.

Beliau menambah bahawa beliau akan meneruskan usaha Dr Faishal dalam bidang tersebut, termasuk inisiatif M Kuasa Tiga Plus (M3+).

Inisiatif tersebut menghimpunkan lebih banyak kumpulan di luar rakan kerjasama M3 sedia ada iaitu badan bantu diri Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Encik Zaqy telah bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam sesi pendampingan sejak pelantikannya.

Pada 21 Julai, sehari selepas beliau dilantik sebagai pemangku menteri, beliau mengadakan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di samping Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.