Topic followed successfully
Go to BHkuMOH tangani kenaikan kos kesihatan, hati-hati ‘campur tangan’ urusan insurans swasta
MOH tangani kenaikan kos kesihatan, hati-hati ‘campur tangan’ urusan insurans swasta
MOH tangani kenaikan kos kesihatan, hati-hati ‘campur tangan’ urusan insurans swasta
Pemerintah sedang menangani punca peningkatan kos penjagaan kesihatan dan menawarkan langkah mengurangkan kesannya, namun perlu berhati-hati dalam campur tangan terhadap keputusan perniagaan insurans swasta, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
Pada 6 Mei, beberapa Anggota Parlimen (AP) bertanya tentang kadar insurans selepas premium asas Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) dinaikkan, mengurangkan penjimatan daripada perubahan pelan insurans tambahan (rider).
“Amalan umum Kementerian Kesihatan (MOH) adalah untuk tidak campur tangan dalam penetapan premium,” kata Cik Rahayu.
Dari Disember 2021 hingga Disember 2024, premium IP hospital swasta meningkat pada purata 8.6 peratus setahun, manakala premium ‘rider’ meningkat 17.2 peratus.
Cik Rahayu mengakui pelarasan harga beberapa pelan IP hospital swasta dan pelan ‘rider’ baru-baru ini, namun berkata pemegang polisi insurans masih boleh berjimat dengan beralih kepada ‘rider’ baru.
Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) menyatakan isi rumah mungkin masih membayar lebih untuk penjagaan kesihatan walaupun ‘rider’ lebih murah, akibat kenaikan berterusan premium asas.
Beliau bertanya tentang had atau semakan kenaikan premium.
Cik Rahayu berkata kenaikan itu didorong oleh bilangan penduduk yang menua, teknologi rawatan, ubat, serta kos tenaga kerja yang lebih tinggi, serta penggunaan dan perkhidmatan berlebihan.
Sebagai respons, MOH bertindak dengan mendapatkan produk jimat kos, menetapkan penanda aras yuran, panduan klinikal dan mengambil tindakan terhadap penyedia bermasalah.
Beliau turut menekankan pembaharuan skim ‘rider’ dan pembangunan hospital yang tidak mengaut keuntungan untuk mengekang kos.
Beliau menambah, membataskan harga insurans swasta tidak akan membantu bagi kemampanan pengendali dalam jangka panjang.
Jika mereka tidak menyemak semula harga pelan, mereka tidak dapat membayar tuntutan, yang boleh menjejas pemegang polisi melalui pengurangan manfaat atau pengunduran daripada pasaran, jelas Cik Rahayu.
MOH telah memperkenalkan penanda aras yuran dan pengaturan panel untuk menurunkan kos bayaran doktor, dan sedang menilai keperluan serta kebolehlaksanaan penanda aras bagi komponen kos lain, kata Cik Rahayu sebagai jawapan kepada Dr Hamid Razak (GRC West Coast–Jurong West).
Dr Hamid telah bertanya sama ada MOH telah mengkaji komponen bil lain seperti kos kemudahan dan bekalan perubatan.
Encik Andre Low ( Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi ) turut menyatakan bahawa selain kos penjagaan kesihatan yang meningkat, kos pentadbiran penanggung insurans juga boleh menyumbang kepada premium lebih tinggi.
Dengan merujuk kepada perubahan industri untuk mengurangkan kos tersebut, beliau bertanya sama ada MOH telah menimbangkan dasar supaya penjimatan kos disalurkan kepada pengguna.
“Kami kerap berurusan dengan penyedia insurans. Kami berhati-hati (untuk) campur tangan kerana mereka perlu berdaya saing,” kata Cik Rahayu sambil menegaskan unsur perniagaan perlu dihormati.
