Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy umum pelantikan 2 wanita bagi perkukuh kepimpinan MUIS
Zaqy umum pelantikan 2 wanita bagi perkukuh kepimpinan MUIS
Buat julung kali wanita sertai kepimpinan kanan MUIS sebagai Timbalan Ketua Eksekutif dan Penolong Ketua Eksekutif
Zaqy umum pelantikan 2 wanita bagi perkukuh kepimpinan MUIS
Buat julung-julung kalinya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah melantik dua wanita bagi memperkukuh kepimpinan kanan badan berkanun tersebut.
Cik Faizah Ahmad Barazy, yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam penggubalan dasar dan penglibatan pihak berkepentingan di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif (DCE) MUIS bermula 1 Ogos.
Beliau menggantikan Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, yang berkhidmat sebagai DCE dari 1 Februari 2023 hingga 10 Mei.
Mantan Pengarah Pengurusan Risiko dan Jaminan di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Cik Rafidah Suparman, pula dilantik sebagai Penolong Ketua Eksekutif (ACE) MUIS bermula 1 Oktober.
Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam pembangunan organisasi, komunikasi strategik, dan pengurusan risiko
Pelantikan kedua-dua wanita itu ke kepimpinan kanan MUIS diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, di Sambutan Hari Kebangsaan MUIS di Hab Islam Singapura pada 4 Ogos.
Ia dihadiri Presiden MUIS, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; anggota Majlis MUIS, kakitangan MUIS, dan pemimpin masjid.
Ini merupakan kali pertama Encik Zaqy menyertai Sambutan Hari Kebangsaan MUIS sejak beliau mengambil alih peranan pemangku menteri daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 20 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan MUIS pada 4 Ogos, badan agama itu berkata Cik Faizah akan mengawasi kelompok Pendidikan, Sektor Satu Masjid, pembangunan Halal dan Dana Masyarakat.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) mengenai pelantikan terbaharunya itu, Cik Faizah menanam harapan untuk bekerjasama rapat dengan para pegawai, pihak masjid, madrasah serta rakan-rakan masyarakat untuk meneruskan usaha yang dibina.
Selain itu, beliau juga berharap kerjasama itu dapat memperkukuh institusi Islam di sini dalam menghadapi bersama peluang serta cabaran pada masa hadapan.
“Saya berbesar hati dapat menyertai MUIS pada saat yang penting ini.
“Selama ini, MUIS telah berkembang menjadi sebuah institusi yang diyakini dan banyak menyumbang kepada kemajuan masyarakat Islam Singapura.
“Dengan sokongan dan usaha semua pihak, saya yakin MUIS akan terus kekal sebagai sebuah institusi yang dipercayai, relevan dan responsif dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang sentiasa berkembang, hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya yang sebelum ini berkhidmat di MCCY sebagai Timbalan Pengarah Kanan (Perhubungan Masyarakat).
Cik Faizah menyertai dua lagi DCE MUIS, iaitu Encik Mohammad Azree Rahim dan Dr Albakri Ahmad.
Sementara itu, Cik Rafidah pula akan mengawasi fungsi korporat MUIS.
Ini termasuk Modal Insan, Kewangan, Perolehan & Kawal Selia, Komunikasi Strategik, serta Perkhidmatan IT & Digital.
Ketika ucapannya, Encik Zaqy turut memberikan penghargaan kepada Encik Khairul Anwar atas sumbangannya selama ini.
“Encik Khairul, bagi pihak masyarakat, terima kasih saya ucapkan.
“Banyak perkara yang telah anda lakukan akan terus membawa manfaat kepada masyarakat bagi tahun-tahun mendatang,” kata Encik Zaqy.
Encik Khairul Anwar dilantik sebagai DCE pada Februari 2023, dan antara sumbangan beliau dalam pembangunan MUIS termasuk memperkukuh sektor masjid, pendidikan madrasah, pembangunan halal, dan dana masyarakat.
MUIS berkata Encik Khairul Anwar telah memimpin penyemakan semula strategi Kehidupan Beragama Masyarakat, mengawasi inisiatif utama madrasah, menubuhkan Dana Wakaf Masyarakat, serta memperjuangkan pembangunan bakat di seluruh MUIS.
Beliau kini disenaraikan dalam Direktori Pemerintah Singapura (SGDI) sebagai Pengarah Pusat Kenderaan Elektrik Nasional di bawah Kumpulan Pembangunan Teknologi dan Industri, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).