Pertubuhan kemanusiaan Mercy Relief akan menyalurkan bantuan kecemasan $120,000 kepada golongan terjejas akibat banjir dahsyat di sempadan Nepal dengan Tibet.

Satu pasukan akan dihantar ke kawasan luar bandar Uttargaya di daerah Rasuwa, antara kawasan paling teruk terjejas, dari 6 hingga 10 September.

Ia bagi menyelia pengagihan bekalan kecemasan kepada hampir 1,800 mangsa, kata Mercy Relief pada 2 September.

Banjir kilat berhampiran sempadan Nepal dengan Tibet pada 26 Ogos, akibat keruntuhan glasier, meragut sekurang kurangnya 1,000 nyawa, manakala kira kira 4,000 orang masih hilang, lapor Reuters pada 1 September.

Antara yang hilang ialah 590 warga asing, termasuk sembilan warga Singapura.

Kawasan sepanjang Sungai Trishuli dan Bhotekoshi terjejas teruk, dengan lebih 40 kilometer (km) jalan raya dan lebih 40 jambatan dihanyutkan, menyebabkan laluan ke daerah terjejas terputus, kata Mercy Relief.

Pakej bantuan itu dibuat selepas Mercy Relief mengumumkan pada 29 Ogos rancangan awal untuk mengumpulkan sumber bagi usaha bantuan dan mengenal pasti keperluan mangsa.

Mercy Relief berkata ia bekerjasama dengan rakan kongsi di Nepal untuk mengenal pasti keperluan mangsa yang paling mendesak.

Pakej bantuan awal Mercy Relief merangkumi makanan, air, bekalan kebersihan diri dan persekitaran, kit perlindungan sementara serta keperluan lain seperti pakaian dan selimut.

Bantuan peringkat pertama ini akan membantu sehingga 1,800 orang di beberapa kawasan terpencil, bermula dengan sekitar 600 orang di tiga pusat penempatan sementara di Uttargaya.

Apabila keadaan jalan bertambah baik, baki bekalan akan diagihkan ke kawasan berhampiran yang terputus daripada bantuan.

Ketua Eksekutif Mercy Relief, Encik Leon Yip, berkata: “Skala bencana ini amat besar dan kesukaran ke kawasan terjejas adalah halangan terbesar, maka kita mesti bertindak pantas dan secara strategik.”

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan yang dipercayai di Rasuwa bagi memastikan bekalan sampai kepada mereka yang kurang atau belum menerima bantuan sejak banjir melanda.”

Agensi itu akan bekerjasama dengan Lumanti, sebuah badan bukan pemerintah (NGO) Nepal yang telah beroperasi di Rasuwa selama tiga tahun dan mempunyai laluan langsung ke kawasan terjejas.

Pengurus Program Antarabangsa Mercy Relief, Encik Vidas Varma, berkata: “Pasukan kami akan dihantar pada 6 September untuk menyalurkan bekalan penting kepada mereka yang masih kurang menerima bantuan sejak banjir melanda.”

“Kami sedang menyediakan bekalan dan akan bergerak sebaik sahaja laluan ke kawasan terjejas dibuka. Kami tidak menunggu keadaan sempurna. Kami menggunakan apa yang ada.

“Pasukan kami juga akan menilai keperluan seterusnya, daripada tempat perlindungan sementara hingga pendidikan dan sokongan psikososial untuk keluarga yang kehilangan segala galanya.”

Singapura turut menghantar bekalan kemanusiaan dan kakitangan bagi menyokong usaha bantuan di Nepal, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 31 Ogos.

Pasukan Polis Singapura (SPF) akan menghantar satu pasukan ke Nepal, termasuk pegawai yang pakar dalam pengecaman mangsa bencana, selaras dengan permintaan Nepal.

Pemerintah Singapura juga akan menghantar bekalan awam dan bekalan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Ini adalah tambahan kepada sumbangan pemerintah sebanyak AS$100,000 ($127,000) kepada kutipan dana awam Palang Merah Singapura (SRC) pada 28 Ogos.

SRC mengumpulkan hampir $1 juta setakat ini, lapor The Straits Times pada 30 Ogos.

Pasukan tindak balas krisis MFA telah berada di Nepal sejak 27 Ogos untuk memberi bantuan konsular kepada warga Singapura yang terjejas.